• Bilahari Kausikan, Diplomat Kanan Singapura, perlu mentafsirkan perkembangan politik Malaysia sebagai sebahagian daripada tren perubahan regim global di kalangan regim pemerintahan parti dominan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 8 Oktober 2015

    Bilahari Kausikan, Diplomat Kanan Singapura, perlu mentafsirkan perkembangan politik Malaysia sebagai sebahagian daripada tren perubahan regim global di kalangan regim pemerintahan parti dominan

    Dalam artikel oleh Bilahari Kausikan, Diplomat Kanan Singapura yang juga merupakan felo R Nathan di Lee Kuan Yew School of Public Policy, yang bertajuk “Singapore is not an Island”,[1] beliau telah dengan pantas mentafsir perjuangan politik semasa di Malaysia sebagai perjuangan antara orang Islam dan bukan Islam serta antara Melayu dan bukan Melayu, terutamanya kaum Cina.

    Saya hairan dengan pilihan beliau untuk mentafsirkan peristiwa politik di Malaysia dengan begitu sempit, terutamanya memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang diplomatik. Adalah lebih sesuai jika beliau meneliti kuasa politik di Malaysia sebagai sebahagian daripada tren global di mana regim yang suatu ketika dahulu dilihat sebagai kebal akhirnya ditumbangkan melalui proses pilihan raya yang aman. Ini adalah laluan yang dipilih dan komited dilalui oleh pembangkang di Malaysia.

    Barisan Nasional (BN) di Malaysia merupakan kerajaan yang memerintah melalui undi popular untuk tempoh paling lama dalam sejarah politik semasa. Namun, ia bukanlah parti yang bertahan paling lama dalam sejarah. Parti Revolusi Berinstitusi (PRI), yang telah memerintah Mexico pada 1929 hingga 2000, tidak tergugat untuk begitu lama walaupun adanya pilihan raya kerap pada peringkat presiden, gabenor, perundangan dan perbandaran. Mereka seakan-akan kebal dengan mendominasi institusi kerajaan, perundangan dan gabenor setiap negeri. Namun pada pilihan raya Presiden tahun 2000, Franciso Labastida Ochoa yang merupakan calon PRI telah kalah kepada Vicente Fox Quesada, calon PAN yang juga merupakan bekas eksekutif Coca-Cola dan gabenor Guanajuato, dalam pertandingan tiga penjuru.

    Pada tahun 2000, parti Kuomintang (KMT) di Taiwan juga telah tewas dalam pertandingan tiga penjuru, dengan kekalahan kepada Democratic Progressive Party (DPP) di bawah Chen Shui Bian. Baru-baru ini, Liberal Democratic Party (LDP) yang telah menguasai politik Jepun sejak selepas Perang Dunia Kedua untuk selama lebih daripada setengah abad, telah kalah kepada Democratic Party of Japan (DP).

    Regim dominan lain yang kurang terkenal dan telah kehilangan kuasa melalui pilihan raya termasuklah Socialist Party di Senegal (1960 hingga 2000) dan Colorado Party di Uruguay (1947 hingga 2008).

    Apakah persamaan antara regim-regim ini? Jawapannya, dominasi politik yang terlalu lama menyebabkan peningkatan rasuah yang tidak terkawal. Perpecahan dalaman di kalangan pakatan pemerintah telah makin melemahkan pentadbiran mereka. Pada masa yang sama, pembangkang telah memperkukuh dan mengumpulkan kekuatan mereka sendiri untuk mengalahkan regim pemerintah yang telah lama berkuasa.

    Ini merupakan konteks yang sedang dialami Malaysia pada masa ini. Memandangkan sistem di Malaysia merupakan sistem Parlimen dan bukannya sistem Presiden, maka pihak pembangkang tidak boleh bergantung kepada perpecahan kuasa elit dalam pemilihan Presiden untuk menang. Tambahan pula, dengan adanya pembahagian tidak sekata (malapportioned) dalam sistem pilihan raya, satu-satunya cara untuk pihak pembangkang memenangi kerusi majoriti dalam pilihan raya adalah dengan memenangi sekurang-kurangnya beberapa daripada kerusi separa bandar dan luar bandar berbanding dengan hanya memenangi kerusi bandar sahaja seperti yang dimenangi pada PRU 2013. Dengan mengambil kira hakikat bahawa kerusi separa bandar dan kerusi luar bandar ini didominasi oleh Melayu atau Bumiputera (Sabah dan Sarawak), ini bermaksud pembangkang perlu memenangi peratusan undi yang besar daripada Melayu dan Bumiputera. Tiada siapa dalam pembangkang berkhayal bahawa kita boleh menang kerusi majoriti dengan hanya memenangi undi majoriti bukan Melayu, terutamanya undi kaum Cina. Kita juga tidak mahu penyokong kita berfikir sedemikian rupa.

    Sesungguhnya, Kausikan patut diingatkan bahawa terdapat 40 orang Ahli Parlimen dari pakatan pembangkang (39 Melayu dan 1 Kadazan) yang dilantik menerusi PRU 2013, berbanding dengan hanya 32 orang Ahli Parlimen Melayu pada PRU 1999 yang menyaksikan PAS muncul sebagai parti pembangkang terbesar.

    Sebenarnya, apa yang kita hendak dan perlu lakukan adalah untuk membina sebuah gabungan yang boleh memenangi 60% undi popular (ini bermakna memenangi peratusan besar undi Melayu dan Bumiputera). Kita boleh mencapai matlamat ini dengan bukan sahaja membongkarkan salah guna kuasa dan rasuah oleh parti pemerintah, peningkatan kos hidup berikutan ketidakcekapan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan juga cubaan parti pemerintah untuk meningkatkan masalah ketegangan antara kaum, tetapi kita juga perlu mengemukakan polisi alternatif yang jelas menunjukkan bagaimana pakatan pembangkang baru boleh mentadbir dengan lebih baik berbanding dengan regim pemerintah.

    Kausikan betul apabila beliau menyatakan Singapura “tiada pilihan selain bekerjasama dengan apa sahaja sistem mahupun pemimpin yang muncul di Malaysia.” Namun kita juga tidak boleh mengelak dari tertanya-tanya jika kebimbangan beliau tentang peralihan kuasa yang mungkin terjadi di Malaysia, terutamanya dalam keadaan aman dan teratur, didorong oleh kebimbangan beliau terhadap kemungkinan perkara yang sama berlaku di Singapura pada masa hadapan dan bukannya kerana beliau mengambil berat terhadap situasi Malaysia.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.straitstimes.com/opinion/singapore-is-not-an-island

Leave a reply.