• Mengapakah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar seakan-akan gagal memahami Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 6 Oktober 2015

    Mengapakah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar seakan-akan gagal memahami Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura?

    Saya terkejut membaca laporan oleh Bernama semalam yang memetik Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai berkata:

    “Singapura baru sahaja gazetkan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 (Transboundary Haze Pollution Act) yang digunapakai pada tahun ini, justeru membolehkan mereka mengambil tindakan seperti menyaman syarikat milik mereka yang telah menyebabkan jerebu.

    “Jika (kita ada) bidang kuasa melalui undang-undang yang sedang dirangka, kita boleh ambil tindakan kepada semua pihak sama ada pihak dari Malaysia, Indonesia atau Singapura.”[1]

    Beliau juga dilaporkan berkata bahawa undang-undang yang dicadangkan oleh Malaysia berbeza dengan undang-undang Singapura yang membenarkan tindakan diambil terhadap syarikat milik Singapura sahaja.

    Sebelum ini, saya telah berharap beliau yang merupakan Menteri baru di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan terbukti lebih berkeupayaan berbanding menteri terdahulu, namun jelas bahawa saya telah silap.

    Jika beliau membaca berita, terutamanya dari media Singapura, beliau seharusnya sedar bahawa Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan oleh Singapura membenarkan pihak berkuasa Singapura untuk mengambil tindakan terhadap sebarang syarikat yang menyumbang kepada masalah jerebu, termasuklah syarikat yang bukan berasal dari Singapura.

    Saya memetik kenyataan media oleh Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air (MEWR) pada 25 September yang berkata:[2]

    “Kerajaan Singapura telah menulis kepada empat syarikat Indonesia yang menyumbang kepada pencemaran jerebu seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA). Di bawah THPA, pencemaran jerebu dikatakan telah berlaku jika PSI 24-jam kekal pada 101 atau lebih tinggi untuk 24 jam secara berterusan atau lebih lama. Pencemaran jerebu seperti yang ditetapkan di bawah THPA telah berlaku untuk empat tempoh sejak 10 September 2015.

    Berdasarkan siasatan setakat ini, terdapat petunjuk bahawa jerebu mungkin telah disebabkan oleh kebakaran tanah yang dipegang melalui konsesi oleh empat buah syarikat Indonesia, iaitu:

    1. PT Rimba Hutani Mas
    2. PT Industri Kayu Sebangun Bumi Andalas
    3. PT Bumi Sriwijaya Sentosa
    4. PT Wachyuni Mandira.”

    Walaupun beberapa kelemahan THPA telah diketengahkan termasuklah denda berjumlah SGD 2juta yang dianggap rendah bagi syarikat-syarikat yang menjana keuntungan berbilion dolar, namun pada hakikatnya undang-undang ini tetap membenarkan pihak berkuasa Singapura untuk mengambil tindakan ke atas syarikat di Indonesia yang menyebabkan masalah jerebu.[3]

    Jika Menteri bersikap jahil dan tidak mengambil tahu tentang had bidang kuasa akta pencemaran jerebu Singapura, agaknya apa jenis kekurangan yang akan ternampak dalam akta pencemaran jerebu oleh Malaysia sendiri bila ia dibentangkan di Parlimen?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.bernama.com/bernama/v8/ge/newsgeneral.php?id=1176890

    [2] http://www.gov.sg/news/content/singapore-sends-notices-to-four-indonesian-companies-and-seeks-information-from-singapore-listed-app#sthash.7Hymm1yS.dpuf

    [3] http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/going-beyond-the-law-to-fight-transboundary-air-pollution-eugene-k.b.-tan

Leave a reply.