• Perdana Menteri Najib harus mengkaji kegagalan sistem Kutipan Tambang Automatik (AFC) dan bukan meminta penambahan bilangan kaunter tiket KTM

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 22 Ogos 2015

    Perdana Menteri Najib harus mengkaji kegagalan sistem Kutipan Tambang Automatik (AFC) dan bukan meminta penambahan bilangan kaunter tiket KTM

    Pada 7 Ogos yang lepas, Perdana Menteri Najib telah meminta pihak KTM di KL Sentral untuk menambah kaunter penjualan tiket secara manual bagi mengurangkan barisan pengguna yang beratur membeli tiket.[1] Daripada meminta KTM untuk menambah kaunter manual, beliau sepatutnya bertanya kepada Menteri Pengangkutan tentang sebab mengapa kontrak Sistem Kutipan Tambang Automatik (Automatic Fare Collection atau AFC) bernilai RM85juta yang dianugerahkan pada tahun 2011 boleh gagal hingga menyebabkan pengguna terpaksa beratur panjang di KL Sentral dan juga di kebanyakan stesen KTM di Lembah Klang.

    Penganugerahan kontrak AFC bernilai RM85juta kepada Hopetech Sdn Bhd pernah dipersoalkan oleh rakan sejawat saya, Tony Pua pada tahun 2011. Beliau telah mempersoalkan rekod syarikat serta kedua-dua pengarah Hopetech dan juga bidaan yang 18% lebih tinggi daripada 2 lagi pesaing.[2] Pada tahun 2013, Tony Pua sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan meminta jawapan bagi masalah perlaksanaan AFC dan penamatan kontrak Hopetech.[3]

    Dalam jawapan Parlimen yang diterima oleh Teo Kok Seong baru-baru ini, dinyatakan bahawa kontrak HopeTech telah ditamatkan pada April 2013 disebabkan kegagalan mereka untuk mematuhi kewajipan kontrak. Dinyatakan selanjutnya bahawa pembayaran tertunggak RM21.5juta kepada Hopetech telah ditahan. (Rujuk Lampiran 1 di bawah). Semasa saya menyemak rekod terkini syarikat di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), saya juga mendapati bahawa syarikat Hopetech kini dalam proses pembubaran (Rujuk Lampiran 2 di bawah).

    Pada masa yang sama, kelihatan banyak mesin AFC di stesen KTM sekitar Lembah Klang yang telah ditamatkan operasi atau masih dalam bungkusan (Rujuk Lampiran 3 di bawah).

    Daripada mengarahkan penambahan kaunter tiket manual, Najib seharusnya meminta Menteri Pengangkutan untuk:

    (i) Melakukan penyiasatan ke atas pemberian kontrak kepada Hopetech dan menjelaskan mengapa ia tidak berjaya memenuhi kewajipan kontraknya.

    (ii) Meminta SPRM mendedahkan keputusan siasatan (jika ia dilaksanakan) terhadap penganugerahan kontrak kepada Hopetech.

    (iii) Menerangkan berapa banyak daripada jumlah RM85juta telah dibayar kepada Hopetech dan apa caranya untuk mendapatkan kembali sebahagian atau keseluruhan duit tersebut.

    (iv) Mendedahkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh MavCap dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu pemegang saham minoriti di dalam Hopetech (Lampiran 4).

    (v) Menerangkan kepada orang awam tentang bagaimana proses penganugerahan kontrak baru akan dijalankan dan pelaksanaannya akan dipantau dengan ketat bagi mengelakkan berlakunya kemelut sebegini lagi.

    Melainkan jika Perdana Menteri lebih menggemari pilihan yang lebih murah, iaitu hanya menambah kaunter tiket manual di semua stesen KTM seluruh negara.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Jawapan Parlimen kepada Teo Kok Seong, Ahli Parlimen Rasah

    Lampiran 2: Hopetech kini dalam proses penggulungan syarikat/ likuidasi.

    Lampiran 3: Mesin AFC yang telah dihentikan operasi dan belum dibungkus di stesen KTM Serdang

    Lampiran 4: Pemilikan Hopetech Sdn Bhd (Mavcap dan LTAT sebagai pemegang saham minoriti)

    [1] http://english.astroawani.com/malaysia-news/more-counters-staff-kl-sentral-thanks-pm-68746

    [2] http://tonypua.blogspot.com/2011/01/ktmb-rm85m-contract-to-company-without.html

    [3] http://tonypua.blogspot.com/2013/07/ktmbs-rm85m-automated-fare-collection.html

Leave a reply.