• 3 cabaran utama untuk Menteri Besar (MB), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG)

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 7 September 2015

    3 cabaran utama untuk Menteri Besar (MB), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG)

    Baru-baru ini, perhatian dan tumpuan orang ramai ditala kepada Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG atau Darul Ehsan Investment Group dalam Bahasa Inggeris) setelah tamat persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, disebabkan oleh beberapa kebimbangan yang dibangkitkan berkenaan tujuan dan ketelusan syarikat pegangan yang baru ditubuhkan ini.[1] Antara kebimbangan yang muncul berkait dengan kemungkinan DEIG akan menjadi sebuah lagi 1MDB. Berikut adalah tiga (3) cabaran utama yang harus ditangani oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali untuk menangani persoalan yang ditimbulkan di persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.

    i) Cabaran ketelusan

    Azmin telah menyamakan DEIG dengan Khazanah dari segi penggabungan dan pengurusan pelbagai aset yang kini di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).[2] Penggabungan 74 buah syarikat di mana MBI mempunyai kawalan dan kepentingan minoriti memang masuk akal. Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) di bawah Dewan Undangan Negeri Selangor telah pun menyatakan ini dengan jelas di dalam kenyataan prosiding mereka, kecuali saranan penggabungan dan penyusunan semula dilaksanakan di bawah MBI berbanding di bawah satu entiti yang baru diwujudkan, seperti DEIG.[3]

    Prinsip ketelusan mestilah bermula dari MBI. Namun apa yang pelik di sini adalah walaupun MBI merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor 1994, MBI tidak diwajibkan untuk membentangkan akaun di persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor. Rakan sejawat saya di Dewan Undangan Negeri Selangor telah mengesahkan bahawa akaun MBI tidak pernah dibentangkan sepanjang 5 tahun pentadbiran Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. Jika Azmin mahu menyakinkan semua orang bahawa DEIG adalah lebih telus daripada Khazanah[4], perkara pertama yang perlu dibuat oleh beliau adalah membentangkan akaun penuh MBI ketika persidangan belanjawan akhir tahun, tanpa mengira status proses penggabungan dan penyusunan semula di bawah DEIG. Lagipun, Khazanah telah menerbitkan maklumat mengenai prestasi portfolio[5] serta maklumat terpilih mengenai kunci kira-kira dan penyata pendapatannya.[6]

    Namun, Azmin harus melangkah lebih jauh. Beliau seharusnya mendedahkan maklumat yang kini tidak didedahkan oleh Khazanah, seperti pakej pampasan kepada eksekutif MBI serta jumlah peruntukan kepada pengarah. Beliau perlu mencontohi KWSP yang membekalkan maklumat sebegini, (walaupun jumlah pendapatan CEO dan Timbalan CEO digabungkan). Pendedahan maklumat sebegini akan membantu dalam mencegah pertikaian bayaran pemberhentian bernilai RM2.7 juta kepada beberapa staf MBI yang diberhentikan pada penghujung perkhidmatan Khalid sebagai Menteri Besar.[7]

    Tambahan lagi, Azmin perlu mengkaji semula dan mendedahkan polisi dividen semasa oleh MBI dan juga Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang berada di bawah MBI. Saya terkejut apabila mengetahui MBI langsung tidak pernah membuat sebarang sumbangan kepada pendapatan Selangor melalui dividennya.[8] Yang mengejutkan lagi, selain daripada Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat penyelia perlombongan di Selangor, tiada syarikat milik negeri lain menyumbang sebarang dividen kepada kerajaan Selangor dari tahun 2004 hingga 2014 (Rujuk Lampiran 1). Sebaliknya, Khazanah mengumumkan dividen sebanyak RM900 juta pada 2014 dan telah membayar jumlah terkumpul dividen bernilai RM7.4b sejak 2004.[9]

    Dengan itu, standard ketelusan yang sama juga hendaklah digunapakai untuk DEIG.

    Langkah yang meyakinkan telah pun diambil oleh Azmin, apabila beliau berjanji untuk membentangkan akaun MBI dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor selepas kebimbangan awal berkenaan DEIG dibangkitkan.[10] Namun ini hanyalah langkah pertama dalam membuktikan bahawa piawaian ketelusan MBI adalah lebih bagus daripada Khazanah.

    ii) Cabaran strategi

    Hakikatnya, kita tidak memerlukan pendapat ahli strategi korporat untuk sedar bahawa struktur semasa MBI tiada fokus malah terlalu rumit (Lihat Rajah 1 di bawah).

