• Malaysia perlu mengambil langkah konkrit ke atas syarikat kelapa sawit yang menyebabkan masalah jerebu

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 17 September 2015

    Malaysia perlu mengambil langkah konkrit ke atas syarikat kelapa sawit yang menyebabkan masalah jerebu

    Setiap tahun, jerebu dari Indonesia akan menyelubungi Malaysia dan menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah tahap yang tidak sihat serta mendatangkan isu kesihatan, kewangan dan sosial bagi berjuta-juta rakyat Malaysia. Setiap tahun juga, pihak berkuasa di Malaysia gagal meminta pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil tindakan konkrit bagi membendung masalah ini daripada berlaku.

    Walaupun Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan diraktifikasi oleh Indonesia pada September 2014, ia tetap akan mengambil masa selama beberapa tahun lagi sehingga mekanisme yang betul dilaksanakan, termasuklah perkongsian penggunaan tanah dan konsesi peta serta pelaksanaan Sistem Pemantauan Jerebu Sub-Serantau ASEAN (HMS).[1]

    Pada masa yang sama, Malaysia tidak boleh hanya berdiam diri dan bersikap ‘tunggu dan lihat’. Malaysia perlu mengambil langkah konkrit bagi mengawal amalan tidak bertanggungjawab tebang dan bakar yang digunakan oleh Indonesia dan menjadi penyebab kepada jerebu. Kerajaan perlu meluluskan undang-undang seperti Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura 2014 yang telah diluluskan pada Ogos 2014.[2] Professor Alan Tan Khee-Jin daripada National University of Singapore telah memberi ulasan berikut berkaitan dengan kuasa-kuasa akta ini:

    Implikasi undang-undang Akta ini terhadap entiti atau syarikat berkaitan Singapura adalah sungguh besar. Dalam peruntukan Akta ini, entiti yang disabitkan dengan salah laku, atau terlibat dalam tingkah laku yang membenarkan entiti atau individu lain yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu di Singapura (atau entiti yang terlibat dalam menguruskan entiti kedua yang memiliki tanah dan terlibat dalam tingkah laku yang berkenaan) boleh dikenakan denda tidak melebihi S$100,000 (anggaran US$80,000) untuk setiap hari atau sebahagiannya adanya masalah jerebu di Singapura. Jika entiti tersebut gagal mematuhi mana-mana langkah pencegahan, mereka boleh dikenakan denda tambahan tidak melebihi S$50,000 (US$40,000) bagi setiap hari atau sebahagian daripadanya. Secara keseluruhan, makhamah tidak boleh mengenakan denda secara agregat melebihi S$2 juta (US$1.6 juta).[3]

    Akta ini memberi kuasa kepada Singapura untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyebabkan masalah jerebu di Singapura, walaupun syarikat tersebut tidak beroperasi atau tidak berdaftar di Singapura. Akta ini juga membenarkan tindakan sivil diambil terhadap syarikat yang menyebabkan jerebu di mana kerosakan dan gangguan awam secara teori adalah tidak terhad.

    Dr. Nigel Sizer, Pengarah Global bagi Forests Program of the World Resources Institute yang merupakan sebuah badan pemikir dalam bidang advokasi bagi pengurusan mampan sumber asli turut memuji Akta tersebut:

    “Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura melakarkan cara baru bagi kerajaan dan syarikat yang mahu menangani kebakaran hutan dan tanah gambut. Ia menghantar mesej yang jelas bahawa sesiapa yang membakar tanah dan hutan secara haram akan dipertanggungjawabkan ke atas tindakan tersebut. Khususnya, mana-mana syarikat yang menggunakan api secara haram (membakar) kini menghadapi risiko untuk diheret ke mahkamah di Singapura sebaik sahaja eksekutif mereka menjejakkan kaki di pulau itu. Pelanggan mereka, bank dan syarikat insurans pasti akan menjauhkan diri daripada menjalankan perniagaan dengan mereka.”[4]

