• Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melantik semula Penolong Pegawai Pendaftar (ARO) daripada parti-parti politik untuk menghentikan penurunan bilangan pengundi berdaftar

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 25 Ogos 2015

    Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melantik semula Penolong Pegawai Pendaftar (ARO) daripada parti-parti politik untuk menghentikan penurunan bilangan pengundi berdaftar

    Selepas lebih daripada 2 tahun berlakunya PRU ke-13 serta keputusan SPR untuk tidak memperbaharui status Penolong Pegawai Pendaftar (Assistant Registrar Officers atau AROs) daripada parti politik, jumlah bersih pengundi baru berdaftar pada suku kedua tahun 2015 telah menunjukkan penurunan secara keseluruhan. Menurut data yang dikeluarkan oleh SPR, hanya tiga buah negeri yang menunjukkan peningkatan pengundi (pendaftaran baru + pendaftaran tukar alamat – penandaan pemotongan, iaitu mereka yang telah meninggal atau berpindah). Tiga buah negeri ini adalah Melaka (+496 pengundi), Sarawak (+4,588 pengundi) dan Terengganu (+10,311 pengundi). [1] (Rujuk Jadual 1)

    Kesemua negeri lain mengalami penurunan bilangan bersih jumlah pengundi, termasuklah Perak (-5,303 pengundi), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-3,487 pengundi), Selangor (-3,425 pengundi) dan Kedah (-2,911 pengundi). Sungguh tidak masuk akal apabila Selangor yang mengalami peningkatan penduduk dan mempunyai bilangan terbanyak pengundi tidak berdaftar mengalami penurunan bersih bilangan pengundi pula.

    Jelas bahawa SPR tidak berusaha secukupnya untuk mendaftarkan pengundi baru. Kita tidak boleh mengelakkan daripada berfikir bahawa SPR TIDAK agresif melakukan pendaftaran pengundi baru dan muda kerana golongan inilah yang kemungkinan besar TIDAK akan mengundi parti pemerintah. Pada masa yang sama, peningkatan ketara dalam bilangan bersih pengundi baru di Terengganu juga sangat mencurigakan. Ia mengingatkan saya kepada peningkatan pesat dalam bilangan pengundi baru di Terengganu selepas BN hilang kuasa sebagai kerajaan Negeri Terengganu pada 1999. Adakah agensi kerajaan seperti JASA terlibat dalam pendaftaran pengundi baru di Terengganu?

    Sekali lagi, saya menyeru SPR untuk memulihkan hak parti politik untuk melakukan pendaftaran pengundi baru melalui Penolong Pegawai Pendaftar. DAP telah membuktikan kebolehan mereka dalam mendaftarkan ramai pengundi baru terutamanya di kalangan anak muda melalui pusat khidmat, acara awam dan inisiatif pendaftaran pengundi di tempat-tempat awam di seluruh Malaysia. Tambahan lagi, peratusan pengundi berdaftar yang ditolak oleh SPR setakat ini bukanlah besar dan ini menunjukkan DAP lebih daripada mampu untuk menjalankan proses pendaftaran pengundi secara teratur.

    Jika SPR gagal untuk mengambalikan hak ini, ia akan menjadi satu lagi titik hitam kepada institusi ini yang sepatutnya merupakan badan bebas dan menunjukkan bahawa SPR tidak berminat untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] Putrajaya menunjukkan peningkatan 196 pengundi.

Leave a reply.