• Sebab-sebab mengapa isu penundaan tarikh SCKL Marathon adalah penting

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 15 Julai 2015

    Sebab-sebab mengapa isu penundaan tarikh SCKL Marathon adalah penting

    Mengapakah kita perlu memberi perhatian kepada isu penangguhan acara larian di Kuala Lumpur, memandangkan berlakunya skandal 1MDB dan siasatan polis terhadap insiden Low Yat?

    Berikut merupakan sebab-sebab mengapa penangguhan Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon daripada Ahad 4 Oktober kepada tarikh baru, iaitu Sabtu 5 Oktober, atas permintaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, supaya ia diadakan serentak dengan sambutan Hari Sukan Negara, adalah lebih penting daripada apa yang anda fikirkan.

    Sebab Pertama: Khairy Jamaluddin sepatutnya merupakan salah seorang pemimpin UMNO yang lebih progresif dan berfikiran terbuka

    KJ telah mendapat gelaran sebagai salah seorang pemimpin UMNO yang berfikiran terbuka, bijak, progresif, celik media dan mempunyai pemikiran selari dengan rakyat terutamanya golongan muda. Beliau sendiri merupakan seorang pelari dan pernah menyertai larian SCKL Marathon pada tahun lepas dalam kategori 10km. Jika seorang pemimpin yang progresif dan berfikiran terbuka seperti KJ boleh membuat keputusan menukar tarikh acara larian antarabangsa di negara ini hanya semata-mata untuk kepentingan KPI Hari Sukan Negara tanpa mengambil kira kemudahan peserta, apa yang dapat dikatakan tentang tahap kepimpinan di kalangan kumpulan pemimpin BN?

    Tindakan sedemikian memberi sebab yang baik kepada kita untuk meragui keikhlasan dan kredibiliti pemimpin BN yang lain, termasuklah Perdana Menteri, apabila Menteri Belia dan Sukan yang kononya progresif tergamak membuat keputusan yang tidak bertimbang rasa seperti ini.

    Sebab Kedua: Episod ini menunjukkan bahawa Menteri di Malaysia memegang terlalu banyak kuasa dalam tangan mereka.

    Bayangkan jika pentadbiran Obama mahupun pentadbiran David Cameron meminta penganjur dan penaja Chicago Marathon atau London Marathon untuk menunda tarikh larian bagi menyesuaikannya dengan sesebuah sambutan tajaan kerajaan. Saya yakin penganjur akan meminta pentadbiran Obama atau Cameron untuk berambus, meskipun menggunakan bahasa yang lebih sopan dan formal. Sudah tentu pentadbiran Obama atau Cameron tidak akan mengambil risiko sebegini kerana mengerti serangan politik yang akan diterima mereka jika permintaan mengubah tarikh acara dilakukan.

    Namun di Malaysia, penganjur dan penaja SCKL Marathon seakan-akan tidak berkuasa untuk mengatakan ‘tidak’ terhadap permintaan Menteri untuk menukar tarikh bagi menyesuaikan acara tersebut dengan sambutan Hari Sukan Negara, walaupun Kementerian Belia dan Sukan bukanlah penaja utama mahupun pengajur utama acara tersebut.

    Episod ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah Malaysia yang lebih besar di mana Menteri mempunyai terlalu banyak kuasa di tangan mereka. Mereka bukan sahaja boleh memberi tekanan melalui kementerian sendiri, malahan boleh bergantung kepada sokongan kementerian dan agensi kerajaan yang lain. Sebagai contoh, Menteri Belia dan Sukan boleh meminta DBKL untuk menarik balik sokongan dan dana untuk SCKL Marathon jika penganjur tidak bersetuju untuk menukar tarikh. Saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir, tetapi saya tidak akan terkejut jika pelbagai agensi kerajaan telah digerakkan bagi ‘menggalakkan’ penganjur SCKL Marathon untuk menukar tarikh.

    Sebab Ketiga: Episod ini membuktikan bahawa kerajaan langsung tidak mengendahkan maklum balas orang ramai selepas pengumuman penukaran tarikh dibuat

    Jika Khairy benar-benar senada dengan komuniti pelari, beliau sepatunya dapat menjangkakan reaksi awam terhadap perubahan tarikh daripada 4 Oktober kepada 10 Oktober. Tiket penerbangan telah dibeli awal, acara telah ditanda dalam jadual larian masing-masing, dan tempoh percutian juga telah dirangka awal untuk membolehkan pelari-pelari berada di KL pada hujung minggu.

