• Penyerahan memorandum tentang masalah jerebu kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 28 Oktober 2015

    Penyerahan memorandum tentang masalah jerebu kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia

    Semalam pada 27 Oktober, delegasi dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Lim Guan Eng ditemani oleh barisan Ahli Parlimen, Lim Lip Eng (Segambut), Steven Sim (Bukit Mertajam), Jeff Ooi (Jelutong), Stephen Wong (Sandakan), Ng Wei Aik (Tanjong), Zairil Khir Johari (Bukit Bendera) dan saya telah melawat Duta Indonesia di Malaysia, H.E. Herman Prayitno bagi menyerahkan memorandum berkenaan masalah jerebu akibat daripada pembakaran terbuka yang berlaku di Indonesia dan memberi kesan teruk kepada Malaysia.

    Antara perkara yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut adalah bahawa Kerajaan Indonesia perlu memberi pertimbangan serius terhadap tawaran dan bantuan teknikal oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura untuk menghantar peralatan dan anggota bomba profesional bagi membantu memadamkan kebakaran hutan, dan Indonesia perlu segera menandatangani memorandum persefahaman dengan Malaysia berhubung mekanisme kerjasama terperinci untuk menangani masalah jerebu. Kami memerhatikan dalam memorandum tersebut bahawa persetujuan memorandum persefahaman telah ditangguhkan dua kali seperti mana yang dikatakan oleh YB Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

    Beberapa maklumat penting dan penjelasan juga telah disampaikan kepada kami oleh Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Kami diberitahu bahawa Indonesia memerlukan bantuan dari segi pesawat yang mampu menjalankan misi ‘pengeboman air’ di kawasan yang terjejas dan pesawat pengebom air Malaysia yang mampu melakukan misi tersebut kini sedang diselenggara.[1] Kami juga diberitahu bahawa Indonesia telah mengerahkan 13,900 anggota tentera dan polis bagi aktiviti memadam kebakaran di kawasan terjejas.

    Kami juga dimaklumkan berkenaan Memorandum Persefahaman antara Indonesia dan Malaysia dalam kerjasama untuk menangani masalah jerebu hanyalah untuk Wilayah Riau di Sumatera sahaja, dan bukannya merupakan perjanjian holistik yang merangkumi kawasan pembakaran terbuka di Kalimantan dan kawasan Sumatera yang lain. Semakan selanjutnya mendedahkan bahawa Perjanjian Persefahaman ini telah dibentangkan sejak November 2014, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada masa itu, iaitu Datuk Seri Dr. James Dawos.[2]

    Akhirnya, kami digalakkan untuk meminta syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia untuk membantu dalam memadamkan kebakaran dengan menyewa pesawat untuk melakukan misi pengeboman air dan aktiviti lain yang berkaitan bagi mengawal dan memadamkan api yang sedang merebak di Indonesia.

    Kami mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia kerana kesudian untuk mengadakan pertemuan ini serta memberikan pandangan dan maklumat secara jujur.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lim Guan Eng – Memorandum Jerebu (BM)

    Lim Guan Eng – Haze Memorandum (Eng)

    [1] http://english.astroawani.com/malaysia-news/malaysia-indonesia-hold-further-talks-aid-combat-forest-fires-and-haze-78123

    [2] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/11/13/Malaysia-Indonesia-haze-MoU/

Leave a reply.