• Perkara ‘tersembunyi’ dalam Bajet yang perlu diteliti

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 22 Oktober 2015

    Perkara ‘tersembunyi’ dalam Bajet yang perlu diteliti

    Bagi masyarakat umum, mereka ingin tahu bagaimana Bajet akan mempengaruhi perbelanjaan mereka secara langsung, sama ada dari segi kadar cukai pendapatan, kadar GST atau nilai BR1M yang diberi dan pada tahap pendapatan apa ia diberi. Ini merupakan perkara biasa. Namun, bagi pembuat dasar, penggubal undang-undang dan penganalisis, bajet merupakan dokumen holistik yang mempunyai implikasi besar terhadap ekonomi dan bukannya memberi kesan kepada perbelanjaan individu sahaja. Berikut adalah senarai perkara yang akan saya teliti semasa pembentangan bajet serta dokumen berkenaan yang akan dibentangkan di Parlimen.

    1) Di manakah berlakunya pemotongan dan kenaikan dalam belanjawan?

    Untuk setiap pembentangan bajet, Kementerian Kewangan akan membekalkan sebuah buku tebal bertajuk “Anggaran Perbelanjaan Persekutuan” yang menyenaraikan pecahan anggaran mengurus dan pembangunan bagi setiap kementerian untuk tahun kewangan semasa dan tahun kewangan hadapan.[1] Kecuali pengkaji bajet, ramai dari masyarakat awam tidak pernah melihat isi kandungan buku ini. Namun ia adalah sebuah buku penting yang memberi maklumat tentang pemotongan dan kenaikan belanjawan yang berlaku.

    Sebagai contoh, jumlah perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat dari RM264 bilion pada 2014 kepada RM274 bilion pada 2015. Namun peningkatan ini tidak dibahagi sama rata. Anggaran bajet untuk Jabatan Perdana Menteri meningkat sebanyak RM2.5 bilion, iaitu dari RM16.5 bilion pada 2014 kepada RM19 bilion pada 2015. Manakala bajet bagi Kementerian Pengangkutan pula berkurang dari RM5.2 bilion pada 2014 kepada RM4.6 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM 0.6 bilion.

    Dokumen ini memberitahu kita di mana keutamaan perbelanjaan kerajaan serta menunjukkan kemungkinan perbelanjaan yang kurang telus. Sebagai contoh, sebahagian besar RM2.5 bilion peningkatan dalam bajet JPM adalah untuk perbelanjaan pembangunan yang termasuk RM1.5 bilion untuk perumahan PR1MA, RM1.9 bilion untuk 5 pembangunan koridor dan RM1.6 bilion untuk “projek khas” (butiran tidak diberikan). Pada masa yang sama, perbelanjaan mengurus untuk universiti awam telah dipotong daripada RM8.5 bilion (2014) kepada RM7.4 bilion (2015), iaitu pengurangan sebanyak RM1.1 bilion.

    Terdapat banyak perkara menarik yang dibongkarkan dalam dokumen ini, sama ada perkara berskala kecil – misalnya RM20 juta pada 2015 untuk program ANGKASA, hinggakan perkara berskala besar – misalnya anggaran RM2.2 bilion pada 2015 untuk pelbagai subsidi berkaitan padi.

    Yang pasti, kita perlu memberi perhatian kepada butiran kecil, dan butiran yang disenaraikan mempunyai implikasi ekonomi dan sosial yang mewajarkan yang pemerhatian lebih teliti.

    2) Perubahan dalam item luar bajet

     Dalam setiap sesi pembentangan bajet, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara akan menerbitkan sebuah dokumen bertajuk “Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan.” Ia menyenaraikan perbelanjaan sebenar kerajaan bagi tahun belanjawan sebelumnya. Ia juga memberikan senarai pinjaman tertunggak negara, senarai pelaburan kerajaan dan juga senarai pinjaman jaminan kerajaan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan.

    Mengapakah senarai ini begitu penting? Pertama, senarai pinjaman terkumpul kerajaan memberitahu kita jumlah sebenar hutang syarikat-syarikat tersebut kepada kerajaan. Sebagai contoh, sehingga tahun 2013, Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) masih berhutang RM3.7 bilion dengan kerajaan berikutan penerimaan pinjaman mudah untuk menyelamatkan LPK dari skandal PKFZ. Begitu juga dengan Indah Water Konsortium (IWK) dan National Feedlot Corporation (NFC) yang masing-masing berhutang RM2 bilion dan RM225 juta kepada kerajaan persekutuan. Walaupun pinjaman ini disenaraikan sebagai aset kerajaan, namun sebahagian besar syarikat ini tidak berada dalam keadaan yang membolehkan mereka membayar hutang tersebut. Oleh itu, besar kemungkinan bahawa kerajaan akan terpaksa menghapus kira hutang ini. Akhirnya, pembayar cukai yang terpaksa menanggung kos ini.