    Laman Facebook Standard Chartered KL Marathon telah dihujani dengan lebih daripada 1000 komen yang rata-rata mengutuk dan mengkritik keputusan tersebut.[1] Facebook Khairy juga telah diserang oleh mesej-mesej orang awam berkenaan tindakan sebelah pihak ini.[2]

    Laman Facebook “Bring SCKLM Back to October 4: Stop Politicising Sporting Events” juga telah diwujudkan pada 13 Julai setelah pengumuman penukaran tarikh dibuat, dan kini mempunyai lebih 3,000 ‘likes’.[3] Petisyen yang dibuat pada 14 Julai (Selasa) juga telah mendapat 1,500 tandatangan.[4]

    Walaupun dihujani dengan pelbagai maklum balas negatif, Khairy yang kebiasaannya merupakan pengguna aktif media sosial telah ‘hilang tanpa dikesan’ selama 2 hari dan masih belum tampil memberi penjelasan kepada komuniti pelari tentang mengapa beliau perlu mencabuli hak 35,000 orang pelari semata-mata untuk memenuhi KPI yang ditetapkan untuk Hari Sukan Negara.

    Beliau mungkin berfikir bahawa beliau boleh melepaskan diri, dan jangkaan itu mungkin betul. Ada pelari yang akan menarik diri dan meminta ganti rugi. Namun terdapat juga orang lain yang sanggup mendaftar diri bagi acara tersebut terutamanya larian jarak 5km dan 10km (kategori tersebut telah habis dijual dalam tempoh 4 hari, maksudnya terdapat permintaan tinggi). Walaupun Khairy mungkin boleh melepaskan diri, namun tidak bermakna tindakan ini adalah betul dan suara mereka yang tidak berpuas hati boleh diabaikan begitu sahaja.

    Sebab Keempat: Nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa telah tercemar

    SCKL Marathon merupakan acara marathon peringkat antarabangsa dan ini bermakna peserta dari pelbagai negara akan datang ke Malaysia untuk mengambil bahagian dalam acara ini. Marathon antarabangsa seperti di Berlin, London, Boston, Chicago, New York dan Tokyo menarik penyertaan antarabangsa di peringkat elit dan bukan elit. Walaupun SCKL Marathon jauh daripada tahap World Major Marathon,[5] ia tetap merupakan salah satu daripada dua marathon peringkat antarabangsa negara ini selain daripada Penang Bridge International Marathon. Perubahan tarikh akan memberi kesan bukan sahaja kepada nama baik SCKL Marathon, malah tempias juga akan terkena kepada acara larian lain di Malaysia terutamanya di kalangan komuniti pelari antarabangsa. Daripada menghadapi kemungkinan perubahan tarikh lagi disebabkan campur tangan politik, ramai yang lebih rela untuk tidak menyertai acara ini. Kerja keras penganjur selama ini dalam membina nama baik acara ini di peringkat antarabangsa telah tercemar dan kemampuan Malaysia untuk menganjurkan acara larian peringkat dunia turut diragui.

    Disebabkan faktor-faktor tersebut, keputusan menunda acara larian ini merupakan sebahagian kecil daripada masalah-masalah besar yang dihadapi oleh negara ini, dan inilah sebab mengapa keputusan sebelah pihak yang dibuat oleh Menteri untuk menunda tarikh acara harus diberi perhatian.

    Dr. Ong Kian Ming merupakan Ahli Parlimen Serdang dan telah mendaftar dalam kategori 42km untuk tujuan kebajikan bagi EcoKnights. Setakat ini, beliau telah mengumpul dana RM1000 dan amat kecewa jika perubahan tarikh ini akan memberi kesan kepada pengumpulan dana kebajikan semua orang yang telah mendaftar bagi larian kategori Run for a Cause (RFAC).

    [1] https://www.facebook.com/SCKLmarathon?fref=ts

    [2] https://www.facebook.com/SCKLmarathon?fref=ts

    [3] ps://www.facebook.com/pages/Bring-SCKLM-Back-To-October-4-Stop-Politicising-Sporting-Events/1011197192277453?ref=hl

    [4] http://www.ipetitions.com/petition/bring-scklm-back-to-october-4

    [5] https://www.worldmarathonmajors.com/

Leave a reply.