• Dedahkan Gaji dan Pendapatan Penjawat Awam Kanan Dan Eksekutif Dalam Syarikat Milik Kerajaan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 Ogos 2015

    Dedahkan Gaji dan Pendapatan Penjawat Awam Kanan Dan Eksekutif Dalam Syarikat Milik Kerajaan

    Pada 18 Ogos 2015 (Selasa), Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS) telah menganjurkan Seminar dan Pameran Perkongsian Terbuka Kerajaan (Open Government Partnership – OGP)[1] yang merupakan sebuah inisiatif pelbagai hala untuk menjamin komitmen kukuh dari kerajaan-kerajaan bagi “meningkatkan ketelusan, memperkasakan rakyat, memerangi rasuah dan memanfaatkan teknologi baru bagi mengukuhkan tadbir urus.”[2]

    Salah satu komitmen oleh kerajaan UK sebagai sebahagian daripada inisiatif Perkongsian Terbuka Kerajaan adalah pendedahan gaji penjawat awam dan pegawai kanan dalam jabatan, agensi dan badan awam bukan jabatan yang memperoleh gaji £150,000 dan ke atas. Senarai nama dan gaji ini boleh dimuat turun di: https://www.gov.uk/government/publications/senior-officials-high-earners-salaries. Senarai 2014 mengandungi 315 nama termasuklah eksekutif tinggi di UK Green Investment Bank yang 100% dimiliki oleh kerajaan.

    UK Green Investment telah dimulakan dengan jumlah modal £3.8b dana awam untuk membiayai projek-projek hijau.[3] Laman web bank tersebut juga menyenaraikan imbuhan yang diterima oleh eksekutif tertinggi dan juga gaji staf daripada pelbagai peringkat pengurusan.[4]

    Kerajaan UK juga telah mengemukakan senarai penasihat khas kepada kerajaan yang mempunyai pendapatan sebanyak £58,200 setahun.[5]

    Ketelusan sebeginilah yang teramat diperlukan di Malaysia.

    Sebagai contoh, walaupun kita dapat mengetahui tangga gaji dan gred penjawat awam, namun kita tidak mengetahui pendapatan sebenar penjawat awam kanan termasuklah pendapatan dari segi elaun dan pembayaran yang diterima sebagai pengarah badan berkanun dan syarikat milik kerajaan. Menurut jawapan Parlimen yang telah saya terima, elaun tetap bulanan bagi seorang pengerusi di Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) adalah sekitar RM8,000 hingga RM10,000, elaun mesyuarat lembaga pengarah adalah antara RM2,500 hingga RM3,000 dan elaun mesyuarat jawatankuasa adalah RM1,300 (rujuk jadual di bawah).

    Jadual: Elaun pengarah Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (kecuali Institusi Kewangan Pembangunan)

    Jenis Elaun Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah
    Elaun Tetap Bulanan RM8000 hingga RM10000 RM2500 hingga RM3000
    Elaun Mesyuarat Lembaga Pengarah RM2500 hingga RM3000 RM1500 hingga RM2000
    Elaun Mesyuarat Jawatankuasa RM1300 RM1000

    Sumber: Jawapan Parlimen, Sesi Kedua, 2015

    Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar bin Abdullah disenaraikan sebagai pengarah dalam 25 syarikat hingga tempoh hujung tahun 2014 (Rujuk Lampiran A). Demi ketelusan, jumlah pendapatan penjawat awam kanan seperti Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar haruslah didedahkan kepada orang ramai.[6]

    Gaji CEO dan eksekutif kanan agensi kerajaan seperti PEMANDU juga harus diketahui umum. Gaji tahunan, elaun dan bonus agensi seperti Agensi Inovasi Malaysia (AIM) (berjumlah RM830,500), Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) (berjumlah RM480,000) dan TalentCorp (berjumlah RM420,000) hanya didedahkan menerusi jawapan kepada soalan Parlimen saya pada tahun 2013.[7]

    Apabila saya bertanyakan tentang jumlah gaji CEO bagi MRT Corp, Prasarana, 1MDB dan Khazanah menerusi soalan Parlimen pada November 2013, jawapan yang diterima adalah maklumat tersebut merupakan perkara peribadi dan tidak boleh didedahkan. Saya rasa bahawa jawapan ini tidak dapat diterima kerana syarikat-syarikat tersebut merupakan syarikat 100% milik kerajaan, oleh itu perlu tertakluk kepada pendedahan dan penelitian awam.

    KWSP sendiri, yang mempunyai taraf pendedahan maklumat dan tadbir urus korporat berkualiti tinggi mengikut piawaian Malaysia, hanya mendedahkan gabungan emolumen Ketua Pegawai Eksekutif dan 3 orang Timbalan beliau yang berjumlah anggaran RM4 juta bagi tahun 2014.[8]

    Amalan pendedahan gaji tidak harus dihadkan kepada mereka yang berada di peringkat persekutuan. Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor boleh menjadi teladan dengan mendedahkan gaji eksekutif tertinggi di syarikat yang dikawal oleh kerajaan negeri masing-masing seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), syarikat lain yang dimiliki oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI), serta banyak lagi syarikat lain yang majoritinya dimiliki oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI).

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran A: Senarai jawatan pengarah yang dipegang oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar bin Abdullah

    [1] http://ideas.org.my/events/18-august-2015-open-government-partnership-seminar-and-exhibition/

    [2] http://www.opengovpartnership.org/about#sthash.3M5EQhyg.dpuf

    [3] http://www.greeninvestmentbank.com/about-us/

    [4] http://www.greeninvestmentbank.com/media/44598/gib-salaries-2014.pdf

    [5] http://data.gov.uk/dataset/special-advisers-list

    [6] Saya menganggap bahawa elaun maksima yang boleh diperoleh oleh penjawat awam kanan seperti Tan Sri Dr. Mohd Irwan adalah RM27,000 setahun seperti yang dikatakan dalam pekeliling kerajaan yang dikemaskini pada 1993: http://docs.jpa.gov.my/docs/pp/1993/pp021993.pdf

    [7]http://ongkianming.com/2013/10/29/press-statement-the-prime-minister-should-walk-the-talk-by-cutting-expenditure-in-the-prime-ministers-department-and-by-not-creating-new-expensive-agencies/

    [8] http://www.kwsp.gov.my/portal/documents/10180/5382689/6.OUR_ACCOUNTABILITY.pdf

Leave a reply.