• Wajarkah harga tambang KLIA Ekspres dinaikkan sebanyak RM20 selepas keuntungan tahunan bertambah sebanyak anggaran RM89juta akibat sambungan KLIA2?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 7 Disember 2015

    Wajarkah harga tambang KLIA Ekspres dinaikkan sebanyak RM20 selepas keuntungan tahunan bertambah sebanyak anggaran RM89juta akibat sambungan KLIA2?

    Saya terkejut apabila membaca bahawa Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, cuba mewajarkan peningkatan harga sebanyak RM20 bagi tambang KLIA Ekspres, iaitu daripada RM35 kepada RM55 bermula pada 1 Januari 2016. Menurut beliau, kenaikan harga ini diperlukan bagi menampung kerugian yang dialami syarikat tersebut sejak ia mula beroperasi pada 2002. Yang memeranjatkan lagi, KLIA Ekspres pula telah menyatakan bahawa ianya dibenarkan dalam perjanjian konsesi untuk menaikkan harga tambang kepada RM64.

    Mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, jumlah penumpang KLIA Ekspres telah meningkat sebanyak 42% iaitu daripada 2,062,223 penumpang (2013) kepada 2,928,302 penumpang (2014). Jumlah penumpang KLIA Transit juga telah meningkat sebanyak 44% daripada 4,373,220 (2013) kepada 6,310,323 penumpang (2014). Jumlah peningkatan keseluruhan dianggarkan sebanyak 44% iaitu daripada 6,436,443 penumpang (2013) kepada 9,238,625 penumpang (2014). Peningkatan bilangan penumpang ini adalah disebabkan oleh pembukaan laluan keretapi dari KLIA ke KLIA2 pada 6 Mei 2014. (Rujuk Jadual 1.) Peningkatan 44% daripada 2013 hingga 2014 ini boleh dikira sebagai pendapatan tambahan sebanyak RM64juta (anggaran) bagi KLIA Ekspres.[1]

    Jumlah penumpang KLIA Ekspres telah bertambah sebanyak 26.3% daripada suku pertama (Q1) hingga suku ketiga (Q3) tahun 2015 berbanding Q1 hingga Q3 pada tahun 2014, dan sebanyak 9% bagi KLIA Transit untuk tempoh waktu yang sama. Jika trend ini berterusan pada suku keempat (Q4) tahun 2015, ini bermakna tambahan keuntungan boleh dianggarkan sebanyak RM25juta.

    Ini bermakna bahawa dengan pembukaan sambungan KLIA2, anggaran pendapatan tambahan oleh Express Rail Link Sdn Bhd adalah RM89juta untuk tahun 2015 berbanding tahun asas 2013.

    Memandangkan ERL Sdn Bhd tidak menanggung walau satu sen daripada kos pembinaan sambungan KLIA2 dan kos tambahan operasi laluan sambungan KLIA2 adalah kecil, mengapa ERL dibenarkan untuk menaikkan harga tambang dengan begitu tinggi? Bukankah penambahan keuntungan ekoran daripada peningkatan penumpang adalah mencukupi bagi ERL untuk meraih keuntungan yang munasabah dan mendapatkan semula perbelanjaan modal?

    Ia merupakan amalan biasa bagi pemegang konsesi untuk menandatangani perjanjian tambahan apabila terdapat perubahan besar kepada perjanjian konsesi asal. Sebagai contoh, BESRAYA telah menandatangani perjanjian tambahan dengan kerajaan pada 2011 berikutan perlaksanaan BESRAYA Eastern Extension (BEE) ke Ampang. Pemegang konsesi KLIA Ekspres dan KLIA Transit, ERL Sdn Bhd juga menandatangani perjanjian tambahan dengan kerajaan ekoran pembukaan laluan KLIA2. Perjanjian tambahan ini merangkumi maklumat seperti peningkatan tambang yang dibenarkan dari masa ke semasa. Adakah kerajaan sengaja mengabaikan fakta dengan membenarkan peningkatan tambang bagi ERL Sdn Bhd dalam perjanjian tambahan walaupun mengetahui KLIA2 akan mendatangkan pertambahan penumpang yang ketara? Mengapa kerajaan tidak menekan pemegang konsesi untuk menghadkan atau menghalang peningkatan tambang perjalanan memandangkan sambungan KLIA2 adalah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan?

    Saya menggesa kerajaan untuk mendedahkan perjanjian konsesi yang melibatkan pihak ERL Sdn Bhd supaya rakyat Malaysia boleh menilai dengan sendiri sama ada peningkatan tambang adalah wajar, atau sama ada kerajaan bersikap lalai dengan membenarkan pemegang konsesi menikmati keuntungan terlalu tinggi yang akhirnya memudaratkan rakyat marhean.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] Berasaskan anggapan bahawa tambang RM35 dikenakan bagi penumpang KLIA Express dan tambang purata RM17.50 dikenakan bagi penumpang KLIA Transit, di mana sebahagian daripada mereka menggunakan perkhidmatan ini untuk ke Putrajaya dan Cyberjaya.

Leave a reply.