• “Tahniah” kepada Perdana Menteri atas bajet “berteraskan rakyat”

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 26 Oktober 2015

    “Tahniah” kepada Perdana Menteri atas bajet “berteraskan rakyat”

    Saya ingin mengucapkan “tahniah” kepada Perdana Menteri kerana memansuhkan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang berjumlah RM950 juta yang besar kemungkinan akan menyebabkan peningkatan harga minyak masak.

    Saya ingin mengucapkan “tahniah” kepada PM kerana mengurangkan hampir RM9 bilion (daripada RM19.3 bilion pada 2015 kepada RM10.6 bilion pada 2016) daripada subsidi dan bantuan tunai yang dapat mengurangkan kesan peningkatan kenaikan kos sara hidup rakyat Malaysia.

    Saya ingin mengucapkan “tahniah” kepada PM kerana memansuhkan subsidi bil elektrik yang sudah pasti akan meningkatkan bil elektrik bagi golongan miskin yang merupakan penerima manfaat utama dari subsidi ini.

    Saya ingin mengucapkan “tahniah” kepada BN kerana telah mengutip tambahan RM4.5 bilion GST bagi tahun 2016 daripada semua pengguna di Malaysia (RM39 bilion pada 2016 untuk GST sahaja berbanding dengan RM34.5 daripada GST dan SST pada tahun 2015).

    Saya yakin bahawa peningkatan pembayaran BR1M berjumlah RM 1 bilion (daripada RM4.9 bilion pada 2015 kepada RM 5.9 bilion pada 2016) akan mengimbangi pemotongan RM10.1 bilion pada subsidi terus dan tambahan RM4.5 bilion pada GST yang anda akan mengutip daripada poket kami.

    Saya juga ingin berterima kasih diatas bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol berjumlah RM458.7 juta (2015) kepada RM593.3 juta (2016) walaupun baru-baru ini harga tol telah meningkat di 18 buah lebuh raya utama. Saya yakin bahawa syarikat-syarikat konsesi tol yang miskin menderita bertahun-tahun akibat daripada pampasan rendah dan kekurangan peningkatan bayaran tol dapat berseronok pada tahun 2016.

    Kesimpulannya, “tahniah” atas bajet “berteraskan rakyat” di mana saya pasti rakyat Malaysia akan bersyukur selamanya… sehingga datangnya bajet 2017.

    (p.s.: Kenyataan media ini ditulis dalam nada sarkastik)

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.