• Mendesak Setiausaha Negara AS, John Kerry untuk membincangkan isu kemungkinan kehadiran buruh paksa dari Korea Utara di Malaysia, ketika pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Anifah Aman

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 2 Ogos 2015

    Mendesak Setiausaha Negara AS, John Kerry untuk membincangkan isu kemungkinan kehadiran buruh paksa dari Korea Utara di Malaysia, ketika pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Anifah Aman

    Saya tertarik dengan laporan akhbar baru-baru ini yang menyatakan bahawa Setiausaha Negara AS, John Kerry akan menekan Malaysia supaya meningkatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia ketika lawatan beliau ke Kuala Lumpur.[1] Malaysia baru sahaja dinaikkan kedudukannya dari Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat 2014 (Laporan TIP 2014) ke Tahap 2 dalam Laporan TIP 2015.

    Pada awal bulan lepas, sekumpulan 19 Senator yang diketuai oleh Senator Robert Menendez (New Jersey) telah menulis sepucuk surat kepada Setiausaha John Kerry yang menyuarakan kebimbangan mereka tentang kenaikan kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia yang dianggap dilakukan terlalu awal.[2] Kebimbangan mereka ini disahkan apabila kedudukan Malaysia memang disahkan dalam Laporan TIP 2015. Perlu diingatkan bahawa Senator Menendez merupakan pengarang pindaan undang-undang Trade Promotion Authority (TPA), juga dikenali sebagai ‘fast track’ (laluan pantas). Melalui TPA, Amerika Syarikat akan dilarang menjalankan sebarang urusan perdagangan dengan negara yang berada di Tahap Ke-3 dalam Laporan TIP. Ini jelas akan menjejaskan kemasukan Malaysia ke Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

    Saya menggesa Setiausaha Kerry untuk mengutarakan isu yang diabaikan dalam Laporan TIP 2015 berhubung kemungkinan wujudnya kehadiran buruh paksa dari Korea Utara di Malaysia.

    Isu buruh paksa dari Korea Utara ini ada disebut dalam laporan TIP 2015 untuk negara Russia, China dan Mongolia. Namun, isu kemungkinan kehadiran buruh paksa ini langsung tidak disebut dalam laporan bahagian Malaysia sedangkan Asian Institute for Policy Studies[3] dan Pusat Pangkalan Data untuk Hak Asasi Korea Utara[4] melaporkan kewujudan hampir 300 orang buruh paksa dari Korea Utara yang bekerja di Malaysia.

    Kehadiran buruh Korea Utara di Malaysia dilaporkan oleh akhbar tempatan pada November 2014 apabila letupan lombong arang batu di Sri Aman, Kuching mengorbankan 3 nyawa pelombong (salah seorang adalah warganegara Korea Utara) dan mencederakan 29 lagi orang (7 daripadanya merupakan warganegara Korea Utara). Laporan susulan juga mendakwa bahawa majoriti daripada 119 pekerja di lombong itu merupakan warganegara Korea Utara.[5] Lawatan oleh 2 orang wartawan tempatan ke tempat kejadian mendapati bahawa lombong itu bukan sahaja susah untuk ditemui, malahan ia tidak diuruskan dengan baik.[6] Saya mengambil maklum bahawa kejadian ini berlaku sebelum Mac 2015, iaitu tarikh akhir untuk penilaian TIP 2015.

    Kehadiran pekerja Korea Utara disahkan oleh Wan Junaidi, iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri pada masa itu, selepas kejadian letupan tersebut.[7] Mengikuti jawapan yang diperoleh melalui Parlimen bertarikh 17 Jun 2015, terdapat 3 syarikat yang terlibat dalam pembinaan dan 1 dalam perlombongan yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Sumber Manusia Sarawak untuk mengambil seramai 348 buruh Korea Utara. Sebanyak 287 permit telah digunakan pada masa jawapan balas Parlimen ini diutuskan.

    Isu pengambilan buruh paksa Korea Utara di luar Korea Utara adalah diketahui ramai. Saya berharap bahawa pengecualian isu kehadiran buruh paksa di Malaysia dalam Laporan TIP bukanlah disebabkan kepentingan politik demi membenarkan Malaysia menandatangani perjanjian TPPA pada hujung tahun ini. Namun jika ianya memang berlaku, ketepatan Laporan TIP dan komitmen Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk membanteras pemerdagangan manusia di Malaysia dan seluruh dunia pastinya akan dipersoalkan.

    (Dilampirkan jawapan balas Parlimen yang asal)

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/kerry-to-press-malaysia-on-human-trafficking-not-scandal

    [2] http://www.menendez.senate.gov/imo/media/doc/071515%20Letter%20to%20Kerry%20re%20Malaysia%20TIP%20Upgrade.pdf

    [3] http://en.asaninst.org/wp-content/themes/twentythirteen/action/dl.php?id=30324

    [4] http://nkdb.org/en/library/Books_list.php

    [5] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/11/23/Sarawak-mine-blast/

    [6] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/11/23/Mine-has-no-signage-and-is-difficult-to-find/

    [7] http://www.theguardian.com/world/2014/nov/24/-sp-north-korea-malaysia-mine-labour

Leave a reply.