    Kedua, senarai perbelanjaan kerajaan menunjukkan pegangan saham kerajaan dalam pelbagai syarikat tersenarai dan syarikat tersenarai bukan awam. Senarai ini memberitahu kita syarikat manakah yang dikawal oleh kerajaan. Dan mungkin jika dikorek sedikit, ia akan mendedahkan kepada kita beberapa cara yang digunakan oleh kerajaan untuk ‘menyembunyikan’ hutang itu. Sebagai contoh, dua buah syarikat yang tersenarai – Pembinaan BLT Sdn Bhd dan Pembinaan PFI Sdn Bhd – merupakan syarikat khas yang digunakan untuk membiayai beberapa projek pembangunan yang tiada dalam bajet perbelanjaan pembangunan rasmi. Sehingga tahun kewangan 2014, Pembinaan PFI telah berjaya mengumpul hutang berjumlah RM26.5 bilion dan ia tidak menjana sebarang pendapatan secara sendiri, bermakna bayaran faedah yang dikenakan ke atas hutang adalah datang dari sumber kerajaan persekutuan. Adakah mungkin ada syarikat seumpama Pembinaan PFI dan BLT dalam senarai ini? Kita akan melihat perkara ini selepas pembentangan bajet pada hari ini apabila penyata akaun kerajaan bagi 2014 dikeluarkan.

    Ketiga, senarai jaminan kerajaan ini menunjukkan berapa banyak kerajaan perlu berbelanja untuk menyelamatkan syarikat dalam senarai ini jika ia diisytiharkan bankrap. RM5.8 bilion dari jumlah hutang 1MDB adalah merupakan jaminan kerajaan pada 2013 sebagaimana RM29.2 bilion hutang PTPTN. Jumlah keseluruhan jaminan kerajaan (atau dikenali sebagai liabiliti luar jangka) berjumlah RM157.5 bilion setakat 2013. Jika jaminan ini ditambah kepada hutang kerajaan, maka nisbah hutang kita kepada KDNK akan melebihi 55% had kerajaan.

    Terdapat juga syarikat dalam senarai ini seperti TNB dan Khazanah yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan mungkin tidak perlu bantuan kerajaan dalam masa terdekat. Namun pada masa yang sama, hubungan kewangan kerajaan dengan syarikat seperti 1MDB jauh melebihi jumlah RM5.8 bilion jaminan kerajaan. Berapa banyak lagi akan liabiliti kerajaan meningkat selepas ini?

    Kita akan tahu selepas meneliti penyata kewangan kerajaan persekutuan yang terbaru.

    3) Laporan Ketua Audit Negara berkenaan Status dan Pengurusan Kewangan Kerajaan Persekutuan

    Semasa setiap sesi parlimen bajet akhir tahun, Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan tahunan berkenaan status kewangan dan pengurusan kerajaan persekutuan dan setiap kementerian.

    Ia bukanlah sebuah dokumen yang diteliti umum, namun ia mengandungi maklumat penting seperti kualiti pengurusan kewangan oleh setiap kementerian, syarikat yang mempunyai masalah untuk membayar balik pinjaman kerajaan dan status perbelanjaan akaun amanah tertentu. Di dalam dokumen inilah saya mendapati Pembinaan PFI telah membelanjakan hampir RM30 bilion untuk projek berkaitan perbelanjaan pembangunan dan juga menemui syarikat seperti Cyberview Sdb Bhd yang mengumpul tunggakan pembayaran sebanyak RM571 juta kepada kerajaan persekutuan.

    Oleh itu, walaupun ramai orang akan memberi tumpuan kepada perkara besar dalam bajet yang menarik perhatian, saya pula akan meneliti dengan terperinci beberapa perkara yang ‘tersorok’ dalam bajet dan dokumen berkaitan yang mungkin mempunyai maklumat menarik dan penting berkenaan dengan keadaan kewangan negara ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www1.treasury.gov.my/index.php?option=com_content&view=category&id=447&Itemid=2473&lang=en

Leave a reply.