• 5 isu yang dibangkitkan semasa perbahasan usul tergempar berkaitan masalah jerebu

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 22 Oktober 2015

    5 isu yang dibangkitkan semasa perbahasan usul tergempar berkaitan masalah jerebu

    Terdapat 5 isu yang telah saya bangkitkan semasa perbahasan usul tergempar berkaitan masalah jerebu pada persidangan Parlimen semalam. Namun disebabkan kekangan masa, Menteri gagal memberi maklum balas terhadap kebanyakan isu yang ditimbulkan.

    1. Status Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan versi Malaysia

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengumumkan sebelum ini bahawa Malaysia akan menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan versi sendiri yang akan ditambahbaik berbanding versi Singapura yang telah diluluskan pada 2014.

    Saya telah bertanya kepada Menteri sama ada versi kita akan mengandungi penambahbaikan kepada beberapa kelemahan versi Singapura seperti menetapkan denda maksimum berjumlah SD$2 juta bagi syarikat yang bertanggungjawab menyumbang kepada masalah jerebu. Jumlah ini adalah sangat rendah memandangkan syarikat-syarikat berkenaan memperoleh keuntungan berbilion dolar.

    Yang menariknya, Menteri masih berkeras menyatakan bahawa undang-undang Singapura hanya membenarkan negara tersebut mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat yang didaftarkan atau mempunyai anak syarikat di Singapura sahaja, walaupun saya memberitahu bahawa Singapura telah menghantar notis kepada 4 syarikat Indonesia yang terlibat dalam menimbulkan masalah jerebu. (Kemaskini: Sehingga hari ini, Singapura telah menghantar 6 notis. 5 daripada notis tersebut adalah kepada syarikat Indonesia dan 1 kepada Asia Pulp and Paper yang mempunyai pejabat di Singapura.[1] Saya tidak menjumpai bukti 5 bahawa buah syarikat Indonesia yang tersenarai mempunyai pejabat di Singapura). Menteri tidak memberi sebarang penunjuk tentang bila rang undang-undang ini akan dibentangkan di Parlimen.

    1. Tindakan terhadap syarikat Malaysia yang mempunyai anak syarikat didapati bersalah dalam menyebabkan pembakaran terbuka di Indonesia

    Saya telah memberi contoh syarikat Malaysia yang mempunyai anak syarikat di Indonesia dan telah disabitkan kesalahan kerana membenarkan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan pembakaran terbuka dalam kawasan mereka. Seorang pengurus ladang PT Adei Plantation and Industry, sebuah anak syarikat Kuala Lumpur Kepong yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur, telah didapati bersalah atas kecuaian kerana gagal untuk menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab daripada melakukan pembakaran hutan dalam kawasan estet milik syarikat tersebut pada September 2014. Pengurus tersebut dijatuhkan hukuman penjara setahun. Pada masa yang sama, pengarah syarikat berkenaan juga diarahkan untuk membayar denda dan dikenakan hukuman penjara 5 bulan.[2] Saya telah bertanya kepada Menteri sama ada tindakan akan diambil terhadap syarikat berkenaan, namun sekali lagi, Menteri gagal untuk menjawab soalan ini.

    Dalam konteks yang lebih luas, kerajaan perlu mempertimbangkan penetapan piawaian untuk syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia supaya amalan terbaik pengurusan ladang dan tanah dapat dilaksanakan bagi meminimumkan kemungkinan pembakaran terbuka berlaku dalam kawasan mereka.

    1. Pengukuran tahap PM10 dan PM2.5 oleh Jabatan Alam Sekitar

    Ramai orang, termasuklah Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak, sedang bertanyakan mengapa Malaysia tidak boleh mengikut cara Singapura dalam mengukur tahap pencemaran PM2.5 yang mengukur zarah kecil, berbanding dengan hanya bergantung kepada tahap pencemaran PM10.

