• Adakah FGV telah membeli aset berisiko tinggi daripada Eagle High Plantations, yang dulu dikenali sebagai BW Plantations?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 17 Jun 2015

    Adakah FGV telah membeli aset berisiko tinggi daripada Eagle High Plantations, yang dulu dikenali sebagai BW Plantations?

    Pada Jumaat lepas, Felda Global Ventures (FGV) mengumumkan bahawa ia akan membeli 37% pegangan dalam Eagle High Plantations (dulu dikenali sebagai BW Plantations) dengan harga RM2.6 billion dalam bentuk tunai dan saham FGV. Antara sebab yang diberikan oleh FGV berkenaan urus niaga ini adalah bahawa FGV ingin meningkatkan penerokaan tanah simpanan yang tidak melibatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan meluaskan tanah simpanan ‘greenfield’ di Indonesia melalui pemerolehan ini (Lihat Jadual 3 di bawah).

    Tidak dinafikan bahawa EHP memang mempunyai pegangan tanah yang luas, iaitu sebanyak 419,000 hektar. Daripada jumlah tersebut, 147,000 hektar merupakan ladang sawit yang menjadikannya syarikat minyak sawit ketiga terbesar yang disenaraikan dalam Bursa Saham Indonesia. Namun, FGV masih belum mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan cabaran serta kos pembangunan tanah simpanan yang masih belum dibangunkan itu.

    Dalam laporan yang disiarkan pada 20 November 2014 oleh Chain Reaction Research, sebuah organisasi penyelidikan analisa risiko alam sekitar dari Washington DC, pengambilalihan rizab tanah ini diklasifikasikan sebagai BERISIKO TINGGI.[1]

    Antara risiko yang disenaraikan adalah “untuk 70% rizab tanah, permit belum terjamin untuk memulakan penanaman pokok sawit, malah sukar untuk dipastikan bahawa ia akan berlaku”, serta kebimbangan besar “berkenaan dengan pembangunan di atas tanah gambut, penebangan hutan serta pencerobohan habitat orang utan” yang mungkin memberi kesan terhadap pelanggan utama yang komited terhadap dasar “tiada penyahutanan, tiada tanah gambut, tiada pengeksploitasian.”

    Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1, 65% daripada tanah EHP (sebelum ini BHP Plantation) masih belum ditanam dan majoriti tanah tersebut merupakan tanah Green Eagle dan Rajawali yang disuntik ke dalam BW Plantation sebagai sebahagian langkah pengambilalihan rizab pada bulan November 2014.

    Laporan Chain Reaction Research turut menyatakan bahawa bagi tanah yang masih belum ditanam, “proses pelesenan masih dalam peringkat awal: hanya terdapat satu izin lokasi. Permit lokasi mempunyai tarikh tamat tempoh dan kebiasaanya permit sebegini tidak akan ditukar kepada hak pembangunan ladang sebenar. Tidak seperti laporan lain, prospektus BW’s Plantation tidak memberikan maklumat prospek berkenaan tanah sebenar yang akan dibangunkan. Disebabkan penilaian Green Eagle Holdings adalah berdasarkan potensi tanah simpanan yang masih belum dibangunkan, kekurangan pendedahan data ini perlu diambil serius oleh para pemegang saham BW Plantation.”

    Laporan ini turut menyebut bahawa 40% daripada penjualan BW Plantations pada tahun 2014 adalah kepada Golden Agri-Resources dan Wilmar, di mana kedua-dua syarikat ini amat komited terhadap dasar “tiada penyahutanan, tiada tanah gambut, tiada pengeksploitasian.”

    Dalam erti kata lain, walaupun EHP mempunyai tanah simpanan yang luas, namun tidak semua kelulusan lesen telah diberi bagi tujuan membangunkan tanah yang masih belum dibangunkan. EHP juga berkemungkinan mengalami kesukaran untuk mendapatkan pelanggan jika dasar penanaman di kawasan ini tidak mengikut piawaian kemampanan (‘sustainability standards’) yang ditetapkan.

    Laporan CCR membuktikan bahawa FGV membayar terlalu banyak bagi 37% pegangan saham dalam EHP. Akhirnya, pemegang saham FGV yang terdiri daripada peneroka Felda dan orang awam akan menanggung pembayaran disebabkan oleh kesilapan yang dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarah FGV.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://chainreactionresearch.com/reports/bw-plantation/

Leave a reply.