• UKM sepatutnya mula mengadakan dialog terbuka dengan pelajarnya dan bukannya menghukum mereka kerana menyatakan pandangan mereka

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli PArlimen Serdang pada 27 Jun 2015

    UKM sepatutnya mula mengadakan dialog terbuka dengan pelajarnya dan bukannya menghukum mereka kerana menyatakan pandangan mereka

    Pada 29 Jun 2015 (Isnin), Bahagian Hal Ehwal Pelajar UKM akan memanggil 13 orang pelajar yang terlibat dalam protes pada 27 Mac 2015 mengenai isu gangguan bekalan air di beberapa kolej kediaman yang antaranya tiada bekalan air untuk lebih dari 2 minggu.

    Kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah termaktub dalam Perkara 10.1 (b) Perlembagaan Persekutuan dan demonstrasi pelajar pada 27 Mac 2015 merupakan sebuah perhimpunan aman.

    Salah satu tuduhan yang dilemparkan kepada pelajar oleh pihak pengurusan UKM adalah bahawa mereka menyerahkan memorandum kepada saya semasa protes pada 27 Mac 2015 (rujuk Lampiran 1). Saya dimaklumkan bahawa pelajar akan mengadakan protes ini, dan sebagai Ahli Parlimen kawasan Serdang yang termasuk UKM, saya merasakan ia merupakan tugas dan tanggungjawab saya untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh pelajar berikutan gangguan air ini.

    Saya juga dimaklumkan bahawa pelajar telah meminta pihak UKM untuk mengadakan satu perbincangan di antara pihak SYABAS, pengurusan UKM serta perwakilan pelajar supaya maklumat yang sahih dapat disalurkan kepada pelajar, termasuklah penyebab kepada gangguan air serta cara penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

    Selepas protes pada 27 Mac 2015, saya telah menulis surat kepada Naib Canselor UKM pada 16 April 2015 (Lampiran 2) bagi mengadakan perjumpaan untuk membincangkan penyelesaian terbaik kepada masalah air di UKM yang telah berlarutan untuk 10 tahun yang lepas. Namun dukacitanya, sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak UKM.

    Sikap sebegini hanya mencerminkan masalah yang lebih besar – iaitu keengganan UKM untuk melibatkan diri dalam dialog yang telus dan terbuka dengan semua pihak berkepentingan, termasuklah pemimpin pelajar, berkenaan isu yang memberi kesan serius terhadap kesejahteraan pelajar di kolej-kolej kediaman. Daripada menghukum mereka, pentadbiran UKM sepatutnya bekerjasama dengan pelajar-pelajar dan pihak berkepentingan lain seperti SYABAS, ADUN dan Ahli Parlimen serta Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

    Selagi sikap sebegini wujud di dalam Universiti Awam, segala cita-cita negara untuk mencapai status universiti bertaraf dunia hanya merupakan retorik kosong semata-mata. Bagaimanakah sebuah universiti awam boleh bercakap mengenai mencapai kecemerlangan akademik apabila ia terus menyekat pelajar sendiri?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: UKM 13: Tatatertib Protes Air

    Lampiran 2: UKM 13: Surat 16 April 2015 Krisis Air UKM

Leave a reply.