    Saya telah menyatakan kepada Menteri bahawa Malaysia telah mempunyai 5 stesen pemantauan yang mempunyai peralatan untuk mengukur tahap PM2.5. Stesen ini terletak di Putrajaya, Banting, Cheras, Langkawi dan Kuching. Malahan, berdasarkan laporan dari The Star pada 2012, stesen-stesen ini telah dilengkapi untuk mengukur PM2.5 sejak Disember 2011![3] (Kemaskini: Menurut laporan Bernama, kini terdapat 12 stesen yang dilengkapi alatan untuk mengukur tahap PM2.5)[4]

    Saya telah mencadangkan kepada Menteri agar beliau meminta JAS untuk mendedahkan bacaan PM2.5 memandangkan betapa serius masalah jerebu yang sedang kita hadapi. Sekali lagi, tiada jawapan yang diberikan.

    1. Bacaan IPU setiap 3 jam diumumkan sebagai tambahan kepada bacaan IPU 24 jam

    Saya telah mencadangkan kepada Menteri supaya kita mengikut cara Singapura iaitu mengumumkan bacaan IPU 3 jam sebagai tambahan kepada bacaan IPU 24 jam yang sedang kita gunakan. Ini membolehkan gambaran yang lebih jitu diperoleh berkenaan keadaan jerebu terkini berbanding dengan hanya merujuk kepada bacaan purata 24 jam. Sebagai contoh, bacaan IPU setiap jam bagi hari sebelum mungkin kurang dari 100, namun telah mencecah 200 beberapa jam yang lalu. Akan tetapi, bacaan IPU masih akan kekal di bawah 100 jika hanya purata yang diambil mengikut perkiraan IPU 24 jam. Ini menjadi punca mengapa orang ramai berasa sangsi terhadap bacaan IPU tanpa menyedari bahawa ia sebenarnya merupakan bacaan purata 24 jam. Adalah mudah bagi JAS untuk mengumumkan bacaan IPU 3 jam selaras dengan bacaan purata 24 jam, seperti yang sedang dilakukan oleh Singapura. Bacaan terkini akan memberi gambaran yang lebih jelas terhadap situasi jerebu terkini. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan boleh membuat keputusan yang lebih baik tentang sama ada untuk menutup sekolah atau tidak pada hari berikutnya. Sekali lagi, tiada jawapan daripada Menteri.

    1. Maklumat terkini berkenaan kontrak pemantauan kualiti udara

    Saya telah membangkitkan fakta bahawa tugas pengukuran kualiti udara di 52 stesen pengukuran di negara ini telah diberi secara kontrak kepada syarikat swasta, Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd (ASMA).[5] Kontrak 20 tahun (ditandatangani pada 1995) ini akan diperbaharui pada tahun ini. Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri menyiarkan tender kontrak ini pada September 2014.[6] Saya telah bertanya kepada Menteri berkenaan perkembangan terbaru status kontrak ini dan apakah syarat yang dimasukkan ke dalam kontrak tersebut. Saya turut bertanya sama ada kontrak sebegini patut diberi kepada syarikat swasta yang bercanggah dengan pembangunan kepakaran dalaman kementerian untuk mengukur kualiti udara, yang sepatutnya merupakan salah satu kepakaran asas bagi JAS.

    Sekali lagi, tiada jawapan yang diberikan.

    Saya akan cuba meminta Menteri untuk menjawab isu-isu ini semasa pembentangan belanjawan.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.channelnewsasia.com/news/singapore/nea-sends-notice-to-4/2149996.html and http://www.straitstimes.com/singapore/environment/nea-asks-a-6th-company-pt-bumi-andalas-permai-to-take-measures-to-mitigate

    [2] http://www.thejakartapost.com/news/2014/09/11/malaysian-firm-fined-executives-get-prison-role-forest-fires.html

    [3] http://www.thestar.com.my/Lifestyle/Features/2012/11/06/Clearing-the-air/

    [4] http://www.theborneopost.com/2015/10/08/doe-automatic-air-quality-monitoring-stations-work-around-the-clock/

    [5] http://www.enviromalaysia.com.my/index.html

    [6] http://www.ukas.gov.my/en/arkib-sebutharga-dan-tender?p_p_id=archivetenderportlet_WAR_tenderportlet&p_p_lifecycle=0&p_p_state=normal&p_p_mode=view&p_p_col_id=column-17&p_p_col_count=1&_archivetenderportlet_WAR_tenderportlet_keywords=&_archivetenderportlet_WAR_tenderportlet_advancedSearch=false&_archivetenderportlet_WAR_tenderportlet_andOperator=true&_archivetenderportlet_WAR_tenderportlet_delta=75

Leave a reply.