• Cabaran kepada Pakatan Harapan (Bahagian 1)

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming pada 23hb September 2015

    Cabaran kepada Pakatan Harapan – Bahagian 1

    Bagaimanakah sejarah akan menghakimi percubaan kali ketiga dalam usaha membentuk pakatan pembangkang di Malaysia? Hanya masa yang akan menentukan. Namun Pakatan Harapan yang baru dibentuk ini menghadapi cabaran besar dalam membuat persediaan bagi menentang Barisan Nasional demi masa hadapan negara pada PRU akan datang. Pada masa yang sama, terdapat juga peluang yang harus dicapai dalam membentuk identiti dan pentas untuk gabungan baru ini.

    Dalam bahagian pertama ini, saya akan menyelusuri beberapa cabaran bagi pembentukan pakatan pembangkang baru ini dan memberi hujah bahawa ini merupakan masa yang sesuai untuk melancarkan Pakatan Harapan. Dalam bahagian kedua, saya akan menggariskan beberapa cabaran dan peluang untuk Pakatan Harapan dalam persediaan menghadapi PRU akan datang.

    Walaupun pengumuman pembentukan Pakatan Harapan oleh Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Dr Wan Azizah, bersama-sama dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Parti Amanah Negara, Mat Sabu, seolah-olah seperti sebuah perjanjian kukuh yang termeterai, terdapat beberapa kuasa yang bergerak di belakang tabir untuk melambatkan atau menggagalkan pembentukan pakatan pembangkang yang baru ini. Sebahagian daripada ini didorong oleh motivasi yang tulen, terdapat juga yang bukan.

    Cabaran pembentukan Pakatan Harapan

    Hujah-hujah yang dibuat terhadap pembentukan pakatan pembangkang yang baru ini boleh dikategorikan kepada 3 kategori dengan terdapat pertindihan diantaranya.

    Hujah pertama berkisar kepada tanggapan bahawa BN-Najib akan menjadi tidak begitu popular menjelang PRU akan datang, dan sebab itu kesemua parti pembangkang perlu mengelak pertandingan tiga penjuru bagi mencapai matlamat ke Putrajaya. Kemasukan PAN dengan pengecualian PAS memungkinkan pertandingan 3 penjuru yang akan menjejaskan matlamat utama ini. Oleh itu, parti-parti pembangkang perlu mengekalkan keadaan sedia ada dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menggangu gugat keadaan.

    Masalah berkenaan hujah ini adalah, PRU 2018 adalah berbeza dengan PRU 2008. Memenangi majoriti kerusi Dewan Rakyat adalah berbeza dengan menafikan BN majoriti dua pertiga. Jangkaan dan harapan rakyat adalah berubah-ubah mengikut landskap politik negara. Jika tiada pakatan pembangkang rasmi yang mempunyai platform dan manifesto yang gah dan kuat, pemilih mungkin hanya akan berpegang kepada kebiasaan, iaitu mengundi BN. Perkara ini cukup untuk menafikan kemenangan bagi pihak pembangkang. Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa peratusan keluar pengundi akan lebih rendah berbanding PRU 2013 jika pengundi tidak dapat melihat keupayaan pakatan baru untuk mengambil alih tampuk BN.

    Tambahan pula, hujah ini adalah berlandaskan pengekalan Najib sebagai Perdana Menteri. Bagaimana sekiranya Najib digantikan oleh Muhyiddin, nafas baru yang lebih menyegarkan sebelum PRU 2018? BN yang diketuai oleh Muhyiddin akan meraih manfaat seperti kemenangan besar Pak Lah pada PRU 2004 yang disebabkan populariti beliau. Parti-parti pembangkang pula perlu berebut dan berhempas pulas, dalam cubaan untuk mengatasi perkara ini. Dengan adanya pakatan baru, kita berada pada kedudukan yang lebih selesa untuk membuat rancangan dan bersedia menghadapi kemungkinan sebegitu, dan menunjukkan bagaimana kita boleh mengatasi BN, tidak kira sama ada BN diterajui oleh Najib, Muhyiddin, Zahid Hamidi mahupun Khairy.

    Hujah kedua berpaksi kegusaran bahawa pengasingan PAS akan menyebabkan kehilangan undi Melayu. Anggapan di sini adalah bahawa PAS merupakan satu-satunya parti yang mampu mendekati Melayu dari luar bandar dan jika mereka dikecualikan daripada pakatan pembangkang, pengundi-pengundi tidak akan mengundi pakatan baru tanpa PAS. Lanjutan hujah ini adalah bahawa pengecualian PAS daripada pakatan baru akan menjadikan PAS lebih cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO, dan dengan itu akan mengurangkan peluang kemenangan bagi pihak pembangkang pada PRU akan datang.

    Sekali lagi, hujah ini adalah bermasalah jika dilihat dari pelbagai sudut. Andaian bahawa hanya PAS yang mampu memenangi atau mempertahankan keperluan masyarakat luar bandar perlu dikaji semula. Daripada 15 kerusi parlimen yang dimenangi oleh pembangkang pada PRU 2008 namun gagal dipertahankan pada PRU 2013, 10 daripadanya merupakan kerusi kuat PAS di Kedah dan Kelantan. 7 daripada 10 kerusi ini hilang dari kubu kuat PAS di Kedah disebabkan oleh kegagalan Kerajaan Negeri PAS untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Sebaliknya, Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor memperoleh peningkatan peratusan undian pada PRU 2013. Malah, besar kemungkinan kebimbangan PAS bahawa mereka mungkin tidak dapat mempertahankan Kelantan selepas berakhir era pemerintahan Tok Guru Nik Aziz menyebabkan mereka menegakkan hudud sebagai agenda utama pada pasca PRU 2013. Ketidakupayaan kerajaan PAS Kelantan untuk menghasilkan suatu rancangan pembinaan semula selepas banjir yang sistematik mungkin akan menghantui mereka pada PRU 2018.