    Rajah 1: Struktur pegangan saham semasa MBI[11]

    Sebagai contoh, aset riadah dan hospitaliti MBI yang merangkumi hotel, kelab golf dan dewan orang ramai dibahagikan kepada 5 syarikat – MSNS Holdings, Perangsang Hotels and Properties, Brisdale International Hotel dan Bukit Beruntung Golf and Country Resort. Terdapt juga pelbagai syarikat hartanah dan pembinaan di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

    Cadangan penyusunan semula syarikat di bawah MBI kepada 8 teras nampaknya masuk akal, di atas kertas. (Rujuk Rajah 2 di bawah.) Namun, sama ada penyusunan semula ini dilaksanakan di bawah DEIG mahupun secara langsung oleh MBI masih boleh dipertikaikan.

    Rajah 2: Cadangan penyusunan semula syarikat-syarikat di bawah MBI kepada 8 teras di bawah DEIG.[12]

    Namun apa yang lebih penting daripada isu penyusunan semula adalah isu strategi korporat yang akan menjadi fokus, terutamanya di bawah teras Hartanah, Infrastruktur, Pembinaan dan Pengurusan Sisa. Pada masa ini, hanya sedikit sahaja maklumat di laman web DEIG yang menunjukkan strategi jelas untuk setiap teras tersebut. Ahli Parlimen Kelana Jaya (PKR), di dalam laporan awalnya mengenai DEIG, juga telah berkata sedemikian.[13]

    Sebagai contoh, bagaimanakah kumpulan syarikat di bawah teras infrastruktur dan pembinaan akan menjalankan tugas penyeliaan aset air negeri terutamanya selepas pengambilalihan oleh SYABAS, Puncak Niaga, Kumpulan ABASS dan SPLASH? Siapakah yang akan bertanggungjawab untuk menaiktaraf loji rawatan air terutamanya loji yang seringkali mengalami pemberhentian kerap supaya elemen seperti merkuri dan diesel dalam bekalan air dapat ditapis dengan lebih berkesan? Siapakah yang akan mengendalikan projek untuk meningkatkan bekalan air terawat sambil menunggu penyiapan projek Langat 2? Siapakah pula yang akan bertanggungjawab untuk mengurangkan paras air tidak berhasil (Non-Revenue Water atau NRW) yang pada masa ini merupakan antara yang tertinggi di negara?

    Apakah fokus syarikat di bawah teras Hartanah? Adakah ia akan mengikut model usaha sama (JV) oleh PKNS bersama pemaju hartanah besar untuk membangunkan hartanah mewah dan memaksimumkan keuntungan MBI atau DEIG? Atau adakah ia akan memilih untuk fokus lebih kepada pembinaan rumah mampu milik yang mempunyai permintaan tinggi di Lembah Kelang namun memberikan pulangan Nilai Pembangunan Kasar (NPK) yang rendah?[14] Melihat kepada kenyataan di laman web DEIG, model yang akan digunakan seakan-akan lebih berfokus kepada keuntungan dan bukannya kemampumilikan.

    Tambahan lagi, adakah KDEB-Waste Management dan Hebat Abadi akan cuba untuk mendapatkan kontrak kutipan sampah yang pada masa ini merupakan tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan? Adakah mereka akan mencuba untuk meneroka teknologi pelupusan sampah yang lebih baru dan mahal, termasuklah pembinaan dan pengurusan loji insinerator?

    Ini semua merupakan kebimbangan berasas yang telah dibangkitkan oleh rakan saya dalam sidang Dewan Negeri dan masih belum ditangani oleh Menteri Besar.

    iii) Cabaran penggabungan dan transformasi

    Akhir sekali, cabaran ketiga yang dihadapi oleh Menteri Besar adalah bagaimana pelbagai syarikat di bawah MBI akan digabungkan, dan dalam kebanyakan kes, bagaimana ia akan menjalani proses transformasi. Jadual 1 di bawah menyenaraikan pendapatan dan keuntungan untuk Tahun Kewangan 2014 bagi semua syarikat dan anak syarikat yang dimiliki dan dikawal oleh MBI (di mana maklumatnya boleh didapati umum).[15]

    Jadual 1: Pendapatan dan keuntungan selepas cukai oleh syarikat dan anak syarikat di bawah MBI (Tahun Kewangan 2014)

    Apa yang menghairankan dan mengejutkan daripada Jadual 1 adalah hakikat bahawa 20 daripada 28 syarikat telah mengalami kerugian selepas cukai untuk Tahun Kewangan 2014. Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang merupakan syarikat induk utama di bawah MBI mengalami kerugian selepas cukai berjumlah RM144.4 juta pada Tahun Kewangan 2014. Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) mengalami kerugian besar sebanyak RM235 juta untuk Tahun Kewangan 2014 selepas pendapatan RM31.5 juta.

