• Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili perlu memastikan pendedahan menyeluruh mengenai pengambilalihan Projek 3B oleh TNB daripada 1MDB

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 Jun 2015

    Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili perlu memastikan pendedahan menyeluruh mengenai pengambilalihan Projek 3B oleh TNB daripada 1MDB

    Semasa perbahasan pada Khamis lepas untuk meminda Akta Bekalan Elektrik (1990), saya bertanyakan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkenaan perkembangan terbaru Projek 3B, sebuah projek loji janakuasa arang batu 2000MW yang dianugerahkan kepada 1MDB (70%) dan Mitsui (30%). Suruhanjaya Tenaga sepatutnya mengumumkan keputusan pada Februari, namun tiada sebarang perkembangan dilaporkan sehinggalah kenyataan Menteri pada Khamis lepas.

    Dalam jawapan balas, beliau (Menteri) mengesahkan bahawa kabinet telah memberi kebenaran kepada TNB untuk mengambilalih projek 3B daripada 1MDB.[1] Selain itu, pengesahan juga dibuat bahawa terdapat “semakan kecil” bagi tarif tenaga memandangkan projek telah mengalami kelewatan 6 bulan dan kadar pertukaran juga telah berubah sejak projek tersebut dianugerahkan kepada 1MDB. Menteri tidak mendedahkan terma pembelian Projek 3B oleh TNB daripada 1MDB atas asas “kerelaan kedua-dua pihak.”

    Pertamanya, disebabkan 1MDB merupakan syarikat 100% milik Kemeterian Kewangan dan telah menjadi topik hangat berita nasional mahupun antarabangsa, manakala TNB pula merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang merupakan salah satu entiti terbesar dalam Bursa Saham Kuala Lumpur, maka terdapat kepentingan orang awam yang dipertaruhkan dari segi terma yang ditawarkan kepada 1MDB oleh TNB dalam pengambilalihan Projek 3B.

    Kerajaan tidak memberitahu TNB mengenai keputusan yang diambil dan ini menyebabkan pergolakan pasaran saham hingga saham TNB jatuh sebanyak 50sen pada hari pengumuman tersebut dibuat, iaitu daripada nilai asal RM13.10 kepada RM12.60. Kejatuhan ini berpunca daripada ketakutan bahawa TNB akan digunakan untuk menyelamatkan (bailout) 1MDB. Namun hanya selepas CEO TNB, Azman Mohd mengeluarkan kenyataan untuk meyakinkan orang ramai bahawa TNB tidak akan membayar premium 70% kepentingan dalam Projek 3B, barulah saham TNB pulih kepada RM12.86 pada hari berikutnya.[2]

    Atas nama ketelusan dan untuk menenangkan pasaran saham, Menteri mesti mendedahkan atau meminta TNB untuk mendedahkan terma yang dipersetujui antara TNB dan 1MDB.

    Kedua, Menteri tidak boleh lepas tangan daripada perjanjian Projek 3B antara TNB dan 1MDB dengan menggunakan alasan “kerelaan kedua-dua pihak” kerana lesen Projek 3B adalah di bawah Suruhanjaya Tenaga. Suruhanjaya Tenaga mempunyai hak untuk mendenda 1MDB kerana gagal memulakan Projek 3B tepat pada masa dan ia juga mempunyai hak untuk memindahkan lesen kepada TNB. Malah, salah satu sebab pindaan kepada Akta Bekalan Elektrik (Seksyen 9B khususnya) adalah untuk meningkatkan kuasa Suruhanjaya Tenaga terhadap pihak yang diberikan lesen untuk penjanaan tenaga elektrik.

    Mereka yang terlibat dalam industri tenaga, iaitu para pemegang lessen, harus diberitahu jika Suruhanjaya Tenaga merancang untuk mengenakan denda yang keras terhadap sesiapa yang gagal mematuhi syarat dalam perjanjian perlesenan. Tanpa pendedahan perkara ini kepada orang awam, pemegang lesen yang lain akan berfikir bahawa mereka juga boleh ‘meloloskan diri’ jika lewat dalam memenuhi syarat yang dinyatakan dalam perjanjian.

    Maka, dengan dua sebab yang dinyatakan di atas, Menteri perlu memastikan pendedahan menyeluruh terhadap pengambilalihan oleh TNB daripada 1MDB bagi Projek 3B dan juga denda yang dikenakan terhadap 1MDB akibat daripada kegagalan menguruskan Projek 3B.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/tnb-buys-1mdbs-stake-in-project-3b-plant-minister-confirms#sthash.RtrlbeNU.dpbs

    [2] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/1mdb-power-project-stake-buy-is-not-a-bailout-says-tnb

     

Leave a reply.