• Adakah kita menuju ke arah krisis tenaga pada 2018 hasil daripada kelewatan Projek 4A?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 22 Jun 2015

    Adakah kita menuju ke arah krisis tenaga pada 2018 hasil daripada kelewatan Projek 4A?

    Pada hujung minggu lepas, The Edge Weekly melaporkan bahawa SIPP Energy sedang mencari rakan kongsi baru bagi Projek 4A selepas Suruhanjaya Tenaga menolak cadangan tarif yang diserahkan oleh Konsortium SIPP EnergyTNB, di mana projek ini dianugerahkan secara rundingan terus. Tanpa adanya pihak yang sanggup menjadi rakan kongsi kepada SIPP Energy dan juga dengan kemungkinan kelewatan Projek 3B disebabkan ketidakmampuan 1MDB untuk menyediakan dana pembinaan, negara kita mungkin akan menghadapi masalah kekurangan tenaga yang serius menjelang 2018.

    Pada 31 Mei 2014, Suruhanjaya Tenaga memberi Projek 4A melalui rundingan terus kepada konsortium yang diketuai oleh SIPP Energy (51%) dengan YTL Power dan TNB untuk membina Loji Janakuasa Kitaran Gas Gabungan (CCGT) berkapasiti 1000MW-1400MW di Johor yang sepatutnya beroperasi pada Jun 2018. Menurut Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, tender ini diberikan tanpa melalui proses persaingan kerana margin rizab tenaga semakin jatuh merundum dan krisis tenaga akan terjadi menjelang tahun 2018. Oleh itu, pembinaan segera (fast track) adalah diperlukan.[1] Projek ini dikritik sejak dari awal lagi bukan sahaja kerana tiada bidaan terbuka, malahan SIPP juga tiada sebarang rekod pembinaan loji janakuasa sebelum ini. YTL menarik diri pada 19 Jun 2015 dan meninggalkan SIPP Energy dan TNB sebagai rakan kongsi.

    Dilaporkan juga bahawa Konsortium SIPP Energy dan TNB menyerahkan bidaan RM0.39/ kWH bagi cadangan pembinaan loji janakuasa CCGT di mana ia adalah 12% lebih tinggi daripada tarif RM0.34/ kWH bagi projek pembinaan loji janakuasa berkapasiti 1071MW di Prai.[2] Loji janakuasa CCGT TNB berkapasiti 1071MW diberikan melalui tender terbuka yang menjadi faktor utama tarif rendah yang ditawarkan oleh TNB.

    Dengan kegagalan bidaan tarif oleh SIPP Energy dan TNB, The Edge Weekly melaporkan SIPP Energy berkemungkinan menjual 51% kepentingan dalam Projek 4A dengan harga RM300 million. Kos ini barangkali akan difaktorkan ke dalam cadangan tarif baru bagi Projek 4A yang dijangka menjadikan tarif menjadi lebih tinggi berbanding jika ia dianugerahkan melalui tender terbuka.

    Cara pengendalian Projek 4A oleh Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air adalah amat memalukan. Projek yang sepatutnya merupakan projek pantas (fast track) bagi pembinaan loji janakuasa CCGT yang dijangka beroperasi pada 1 Jun 2018 (sebelum Projek 3B oleh 1MDB yang akan siap pembinaan pada November 2018 bagi 1000MW pertama dan Nov 2019 untuk 1000MW kedua) kini akan pasti mengalami kelewatan berterusan. Ini kerana SIPP perlu mencari rakan kongsi baru, ataupun menjual kepentingan kepada pihak lain yang perlu mengkaji semula tarif baru untuk dihantar kepada Suruhanjaya Tenaga.

    Dengan rizab operasi yang menjangkau 9% semasa permintaan puncak pada Jun 2014, kemungkinan besar bahawa kita akan menghadapi krisis elektrik pada 2018.[3] Keputusan asal untuk menganugerahkan Projek 4A melalui rundingan terus kini menghantui Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian. Suruhanjaya Tenaga sepatutnya mengadakan tender terbuka supaya pihak yang paling berpengalaman dan mempunyai harga terendah akan menerima kontrak ini. Sebaliknya, kini kita terperangkap disebabkan kelewatan pembinaan loji janakuasa yang mungkin akan menyebabkan krisis tenaga negara dalam masa 3 tahun akan datang atau lebih awal. Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2014/07/25/TNB-SIPP-Energy-sign-agreement-for-power-plant-project-in-Johor/?style=biz

    [2] http://www.tnb.com.my/tnb/application/uploads/newsclips/c40e44dc9475b32ee4778167cb94c7c8.pdf

    [3] http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2015/04/11/Its-the-rakyat-who-will-pay-for-power-plant-delays/?style=biz

Leave a reply.