• Intended Nationally Determined Contributions (INDC) Malaysia menunjukkan kurangnya komitmen dan penyelarasan ke arah menghadapi cabaran perubahan iklim

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 1 Disember 2015

    Intended Nationally Determined Contributions (INDC) Malaysia menunjukkan kurangnya komitmen dan penyelarasan ke arah menghadapi cabaran perubahan iklim

    Dalam dokumen Intended Nationally Determined Contribution yang dikemukakan oleh Malaysia beberapa hari sebelum bermulanya COP21 di Paris, Malaysia membuat sasaran untuk menurunkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45% menjelang 2030 berbanding dengan intensiti pelepasan dalam KDNK tahun 2005. Sasaran pengurangan 35% telah ditetapkan tanpa syarat manakala pengurangan 10% adalah bergantung kepada kecukupan penerimaan bantuan pembiayaan perubahan iklim, pemindahan teknologi dan bantuan pembangunan kapasiti daripada negara maju.[1] Walaupun sasaran ini seharusnya dipuji, pendekatan Malaysia untuk COP21 menunjukkan kurangnya komitmen daripada pimpinan teratas dan INDC Malaysia juga menunjukkan kurangnya penyelarasan di kalangan Kementerian yang terlibat dalam isu perubahan iklim. Ini menimbulkan persoalan tentang kredibiliti komitmen yang dibuat oleh Malaysia bagi mengurangkan intensiti pelepasan GHG.

    Pelancaran COP21 di Paris dihadiri oleh 142 Ketua Negara dan Kerajaan termasuklah Presiden Barack Obama, Presiden Xi Jin Ping, Perdana Menteri Shinzo Abe, Perdana Menteri Narendra Modi, Presiden Joko Widodo, Presiden Dilma Rouseff dan Canselor Angela Merkel. Kesemua Ketua Negara dan Kerajaan diberi peluang untuk membuat kenyataan berhubung kedudukan masing-masing dalam isu perubahan iklim dan menunjukkan komitmen kepada agenda perubahan iklim.[2] Keputusan Najib sebagai Perdana Menteri untuk tidak hadir ke COP21 seolah memberi tanggapan kepada komuniti antarabangsa bahawa Malaysia tidak melihatkan dirinya sebagai peneraju utama dalam menangani pemanasan global.

    Kegagalan Najib dalam memimpin agenda perubahan iklim bukanlah terhad kepada ketidakhadiran beliau ke Paris. Beliau juga tidak membuat sebarang ucapan penting tentang isu perubahan iklim sama ada secara domestik mahupun antarabangsa pada tahun 2015 (sehingga waktu ini). Ucapan domestik terbaru beliau berkenaan perubahan iklim adalah di Persidangan Energy for Tomorrow anjuran New York Times di Kuala Lumpur pada 19 November 2014.[3] Ucapan terakhir beliau tentang isu perubahan iklim adalah di United Nations Climate Summit di New York pada 23 September 2015.[4] Najib tidak melancarkan sebarang polisi domestik bagi membuktikan komitmen Malaysia kepada agenda perubahan iklim pada 2015.

    Sebaliknya, Obama yang merupakan teman sepermainan golf Najib telah melawat Alaska pada September 2015 sebagai sebahagian daripada sebuah agenda besar untuk menunjukkan kesan serius akibat pemanasan global.[5] Obama juga telah melancarkan Program Loji Tenaga Bersih bagi mengurangkan pelepasan GHG daripada loji janakuasa.[6] Beliau juga telah menjadikan agenda perubahan iklim sebagai salah sebuah bidang utama rundingan dan kerjasama dalam polisi luar negara dengan China dan India.

    Kekurangan kepimpinan Najib dalam agenda perubahan iklim menjadi lebih serius apabila mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G. Palanivel, langsung tidak mengambil peduli isu penting agenda alam sekitar termasuklah pelepasan GHG. Selama 2 tahun saya di Parlimen ketika beliau menjawat jawatan Menteri, saya tidak pernah melihat walau sekali beliau menjawab sebarang soalan berkenaan kementerian beliau atau mengambil bahagian dalam perdebatan bajet yang berkaitan dengan kementerian beliau. Saya tidak yakin bahawa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang baru, Wan Junaidi, mempunyai pemahaman yang diperlukan terhadap isu utama perubahan iklim dan pelepasan GHG. Apabila saya bertanyakan beliau pada 16 November 2015 mengapa Malaysia merupakan salah sebuah daripada dua negara (selain Brunei) di ASEAN yang belum menyerahkan dokumen INDC, beliau menjawab bahawa Malaysia masih menunggu keputusan daripada contact group yang ditemui di Dubai pada minggu sebelumnya. (Lihat Lampiran 1 di bawah.) Mungkin beliau tidak sedar bahawa INDC Malaysia merupakan sasaran dalam negara yang ditentukan berdasarkan parameter dan faktor di dalam negara dan bukannya patut ditentukan oleh contact group yang dianggotai oleh negara-negara lain yang tidak dinamakan. Saya tidak pasti apakah syarat yang ditentukan oleh kumpulan ini yang dicerminkan dalam INDC Malaysia yang telah dikeluarkan pada 27 November 2015. Namun saya agak pasti bahawa tidak banyak perbincangan berkenaan INDC berlaku di dalam mesyuarat kabinet yang telah bersidang pada hari yang sama.

    Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlu memainkan lebih peranan dalam menjadi agensi penyelaras bagi polisi pelepasan GHG dan perubahan iklim. Terdapat banyak kementerian dan agensi yang mempunyai peranan penting dalam mengurangkan intensiti pelepasan GHG, termasuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kurangnya pelarasan dan perancangan antara pelbagai kementerian dan agensi telah pun ditekankan dalam Bidang Fokus Memperkukuh Daya Tahan Terhadap Perubahan Iklim dan Bencana Alam bagi RMK-11.[7] INDC Malaysia sebenarnya kekurangan penyelarasan dari segi strategi dan polisi untuk mengurangkan pelepasan GHG. Target spesifik dan polisi daripada kementerian berkaitan dan sumbangan mereka bagi menuju ke arah pengurangan pelepasan intensiti GHG juga tiada dalam INDC Malaysia. Tanpa sasaran dan polisi, maka tinggi kemungkinan Malaysia gagal mencapai sasaran pengurangan 45% pelepasan GHG. Tanpa penyelarasan strategik daripada kementerian, kemungkinan dasar perubahan iklim yang tidak konsisten juga meningkat.

    Berikut adalah satu contoh penting dalam isu penjanaan tenaga. Penjanaan tenaga menyumbang kepada lebih daripada 50% jumlah keseluruhan pelepasan CO2 di Malaysia terutamanya daripada sumber arang batu hinggalah ke penjanaan skala besar menerusi stesen janakuasa gas. Salah satu cara untuk mengurangkan pelepasan GHG adalah dengan menukar penggunaan teknologi penjanaan elektrik yang menyebabkan pencemaran seperti arang batu dan ditukar kepada Tenaga Boleh Baharu seperti solar, biomas dan biogas.[8] Namun menurut Suruhanjaya Tenaga yang perlu merancang keseluruhan keperluan bekalan elektrik negara, kuasa arang batu dijangka menjana 64% daripada keseluruhan campuran bahan api pada 2020 (meningkat daripada 56% pada 2016) manakala Tenaga Boleh Baharu pula dijangka menyumbang kepada 3% daripada jumlah keseluruhan campuran bahan api tenaga menjelang 2024 (Lampiran 2).

    Sebaliknya, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) menjangkakan bahawa tenaga boleh diperbaharui akan menyumbang kepada 11% daripada keseluruhan tenaga pada 2020 dan 17% pada 2030 (Lampiran 3). Jika KeTTHA tidak dapat menyelaraskan sasaran-sasaran yang bercanggahan berhubung sektor penyumbang utama pelepasan GHG, bagaimanakah kita boleh percaya bahawa Malaysia mampu mencapai sasaran yang diumumkan iaitu pengurangan 45% pelepasan GHG?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Soalan dan jawapan daripada Wan Junaidi di Parlimen berhubung mengapa Malaysia masih belum mengemukakan INDC setakat pada 16 November 2015.

    Sumber: Hansard Parlimen pada 16 November 2015

    Lampiran 2: Anggaran pengeluaran campuran bahan api oleh Suruhanjaya Temaga (2014 – 2024)

    Sumber: Bekalan Elektrik bagi Semenanjung Malaysia pada 2004, keluaran Suruhanjaya Tenaga

    Lampiran 3: Campuran tenaga bagi Tenaga Boleh Baharu (2011 hingga 2013)

    Sumber: Sustainable Energy Development Authority (SEDA)

    [1] http://www4.unfccc.int/submissions/INDC/Published%20Documents/Malaysia/1/INDC%20Malaysia%20Final%2027%20November%202015.pdf

    [2] http://unfccc.int/meetings/paris_nov_2015/items/9331.php

    [3] http://www.pmo.gov.my/home.php?menu=speech&page=1676&news_id=744&speech_cat=2

    [4] http://www.pmo.gov.my/home.php?menu=speech&page=1676&news_id=744&speech_cat=2

    [5] https://www.whitehouse.gov/2015-alaska-trip

    [6] https://www.whitehouse.gov/climate-change

    [7] http://rmk11.epu.gov.my/pdf/strategy-paper/Strategy%20Paper%2011.pdf

    [8] http://www.universitypublications.net/ijbms/0302/pdf/P4RS188.pdf