• Inisiatif pelaburan yang diumumkan dalam Bajet perlu diawasi dengan teliti

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 25 Oktober 2015

    Inisiatif pelaburan yang diumumkan dalam Bajet perlu diawasi dengan teliti

    Dalam ucapan Bajet Perdana Menteri pada hari Jumaat lalu, beliau telah mengumumkan sejumlah besar inisiatif pelaburan di bawah “Keutamaan Pertama: Memperteguh Ketahanan Ekonomi Negara.” Pelaburan ini berjumlah RM137 bilion. Mungkin bagi sesiapa yang mendengar inisiatif ini buat pertama kali, mereka akan berasa kagum dengan pelaburan yang disuntik oleh kerajaan ke dalam infrastruktur dan pembangunan. Namun pada hakikatnya, daripada apa yang diumumkan, hanya 3.1% atau RM4.2 bilion muncul di dalam Bajet 2016. RM132.9 bilion yang selebihnya (96.9%) sebenarnya merupakan perkara luar bajet yang dibiayai oleh Syarikat Tujuan Khas (SPV), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Kerjasama Awam Swasta (PPP) dan juga sektor swasta.

    Jadual 1 di bawah menyenaraikan kesemua perbelanjaan pelaburan di bawah seksyen “Keutamaan Pertama” dalam Bajet Najib.

    Jadual 1: Pelaburan di bawah seksyen “Keutamaan Pertama” Bajet Najib

    Perbelanjaan pelaburan di bawah SPV adalah sebanyak RM82.5 bilion (60.2%). Ini termasuklah MRT jajaran 1 dan 2, sambungan LRT dan LRT 3 dan juga projek BRT di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dan di Kota Kinabalu. Perbelanjaan pelaburan bagi GLC pula berjumlah RM44.5 bilion (32.4%). Ini termasuklah RM6.7 bilion oleh Khazanah di 9 kawasan berimpak dan pelaburan Petronas di kompleks RAPID, Pengerang Johor yang bernilai RM18 bilion. Setahu saya, projek Malaysia Vision Valley yang bernilai RM5 bilion merupakan sebuah projek yang kebanyakkanya dipacu oleh sektor swasta.[1] Projek penyuraian trafik Jalan Tun Razak yang berjumlah RM900 juta juga diumumkan sebagai projek Kerjasama Awam Swasta (PPP). Daripada baki RM4.2 bilion dalam projek kerajaan, tidak banyak daripadanya merupakan inisiatif baru. Sebagai contoh, peruntukan projek bekalan elektrik dan air luar bandar bernilai RM1.5 bilion telah wujud sebagai sebahagian daripada NKRA Infrastruktur Asas Luar Bandar di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

    Mengapakah kita perlu memberi perhatian kepada hakikat bahawa hampir 97% daripada inisiatif pelaburan sebenarnya merupakan perkara luar bajet?

    Pertama, beberapa projek ini mungkin tidak akan terlaksana atau mampu untuk menarik jumlah pelaburan seperti yang diumumkan oleh Najib. Sebagi contoh, projek Cyberjaya City Center bernilai RM11 bilion dilaksanakan melalui Cyberview Sdn Bhd yang merupakan syarikat milik kerajaan.[2] Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 (siri ketiga), Cyberview mempunyai tunggakan bayaran kepada kerajaan berjumlah RM571 juta pada penghujung 2013. Jika ia tidak mampu untuk membayar faedah kepada kerajaan, amat sukar untuk membayangkan bagaimana syarikat ini dapat membiayai RM11 bilion yang diperlukan untuk projek tersebut. Insiatif eko-resort bersepadu Nexus Karambunai yang diumumkan oleh Najib pada 2011 yang berjumlah RM3 bilion juga masih belum dijalankan walaupun empat tahun telah berlalu. Keraguan yang sama juga terpakai bagi projek KL Aeropolis oleh Malaysian Airports yang bernilai RM7 bilion dan juga projek Malaysia Vision Valley yang bernilai RM5 bilion.

    Kedua, beberapa inisiatif pelaburan mungkin tidak mempunyai faedah secara langsung kepada rakyat. Contohnya, Khazanah menerusi entiti IHH Healthcare Berhad akan melabur anggaran RM670 juta antara tahun 2015 hingga 2017 dalam membina hospital baru dan mengembangkan hospital sedia ada di Media Iskandar, KL, Klang, Melaka dan Kota Kinabalu.[3] Namun disebabkan hospital ini semua merupakan hospital swasta, penerima faedah hanya merupakan mereka yang berkemampuan untuk membayar kos penjagaan kesihatan swasta (serta IHH sendiri). Malahan, belum pasti sama ada ini akan diterjemahkan kepada lebih pembayaran dividen oleh Khazanah kepada kerajaan.

