• 1918 kanak-kanak yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen perlu dijaga dengan sewajarnya

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 21 Oktober 2015

    1918 kanak-kanak yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen perlu dijaga dengan sewajarnya

    Semalam, saya telah menerima jawapan balas Parlimen berhubung dengan soalan saya tentang bilangan pendatang yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen. Saya terkejut apabila mendapati bahawa terdapat seramai 1918 tahanan kanak-kanak daripada jumlah 71,362 tahanan merentas negara. Jumlah ini merangkumi 3% daripada jumlah seluruh tahanan.

    Isu tahanan kanak-kanak di pusat tahanan terbongkar di dalam rancangan dokumentari Aljazeera 101 East yang bertajuk “Malaysia’s Unwanted” yang menunjukkan seorang kanak-kanak di dalam pusat tahanan apabila wartawan memasuki pusat tersebut dengan menyamar sebagai paderi.[1] Statistik dari jawapan Parlimen menunjukkan bahawa ini bukanlah kes terpencil. Malahan, terdapat kanak-kanak dalam setiap daripada 13 buah pusat tahanan ini, di mana jumlah tertinggi adalah di Bekenu, Sarawak (299 orang) dan jumlah terkecil di Semuja, Sarawak (9 orang).

    Negara yang mempunyai bilangan tahanan kanak-kanak tertinggi adalah Myanmar (813 orang), diikuti oleh Indonesia (422 orang), Filipina (295 orang) dan Kemboja (112 orang). Bilangan dari keempat buah negara ini merangkumi 86% daripada jumlah keseluruhan tahanan kanak-kanak.

    Saya menyeru Menteri Dalam Negeri untuk melakukan perkara berikut:

    • Memastikan bahawa kebajikan dan keselamatan tahanan kanak-kanak ini diutamakan, selaras dengan peruntukan Konvensyen Hak Kanak-kanak[2] yang telah ditandatangani oleh Malaysia.
    • Bekerjasama dengan kedutaan negara yang terlibat, terutamanya di kalangan negara ASEAN, untuk mempercepatkan sebarang proses penempatan semula atau penghantaran pulang mereka bersama ibu bapa.
    • Bekerjasama dengan SUHAKAM, NGO dan badan-badan yang berminat demi membenarkan kanak-kanak ini, bersama-sama ibu bapa mereka (jika berkenaan), untuk dilepaskan dari pusat tahanan dan dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai.

    Sebagai permulaan, saya menyeru Menteri Dalam Negeri untuk menganjurkan lawatan bagi Ahli Parlimen yang berminat untuk melawat ke pusat tahanan di Lembah Kelang (Bukit Jalil, KLIA atau Semenyih) bagi membolehkan kami meneliti keadaan pusat tahanan yang menempatkan tahanan kanak-kanak ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang


    [1] http://www.aljazeera.com/programmes/101east/2014/11/malaysia-unwanted-20141118111742722400.html

    [2] http://www.ohchr.org/en/professionalinterest/pages/crc.aspx

Leave a reply.