• Apakah yang telah berlaku kepada perbelanjaan ke atas beras ST15 dan mengapa subsidi padi untuk petani dipotong?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 4 November 2015

    Apakah yang telah berlaku kepada perbelanjaan ke atas beras ST15 dan mengapa subsidi padi untuk petani dipotong?

    Pengumuman Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa subsidi beras Super Tempatan 15% hancur (ST15) dimansuhakan adalah tidak memeranjatkan. Dalam anggaran belanjawan 2016, subsidi bernilai RM528 juta pada 2015 telah dikurangkan kepada sifar untuk 2016.

    Dilaporkan bahawa Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras MOA, Samsuddin Ismail berkata bahawa program tersebut dimansuhkan kerana terdapat terlalu banyak lopong dalam skim itu termasuklah beras tersebut dibeli oleh bukan warganegara dan pengusaha kedai makan.[1]

    Sejak pengenalan subsidi ini pada 2008 hingga 2015, anggaran RM3.4 bilion telah dibelanjakan (rujuk Jadual 1). Jika terdapat ketirisan berlaku dalam subsidi ini, bagaimana subsidi ini digunakan? Berapa banyak subsidi ini yang telah dimanfaatkan oleh pengusaha kedai makan dengan memperolehi tambahan keuntungan kerana menggunakan beras gred rendah yang bersubsidi? Berapa banyak subsidi ini yang telah digunakan oleh orang tengah yang tidak bertanggungjawab dengan membeli beras subsidi ST15 yang dipakej semula supaya ia dilihat sebagai beras gred tinggi dan mahal? Menteri perlu menjelaskan perkara ini kepada pembayar cukai Malaysia.

    Subsidi ini diperkenalkan pada 2008 semasa beras mencatat harga tinggi dalam sejarah. Merujuk kepada statistik daripada United Nations’ Food and Agriculture (FAO) Rice Market Monitor, harga untuk beras eksport Thai White 100% B Gred 2 menjangkau 963USD untuk satu tan pada Mei 2008. Semenjak itu, harga beras tersebut telah menurun ke 367USD pada September 2015 (lihat Jadual 2).

    Subsidi ST15 ini disalurkan melalui BERNAS yang bertanggungjawab untuk memastikan kestabilan bekalan beras ST15 disebabkan oleh sejarah harga beras yang terlalu tinggi dalam pasaran dunia. Namun sejak harga beras jatuh melebihi 50% sejak 2008, berapa banyak dari subsidi ini telah menguntungkan pihak BERNAS itu sendiri? Apa yang memeranjatkan adalah, apabila harga beras pasaran antarabangsa bagi Thai 100% B jatuh kepada kurang dari RM410 pada 2014 dan 2015, subsidi ST15 masih dikekalkan pada RM528 juta untuk dua tahun tersebut. Apakah subsidi ini digunakan membantu golongan miskin untuk membeli beras dengan harga yang murah atau ia memberi manfaat terus kepada BERNAS? Kementerian Pertanian juga perlu menjelaskan hal ini.

    Akhir sekali, PM ketika dalam pembentangan bajet mengumumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan kadar subsidi padi kepada petani (Skim Subsidi Harga Padi) daripada RM248.10 kepada RM300 bagi setiap tan metrik. Mengikut beliau, ini akan meningkatkan pendapatan petani dari RM1190 kepada RM1440. Tetapi apabila peruntukan Subsidi Harga Padi dalam Anggaran Belanjawan dikaji semula, kami mendapati ia sebenarnya telah dipotong dari RM480 juta (2015) kepada RM400 juta (2016). Bagaimanakah perkara ini konsisten dengan pengumuman Najib yang pendapatan petani dapat ditingkatkan? Adakah Kementerian Pertanian akan mengenakan sistem kuota supaya hanya sedikit petani yang layak untuk skim subsidi ini memandangkan terdapat lebih kurang 172,330 petani padi di Malaysia, sedangkan perancangan Najib hanyalah untuk 155,000 orang petani sahaja?

    Dalam Belanjawan Alternatif 2016 Pakatan Harapan, kami menyokong pemindahan subsidi ST15 kepada petani disebabkan oleh ketirisan yang dialami dan hakikat bahawa subsidi padi kepada petani tidak pernah ditingkatkan sejak tahun 1991. Kami rasa ini merupakan cara yang lebih saksama dalam memperuntukkan subsidi ini. Pendapatan golongan miskin juga dapat ditingkatkan dengan pemansuhan GST berbanding subsidi ST15 yang langsung tidak disalurkan kepada golongan tersebut.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/11/01/Rice-ST15-subsidy-abolished/

Leave a reply.