• Malaysia menunjukkan bahawa ia lemah kepimpinan dalam mendepani isu perubahan iklim dengan menjadi 1 daripada 2 negara ASEAN yang tidak mengemukakan Intended Nationally Determined Contributions (INDCs) setakat 1 Oktober 2015

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 5 Oktober 2015

    Malaysia menunjukkan bahawa ia lemah kepimpinan dalam mendepani isu perubahan iklim dengan menjadi 1 daripada 2 negara ASEAN yang tidak mengemukakan Intended Nationally Determined Contributions (INDCs) setakat 1 Oktober 2015

    Pada 23 September 2014, dalam ucapan Perdana Menteri Najib Razak di Persidangan Iklim PBB di New York, beliau menekankan sekali lagi janjinya yang dibuat pada 2009 di Copenhagen untuk mengurangkan pelepasan karbon Malaysia sebanyak 40% menjelang 2020, malahan beliau turut menyatakan bahawa Malaysia telah mencapai pengurangan sebanyak 33% dalam intensiti pelepasan.[1]

    Malangnya, kita tidak pernah diberitahu dari mana pengurangan pelepasan ini berpunca. Keraguan berkenaan kesahihan fakta ini dan komitmen Malaysia dalam mengurangkan pelepasan karbon juga timbul memandangkan kita masih bergantung terhadap loji janakuasa elektrik berasaskan arang batu. Mengikut jawapan balas Parlimen yang diterima daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHa), unjuran permintaan elektrik dan rancangan pembekalan sumber jana kuasa dari loji janakuasa arang batu (yang menyumbang jauh lebih kepada pelepasan karbon jika dibandingkan dengan loji janakuasa gas) dijangka meningkat daripada 50% (2015) kepada 65% (2022). Peratusan penjanaan elektrik daripada sumber boleh diperbaharui dijangka mencapai hanya 3% menjelang 2020 (lihat jawapan Parlimen di bawah).

    Ini sungguh berbeza dengan Amerika Syarikat, di mana Presiden Obama baru-baru ini telah mengumumkan Clean Power Plan yang menggariskan peraturan kukuh dan insentif dalam usaha mengurangkan kebergantungan AS kepada loji janakuasa intensif karbon (terutamanya loji janakuasa arang) dan melangkah ke sumber tenaga boleh diperbaharui.[2] Sungguhpun Malaysia dan AS berada pada tahap pembangunan ekonomi yang berbeza, ia tetap mengejutkan apabila melihat kurangnya kepimpinan Malaysia dalam mendepani isu perubahan iklim.

    Contoh terbaru adalah apabila Malaysia dan Brunei menjadi 2 buah negara ASEAN yang gagal mengemukakan Intended Nationally Determined Contributions (INDCs) kepada United Nations Framework Convention for Climate Change (UNFCCC) setakat 1 Oktober 2015.[3] INDCs merupakan komponen penting dalam proses ke arah Conference of Parties 21 (COP 21) yang dijadualkan berlangsung di Paris pada Disember 2015, di mana agenda untuk menangani perubahan iklim akan dirundingkan.

    Setakat 1 Oktober 2015, 119 buah negara (daripada 167) telah menghantar dokumen INDCs termasuklah negara-negara besar yang membangun seperti China, India, Brazil, Indonesia dan juga negara-negara membangun yang lebih kecil seperti Liberia, Zimbabwe, Kazakhstan dan Mongolia. Malaysia pula berada dalam kelompok negara yang tidak mengemukakan dokumen INDCs, yang termasuk Afghanistan, Korea Utara, Nigeria, Pakistan dan Venezuela.

    Ini bukan sahaja memburukkan imej Malaysia terutamanya apabila kita merupakan pengerusi ASEAN untuk tahun 2015, ia juga turut mempersoalkan kesediaan Malaysia dalam menuju ke COP21. Ini juga merupakan sebahagian daripada masalah kekurangan kepimpinan dalam menangani masalah utama alam sekitar yang kini dihadapi oleh Malaysia, iaitu isu jerebu. Dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ini, Malaysia perlu menunjukkan kepimpinan yang kukuh terutamanya apabila berurusan dengan Indonesia dan bagaimana kita memanfaatkan kerangka ASEAN dalam perkara ini. Saya menyeru Datuk Wan Junaidi yang merupakan menteri baru di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) untuk memberi penjelasan mengenai isu kelemahan kepimpinan dari pihak Malaysia yang memalukan ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Jawapan Parlimen daripada KeTTHA berkenaan permintaan elektrik dan rancangan pembekalan sumber jana kuasa elektrik daripada 2015 hingga 2030

    [1] http://www.pmo.gov.my/home.php?menu=speech&page=1676&news_id=736&speech_cat=2

    [2] https://www.whitehouse.gov/climate-change#section-clean-power-plan

    [3] http://newsroom.unfccc.int/

Leave a reply.