    Akta itu turut membenarkan Kementerian Alam Sekitar Singapura untuk meminta secara rasmi senarai syarikat yang disyaki menyebabkan pembakaran tanah dan hutan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Indonesia, sebaik sahaja maklumat tersebut disahkan.[5]

    Dengan adanya Akta sebegitu, pihak berkuasa Malaysia dapat menghukum syarikat-syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu yang meliputi rantau ini saban tahun. Tempat yang terbaik untuk memulakan rancangan ini sudah pasti adalah rumah sendiri, kerana kebanyakan ladang kelapa sawit yang bertanggungjawab dalam membersihkan dan membakar kawasan di Indonesia merupakan syarikat milik atau dikawal oleh warga Malaysia. Seorang pengurus ladang yang bekerja untuk PT Adei Plantation and Industry, iaitu anak syarikat Kuala Lumpur Kepong yang disenaraikan dalam BSKL, didapati bersalah kerana gagal menghalang pihak lain daripada membakar hutan di estet kepunyaan syarikat pada September 2014. Pengurus tersebut telah dihukum penjara selama setahun. Pada masa yang sama, seorang pengarah syarikat diarahkan untuk membayar denda dan menjalani hukuman penjara 5 bulan.[6] Namun, sabitan kesalahan sebegini telah jarang dilaksanakan kerana sistem undang-undang disyaki telah dijejaskan oleh rasuah. Dengan pelaksanaan akta sebegini di Malaysia, kerajaan tidak lagi mempunyai alasan menolak sepenuhnya beban penguatkuasaan dan pendakwaan kepada pihak berkuasa Indonesia sebagaimana yang ditunjukkan melalui jawapan Parlimen kepada rakan sejawat saya, Chong Chien Jen, Ahli Parlimen Kuching (Lihat Lampiran 1 di bawah).

    Kita tidak dapat mengelak daripada tertanya-tanya jika keengganan pihak berkuasa Malaysia untuk mengambil tindakan yang konkrit terhadap syarikat Malaysia (yang mempunyai operasi minyak sawit besar-besaran di Indonesia) adalah disebabkan kuasa melobi dan pengaruh banyak syarikat perladangan besar termasuklah KLK, Sime Darby Plantations, Genting Plantations, IOI Plantations dan Tabung Haji Plantations.[7]

    Sudah tiba masanya pihak berkuasa Malaysia menghentikan sikap ‘tunggu dan lihat’. Mereka sepatutnya mengambil tindakan konkrit terhadap permasalahan jerebu, bermula dengan syarikat yang boleh dipengaruhi oleh mereka sendiri, iaitu syarikat Malaysia dengan operasi yang besar di kawasan hot spot di Indonesia.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Jawapan Parlimen berkenaan tindakan Malaysia terhadap Kuala Lumpur Kepong (KLK) yang mempuyai anak syarikat di Indonesia dan didapati bertanggungjawab mengakibatkan kebakaran hutan di Indonesia.

    [1] http://haze.asean.org/?p=1142

    [2] https://www.parliament.gov.sg/sites/default/files/Transboundary%20Haze%20Pollution%20Bill%2018-2014.pdf

    [3] http://law.nus.edu.sg/wps/pdfs/002_2015_Alan%20Khee-Jin%20Tan.pdf

    [4] http://www.wri.org/news/2014/08/statement-singapore%E2%80%99s-new-haze-pollution-law-%E2%80%9C-new-way-doing-business%E2%80%9D

    [5] http://www.themalaymailonline.com/world/article/worsening-haze-has-singapore-renewing-offers-to-help-indonesia-fight-fires#sthash.KgK3jXTG.dpuf

    [6] http://www.thejakartapost.com/news/2014/09/11/malaysian-firm-fined-executives-get-prison-role-forest-fires.html

    [7] http://repository.um.edu.my/23648/1/PRE-PRINT%20apbr%202013.pdf

Leave a reply.