• SPR tidak seharusnya membenarkan bantahan tidak berasas terhadap penambahan pemilih ke dalam daftar pemilih

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 18 September 2015

    SPR tidak seharusnya membenarkan bantahan tidak berasas terhadap penambahan pemilih ke dalam daftar pemilih

    Pada bulan lepas, ramai wakil DAP telah menerima aduan bahawa ramai pemilih baru dihalang daripada dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih disebabkan bantahan daripada individu yang tidak dikenalpasti. Pengundi-pengundi tersebut diminta hadir ke pendengaran awam di Suruhanjaya Pilihan Raya Selangor, Wisma PKNS, Shah Alam. Saya turut menghadiri pendengaran tersebut pada 10 September dan saya mendapati bahawa ia tidak dapat diterima sama sekali.

    Saya mendapati pemilih-pemilih yang dibantah ini berdaftar di kerusi N38 Paya Jaras dan N55 Dengkil, di mana kedua-duanya ditandingi oleh UMNO pada PRU 2013. Kesemua 20 orang pemilih (pemilih baru dan juga pemilih yang menukar alamat) yang saya temui telah menetap di alamat seperti di kad pengenalan mereka untuk sekurang-kurangnya 3 tahun, malah ada yang telah menetap di alamat tersebut lebih daripada 10 tahun. Alasan yang diberi oleh pembantah adalah “Pemilih Tidak Dapat Dikesan” (Rujuk Lampiran 1 untuk contoh). Tiada sebarang bukti lanjut diberikan untuk menunjukkan bahawa pembantah telah berusaha mengesan pemilih yang dibantah. Jelas bahawa bantahan ini tidak berasas apabila kesemua pemilih yang saya temui telah berjaya menggagalkan bantahan terhadap diri mereka, iaitu nama mereka semua diluluskan dan dimasukkan ke dalam daftar pemilih.

    Walaupun hak untuk membantah kemasukan pemilih ke dalam Daftar Pemilih Tambahan diperuntukkan di bawah Seksyen 15 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, peraturan ini juga menyatakan dengan jelas bahawa Pendaftar – yang biasanya merupakan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya – mempunyai hak untuk meminta pembantah memberikan maklumat lanjut mengenai bantahan tersebut.

    Malah Artikel 15(5) menyatakan: “Apabila menerima bantahan di bawah peraturan ini, Pendaftar jika berpendapat bahawa butiran yang diberikan dalam bantahan tersebut adalah tidak mencukupi, boleh meminta maklumat lanjut daripada pembantah yang hendaklah memberikan maklumat dalam 7 hari dari tarikh dia menerima tuntutan tersebut.”

    SPR tidak harus membenarkan bantahan berlaku dengan hanya sedikit sahaja bukti yang dikemukakan oleh pembantah. Daripada membazirkan masa pemilih baru, SPR patut meminta lebih bukti daripada pembantah sebelum membenarkan bantahan dibawa ke fasa pendengaran awam.

    Saya juga terkejut melihat SPR tidak memerintahkan pembantah membayar jumlah maksimum RM200.00 kepada pihak yang dibantah sebagai pampasan bagi kehilangan masa atau kesulitan, selaras dengan Perkara 18 peraturan tersebut. Ramai pemilih yang terlibat terpaksa mengambil cuti dan pergi ke Shah Alam bagi sesi pendengaran awam ini. Salah seorang pemilih yang bekerja di hospital awam di Kuantan terpaksa memandu ulang-alik antara Kuantan dan Shah Alam semata-mata untuk membuktikan bahawa beliau merupakan pemilih sah di N55 Dengkil. Pemilih yang datang daripada Sabak Bernam dan Hulu Selangor, yang jauh daripada Shah Alam, mungkin tidak dapat menampung kerugian yang dialami dari segi masa dan perbelanjaan walaupun pampasan maksimum RM200.00 dibayar kepada mereka. Sebaliknya, SPR hanya meminta pembantah membayar RM100.00 bagi setiap bantahan yang gagal (Rujuk Lampiran 2).

    Tambahan pula, SPR gagal meminta pembantah untuk membayar pihak yang dibantah dengan serta merta. Sebaliknya, pihak yang dibantah diminta untuk mengisi maklumat mereka di atas kertas oleh pihak yang mewakili pembantah. Apabila saya bertanyakan kepada pegawai SPR yang bertugas mengapa pembantah tidak dapat membayar pihak yang dibantah dengan serta merta di tempat kejadian, beliau menjawab bahawa SPR tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pembantah berbuat demikian. Ini adalah tidak adil kepada pihak yang dibantah kerana tiada jaminan mereka akan dibayar RM100.00 untuk kesulitan dan pembaziran masa yang dialami mereka.

    Apa yang perlu dilakukan oleh SPR adalah untuk meminda denda maksimum kepada jumlah yang lebih tinggi bagi menghalang individu dan kumpulan daripada membuat bantahan palsu terhadap pemilih di kawasan masing-masing, serta menetapkan bahawa pampasan ini perlu dibayar serta merta di tempat kejadian apabila pembantah tidak dapat memberikan alasan kukuh untuk membantah kemasukan pemilih ini ke dalam daftar pemilih utama.

    Adalah sukar untuk menahan spekulasi bahawa ini adalah sebahagian daripada keterdesakan UMNO untuk memenangi semula kerusi-kerusi DUN dengan membantah pengundi yang mereka rasa lebih cenderung untuk mengundi parti selain daripada BN. Ketika saya berada di pejabat SPR Selangor untuk sesi pendengaran awam, saya bertemu dengan 2 orang wakil UMNO – seorang daripada DUN Paya Jaras, seorang lagi daripada DUN Dengkil.

    SPR perlu menjalankan usaha yang wajar supaya bantahan tidak berasas sebegini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. Mereka boleh mengelakkan perkara ini dengan meminta bukti daripada pembantah, dan meningkatkan jumlah maksimum pampasan untuk dibayar kepada pihak yang dibantah dengan serta merta di tempat kejadian jika didapati bantahan tersebut tidak berasas.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Bantahan kepada Leong Yung Hong atas alasan “Pemilih Tidak Dapat Dikesan”

    Lampiran 2: Keputusan oleh SPR untuk meminta pembantah membayar hanya RM100 kepada Orang Kena Bantah

1 Comment

  1. Woan Lim says: January 11, 2016 at 2:12 pmReply

    Hi Dr Ong,

    How do we get paid for the award? I attended the “bantahan” and has yet to received any award/calls from the appropriate people.

    Pls advise.

    Thanks.

Leave a reply.