    Ketiga, sebarang projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan perlu diawasi dengan teliti. PPP di Malaysia mempunyai sejarah tidak telus dan berat sebelah kepada sektor swasta. Contoh ketara adalah konsesi tol dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) generasi pertama. Maka apabila Najib mengumumkan projek penyuraian trafik Jalan Tun Razak yang sangat diperlukan memandangkan kesesakan trafik yang serius berlaku ketika waktu puncak di sepanjang jalan utama di Kuala Lumpur, dan projek ini akan dibiayai melalui Kerjasama Awam Swasta, soalan serta merta yang muncul adalah syarikat konsesi manakah yang akan mendapat projek ini, dan berapakah tol yang perlu dibayar oleh pengguna jalan?

    Tambahan pula, oleh kerana Kerjasama Awam Swasta ini dirundingkan oleh Unit Perancang Ekonomi tanpa sebarang butiran kepada umum, kemungkinan besar bahawa projek ini akan berakhir dengan tanggungan lebih oleh kerajaan (dan mungkin pengguna akhir) berbanding jika kerajaan membiayai projek ini dengan pengeluaran bon. Misalnya, Zecon Bhd iaitu kontraktor sektor swasta telah diberi kontrak untuk membina dan menyewa keluar hospital kanak-kanak berdekatan UKM bagi tempoh 30 tahun akan datang. Kerajaan perlu membayar sewa tahunan kepada pengendali hospital dan memandangkan sektor swasta meminta Kadar Pulangan Dalaman (IRR) melebihi 10%, kerajaan mungkin akan membayar lebih dalam tempoh 30 tahun ini berbanding jika hospital itu dibina sendiri oleh kerajaan.[4] (Namun memandangkan syarat-syarat dalam Kerjasama Awam Swasta ini tidak didedahkan kepada umum, kita tidak tahu jika ini akan berlaku).

    Keempat, generasi seterusnya akhirnya akan menanggung segala kos projek infrastruktur mega. Projek LRT dan MRT sedang dibiayai melalui bon yang dikeluarkan oleh Syarikat Tujuan Khas seperti DanaInfra, yang merupakan syarikat 100% milik Kementerian Kewangan. Hampir pasti bahawa pengendali LRT dan MRT tidak mampu untuk menjana aliran tunai yang mencukupi untuk membayar pinjaman berbilion ringgit ini. Apabila ini berlaku, kerajaan terpaksa masuk campur untuk membayar faedah bagi pinjaman-pinjaman ini. Maka, generasi hadapan perlu membayar hutang ini walaupun ini tidak diakui oleh kerajaan.

    Kelima dan terakhir, kerajaan belum mengumumkan sebarang langkah baru untuk menjamin bahawa perbelanjaan pembangunan akan digunakan sebaik mungkin dengan ketirisan minimum. Contohnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumpul lebih dari RM1 bilion setiap tahun daripada syarikat telekomunikasi untuk menambahbaik perkhidmatan internet dan telefon mudah alih bagi komuniti yang memerlukan. Daripada dana ini, sejumlah RM1.2 bilion akan digunakan untuk meningkatkan penembusan jalur lebar luar bandar. Namun, dana ini juga telah digunakan untuk membeli lebih daripada 1 juta netbook untuk guru dan murid sejak tahun 2010. Penggunaan dan pengedaran netbook ini penuh dengan kelemahan dan mendapat kritikan dari pelbagai pihak.[5] Tiada jaminan bahawa RM1.2 bilion ini akan mencapai tujuan asalnya untuk meningkatkan penembusan jalur lebar, jika kerajaan meneruskan hal ini seperti amalan biasa.

    Pendek kata, sebelum anda meraikan inisiatif pembangunan melebihi RM100 bilion yang diumumkan oleh Najib, fikirkanlah sama ada pelaburan ini akan menjadi kenyataan, berapa banyak ketirisan yang akan berlaku, dan siapa yang akan menanggungnya nanti.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.ptlm.com.my/index.php/component/k2/11-insider/malaysian-vision-valley-mvv-400ha-central-park-green-lung-planned-to-be-like-the-ones-in-london-new-

    [2] http://cyberview.com.my/property/property-development-property/upcoming/cyberjaya-city-centre-project/

    [3] http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2015/09/14/Khazanah-to-invest-in-projects-to-boost-economy/?style=biz

    [4] http://www.thesundaily.my/news/1268430

    [5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/mcmc-denies-handing-out-busted-netbooks-blames-students-for-faults

Leave a reply.