    5 daripada 7 anak syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) merupakan syarikat dorman (tidak aktif) yang langsung tidak mencatatkan sebarang keuntungan walau satu sen untuk Tahun Kewangan 2014. Misalnya, PNSB Construction dan PNSB Development mencatatkan kerugian selepas cukai berjumlah kurang daripada RM4,000 dan RM16.8 juta masing-masing.

    Kesemua aset riadah dan hospitaliti MBI mengalami kerugian selepas cukai, iaitu dari RM294,000 bagi Bukit Beruntung Golf and Country Resort, RM1.95 juta bagi Brisdale International Hotels, hinggalah RM7.01 juta bagi Perangsang Hotels and Properties.

    Lebih daripada DEIG, apa yang sebenarnya diperlukan oleh syarikat dan anak syarikat di bawah MBI adalah sebuah proses seumpama proses yang pernah dilalui dan sedang dijalani oleh GLC Persekutuan, iaitu Program Transformasi GLC yang kelihatan membuahkan hasil positif bagi kebanyakan syarikat yang turut serta dalam program ini.[16] Bagi sesetengah syarikat yang sentiasa mengalami kerugian dan bukan syarikat teras, pelupusan atau penggulungan syarikat tersebut perlu dipertimbangkan dengan serius. Namun bagi syarikat yang dianggap sebagai aset strategik tetapi mempunyai rekod kerugian setakat ini, program pemulihan perlu dikenal pasti dan dilaksanakan.

    Banyak syarikat yang bermasalah dan aset yang tidak digabungkan merupakan tinggalan daripada zaman pemerintahan kerajaan BN dan dibiarkan begitu sahaja tanpa diuruskan ketika pemerintahan Khalid Ibrahim, Menteri Besar sebelum ini. Kini adalah peluang untuk Azmin bagi menyusun semula, menggabungkan dan mentransformasikan syarikat-syarikat ini dengan cara lebih strategik dan ketelusan yang maksima. Ini adalah cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dan diatasi, dengan atau tanpa menggunakan DEIG.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Dividen (pemulangan pelaburan) yang diberi oleh GLC kepada Kerajaan Negeri Selangor pada 2004 hingga 2014, mengikut jawapan yang diberikan kepada YB Ng Sze Han (N30 Kinrara) melalui pertanyaan dalam DUN Selangor.

    [1] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/dap-questions-need-for-azmins-selangor-investment-firm

    [2] http://www.dealstreetasia.com/stories/selangor-state-launches-investment-arm-deig-khazanah-appoints-india-head-6856/

    [3] http://dewan.selangor.gov.my/assets/pdf/Penyata/Penyata-Sidang-2015/KERTAS%20BIL.%2048%20TAHUN%202015-JP%20ABAS_DEIG.pdf

    [4] http://www.sinar.tv/berita/deig-lebih-telus-berbanding-khazanah-1.422007

    [5] http://www.khazanah.com.my/khazanah/files/de/de899efe-c3f7-4e6c-9cfa-694db0d1e74d.pdf

    [6] http://www.khazanah.com.my/khazanah/files/45/457efe1e-cbf7-451d-9d30-690692b3a660.pdf

    [7] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/01/03/Azmin-Khalid-MBI-severance-payment/

    [8] http://azminali.com/blog/2015/08/maklumat-asas-darul-ehsan-investment-group-deig/

    [9] http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2015/01/15/Dividends-will-continue-to-be-paid-despite-challenging-year/?style=biz

    [10] http://azminali.com/blog/2015/08/maklumat-asas-darul-ehsan-investment-group-deig/

    [11] http://www.mbiselangor.com/?page_id=767

    [12] http://www.deig.com.my/corporate_structure_en.html

    [13] https://drive.google.com/file/d/0B95Rfe9gWqpDcHBTYmcxa204cDg/view

    [14] http://www.deig.com.my/property_en.html

    [15] Dikawal oleh MBI bermaksud MBI mempunyai sekurang-kurangnya 50%+1 (secara langsung dan tidak langsung) pegangan saham dalam syarikat tersebut. Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

    [16] http://www.pcg.gov.my/

Leave a reply.