• Malaysia Menghadapi Pilihan Sukar Di COP21

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 29 November 2015

    Malaysia Menghadapi Pilihan Sukar Di COP21

    Persidangan Perubahan Iklim Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (COP21) yang diadakan di Paris akan bermula pada Isnin, 30 November 2015. Matlamat persidangan ini yang paling ketara adalah untuk mendapatkan persetujuan kesemua wakil negara bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) supaya suhu global tidak akan meningkat melebihi 2 darjah celcius menjelang tahun 2100. Titik utama perdebatan dalam mencapai sasaran ini adalah berapa banyak yang sanggup dibayar oleh negara kaya kepada negara miskin untuk melaksanakan teknologi bersih dan berapa banyak kesusahan yang sanggup dihadapi oleh negara miskin dalam mengurangkan pelepasan GHG mereka sendiri. Malaysia melihat dirinya sebagai bersuara untuk kepentingan negara membangun, namun menghadapi pilihan sukar kerana kita sedang beralih kepada status negara maju.

    Banyak modal politik yang telah digunakan menjelang COP21. Amerika Syarikat dan China telah menjadikan perubahan iklim sebagai titik kerjasama yang utama.[1] Negara-negara pencemar utama yang lain termasuklah India, Russia, Brazil, Jepun, Canada dan Indonesia sedang ditekan hebat untuk membentangkan pelan substantif mengenai cara mereka akan menghadkan peningkatan pelepasan gas rumah hijau. Malahan, kebanyakan negara yang hadir pada COP21 telah menghantar Intended Nationally Determined Contributions (INDCs) yang menggariskan pelan rancangan mereka untuk mengurangkan pelepasan GHG.[2] Malaysia merupakan antara negara terakhir yang menghantar INDC, iaitu pada 27 November 2015.[3]

    Malaysia telah meletakkan dirinya ke dalam kumpulan negara membangun dengan menjadi salah satu suara utama dalam kumpulan “Negara Membangun Berfikiran Sependapat” (Like-Minded Developing Countries, LMDC) yang merangkumi negara besar lain seperti China dan India, serta negara-negara kecil seperti Argentina, Iran, Arab Saudi dan Venezuela. Malahan, ketika dalam sebuah persidangan menuju ke COP21 di Bonn pada 31 Ogos, Malaysa telah diberi penghormatan untuk membuat kenyataan pembukaan bagi pihak LMDC.[4]

    Pendekatan yang diambil oleh negara-negara membangun dalam menghadapi rundingan COP21 adalah cukup munasabah. Secara ringkasnya, negara maju telah mempunyai bahagian yang tidak seimbang dalam pelepasan GHG ketika fasa membangun mereka, maka adalah tidak adil untuk negera membangun menghadkan pelepasan GHG semasa mereka sedang membangun. Fokus sebelum ini yang tertumpu pada langkah-langkah pencegahan telah meletakkan beban yang terlalu berat kepada negara membangun. Dengan itu, negara maju seolah-olah membuli negara membangun. LMDC mahukan perbincangan perubahan iklim tersebut diperluaskan untuk merangkumi langkah penyesuaian (strategi untuk membantu komuniti yang terdedah kepada perubahan iklim yang berterusan), pembiayaan kewangan, pembangunan kapasiti, pembangunan dan pemindahan teknologi, ketelusan tindakan dan sokongan serta kerugian dan kerosakan.[5] Dengan erti kata lain, jika negara maju mahukan negara membangun untuk menghadkan peningkatan dan / atau pengurangan pelepasan GHG, negara maju perlu memainkan peranan dari segi pembiayaan dan pemindahan teknologi.

    Ini semua merupakan usaha yang amat baik. Namun kita perlu sedar akan akibat yang mungkin dihadapi Malaysia dalam rundingan sebagai sebahagian daripada LMDC. Pertamanya, peraliahn Malaysia menuju status negara maju menjelang tahun 2020 akan memungkinkan kita tidak layak untuk menerima dana daripada negara maju berhubung inisiatif perubahan iklim. Sebagai contoh, akses kepada Dana Iklim Hijau yang sepatutnya menerima sumbangan daripada negara maju berjumlah 100 bilion USD setiap tahun menjelang 2020, mungkin tidak dapat dicapai Malaysia jika kita telah mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020. Malaysia ternampak berminat untuk menjadi ahli Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada masa akan datang. Jika ini berlaku, hampir pasti bahawa Malaysia tidak akan layak untuk menerima dana perubahan iklim yang ditujukan untuk negara membangun.

    Kedua, ketidakupayaan negara maju untuk membiayai dana bagi pelbagai langkah yang dituntut oleh LMDC mungkin boleh digunakan sebagai alasan oleh Malaysia untuk memberi kurang perhatian terhadap agenda domestik pengurusan alam sekitar yang sewajarnya. Contohnya, Malaysia mungkin menggunakan alasan bahawa tiada pertimbangan yang mencukupi bagi kos penyesuaian pada rundingan COP21 untuk negara yang mengalami banjir teruk akibat daripada pemanasan global dan perubahan iklim. Namun terdapat bukti kukuh bahawa sebahagian besar banjir teruk yang melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang pada penghujung 2014 diakibatkan pengurusan hutan dan tanah yang teruk serta pembalakan haram. Dengan memberi tumpuan terhadap potensi kelemahan COP21 dari sudut penyesuaian, kita memberi diri sendiri alasan untuk tidak memberi tumpuan kepada faktor bukan penyebab perubahan iklim yang menyebabkan kerosakan serius terhadap alam sekitar di Malaysia.

    Kita sudah boleh melihat beberapa ‘kaveat’ (halangan) ini dikemukakan dalam INDC Malaysia, yang menekankan kos tinggi berhubung langkah-langkah penyesuaian yang telah dan akan terus dilaksanakan dalam pelbagai bidang seperti banjir, jaminan bekalan air, jaminan bekalan makanan, penjagaan pinggiran pantai serta kesihatan. (Ulasan terperinci terhadap INDC Malaysia akan disiarkan kemudian).

    Sebagai kesimpulan, walaupun tumpuan di COP21 akan banyak diberikan kepada pertikaian antara negara maju dan negara membangun, kerajaan Malaysia tidak patut terlepas pandang isu peralihan negara kita daripada negara membangun kepada negara maju dan juga tidak harus memberi alasan untuk melepaskan diri daripada melaksanakan polisi dan memastikan penguatkuasaan yang lebih baik bagi melindungi alam sekitar di Malaysia.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] https://www.whitehouse.gov/the-press-office/2015/09/25/us-china-joint-presidential-statement-climate-change

    [2]http://www4.unfccc.int/submissions/indc/Submission%20Pages/submissions.aspx

    [3]http://www4.unfccc.int/submissions/INDC/Published%20Documents/Malaysia/1/INDC%20Malaysia%20Final%2027%20November%202015.pdf

    [4]http://www4.unfccc.int/submissions/Lists/OSPSubmissionUpload/213_149_130855029280220574-LMDC_Opening_Statement_31Aug2015.pdf

    [5] http://pib.nic.in/newsite/PrintRelease.aspx?relid=126913

Leave a reply.