    Tidak dapat dinafikan bahawa kemampuan PAN untuk menguasai undi Melayu masih diragui, tetapi itu telah dijangka memandangkan parti tersebut hanya baru berusia beberapa bulan sahaja. Namun terdapat tanda-tanda yang menggalakkan terutamanya pendaftaran lebih daripada 8000 ahli di Kelantan. PAN juga dijangka bertapak di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, di mana kehadiran PAS di negeri-negeri ini secara tradisinya dilihat lemah. Sokongan politik kaum Melayu adalah anjal, sama seperti kaum lain. Sebuah parti Islam baru progresif yang berjuang untuk komuniti Melayu merupakan sebuah pembangunan positif terutamanya selepas keengganan Presiden PAS, Tok Guru Hadi Awang untuk menyelar kelemahan demi kelemahan pentadbiran Najib.

    Akhirnya, kemungkinan PAS untuk bekerjasama dengan UMNO kini sudah jelas, sama ada dengan tertubuhnya pakatan pembangkang yang baru atau tidak. Kemungkinan besar Hadi Awang akan terus dimanipulasi oleh UMNO untuk terus mempercayai bahawa hudud di Kelantan boleh dilaksanakan dengan kerjasama UMNO. Dengan adanya kecenderungan seperti ini, bukankah lebih baik untuk meminta PAS menyatakan kedudukan politik mereka sebelum PRU akan datang dan bukannya selepas PRU? Apakah jaminan yang dimiliki oleh parti pembangkang lain bahawa Hadi Awang tidak akan membawa PAS untuk bekerjasama dengan UMNO dalam konteks pasca PRU14 walaupun tanpa kewujudan Pakatan Harapan?

    Hujah ketiga adalah bahawa pakatan sekutu ini dibentuk pada masa yang tidak sesuai. Perbincangan lanjut perlu diadakan dan polisi perlu dikukuhkan supaya masalah dan penyebab kepada perpecahan Pakatan Rakyat tidak akan berulang dan menyebabkan perpecahan kepada mana-mana pakatan pembangkang yang baru. Parti pembangkang perlu turun padang dalam usaha memahami pengundi luar bandar dan membentuk sebuah sekutu yang mampu memenangi hati dan minda mereka. Ini merupakan cadangan yang baik, namun tidak praktikal dari segi politik.

    Hakikatnya, kepincangan telah menimpa pembangkang sejak keputusan Hadi Awang untuk mendesak hudud dilaksanakan di Kelantan yang merupakan pelanggaran langsung terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Keperluan untuk mengisi kekosongan kepimpinan yang ditinggalkan Najib adalah semakin terdesak dan tertekan memandangkan sesi pembentangan bajet yang kian hampir, situasi ekonomi negara yang semakin meruncing serta percubaan terang-terangan UMNO untuk menggalakkan dan menganjurkan program yang meningkatkan retorik perkauman.

    Adalah tidak adil untuk meninggalkan rakan-rakan PAN terkontang-kanting, selepas mereka membuat keputusan sukar untuk keluar daripada PAS setelah berjuang dalam parti sejak bertahun-tahun lamanya, demi menubuhkan parti Islam baru yang lebih progresif. Memang telah diharapkan bahawa PAN akan menyertai pakatan baru untuk memimpin negara dalam keadaan yang memerlukan. Membentuk pakatan baru pada masa ini akan memberi rangsangan kepada PAN dari segi kredibiliti dan menunjukkan komitmennya kepada perjuangan pembangkang, serta memperakukan komitmen parti pembangkang lain terhadap perjuangannya.

    Perbincangan boleh berlanjutan tanpa sebarang resolusi. Hakikatnya, Dasar Bersama Pakatan Rakyat telah tertubuh sebagai komitmen dasar bersama untuk pakatan pembangkang yang lepas. Oleh itu, Pakatan Harapan boleh menerima pakai rangka kerja yang sama namun boleh diubahsuai selaras dengan cabaran politik yang dihadapi menjelang PRU akan datang. Pembentukan pakatan baru ini juga membenarkan kita mewujudkan barisan yang lebih kukuh dan bersatu menjelang sesi Parlimen akan datang, termasuklah sesi pembentangan bajet alternatif, sesuatu yang tidak mungkin dapat dicapai tanpa kehadiran pakatan pembangkang rasmi.

    Adakah pembentukan Pakatan Harapan bermakna kita telah menjawab semua hujah yang menentang pakatan pembangkang yang baru? Adalah naif jika saya beranggapan demikian. Namun, ianya langkah pertama yang baik ke arah perjuangan besar dan lebih signifikan menjelang PRU akan datang. Dalam pada itu, Pakatan Harapan perlu menghadapi pelbagai cabaran dan cuba untuk menggengam peluang yang akan datang. Perkara tersebut akan diulas dengan lebih lanjut dalam Bahagian 2 kenyataan saya.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang
    23 September 2015

Leave a reply.