• Cadangan pembelian pegangan 37% Eagle High Plantations oleh FGV membolehkan Rajawali Capital International menikmati keuntungan sebanyak USD330 juta

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 16 Jun 2015

    Cadangan pembelian pegangan 37% Eagle High Plantations oleh FGV membolehkan Rajawali Capital International menikmati keuntungan sebanyak USD330 juta

    Hari ini mencatatkan kejatuhan saham FGV sebanyak 21 sen dalam tempoh sehari, yang bersamaan dengan 11% iaitu beza antara nilai pembukaan pada waktu pagi sebanyak RM1.86 hinggalah RM1.65 pada penutup. Pasaran menunjukkan reaksi negatif terhadap cadangan FGV untuk pengambilalihan pegangan 37% syarikat minyak sawit Indonesia, Eagle High Plantations dengan harga USD679 juta.

    Eagle High Plantations pada asalnya dikenali sebagai BW Plantation sebelum ia diambilalih oleh Rajawali Group pada akhir 2014. [1] Rajawali Group yang diketuai oleh jutawan Indonesia bernama Peter Sondakh telah memperoleh kawalan ke atas BW Plantation dengan pembelian hak terbitan pada harga Rp400 setiap saham. Selepas pengambilalihan ini, BW Plantation telah ditukar nama kepada Eagle High Plantations (EHP) oleh Rajawali Group. Harga saham EHP tidak menunjukkan prestasi yang baik, malahan pernah jatuh mencecah Rp245 bagi setiap saham pada 5hb April 2015.

    Justeru, tindakan FGV untuk membeli pegangan sebanyak 37% daripada Rajawali Group menerusi kombinasi tunai dan saham FGV pastinya telah memeranjatkan pasaran, apatah lagi dengan nilai USD679 juta (Rp775 setiap unit). Apabila urus niaga ini diumumkan pada 12 Jun 2015, harga saham EHP di Bursa Saham Jakarta berada pada nilai Rp450 bagi setiap unit.

    Cadangan pengambilalihan oleh FGV akan memberikan Rajawali Group anggaran keuntungan USD328 juta bagi 11.664 bilion saham EHP yang dibelinya pada harga Rp400 sesaham dan akan dijual kepada FGV jika perjanjian ini diluluskan. Ini sungguh menguntungkan Rajawali yang bukan sahaja berjaya mendapat keuntungan bersih dalam 6 bulan malahan juga masih memegang kawalan terhadap EHP walaupun setelah penjualan sahamnya kepada FGV.

    Tambahan lagi, seandainya FGV tidak bersetuju dengan pengambilalihan tersebut, FGV masih akan kehilangan deposit sebanyak USD174.5 Juta (RM657.9 Juta) yang mewakili hampir 23% jumlah transaksi. Menurut laporan analisa CIMB, deposit ini adalah sangat tinggi kerana biasanya perjanjian jual beli hanya memerlukan deposit 10% sahaja.

    Cadangan pengambilalihan oleh FGV terhadap EHP ini merupakan keputusan teruk yang diambil oleh pihak pengurusan dan lembaga pengarah FGV. Tadbir urus korporat yang lemah seperti ini telah menyebabkan 1MDB dilanda masalah kewangan. Dengan ini, besar kemungkinan bahawa peneroka Felda dan juga orang awam (melalui pegangan saham KWAP, KWSP dan Tabung Haji) akan menanggung akibat daripada keputusan tersebut.

    Keuntungan berada dalam genggaman kukuh Rajawali Group, manakala rakyat marhain Malaysia pula yang terpaksa membayar harga tersebut. Sesuatu yang mencurigakan berlaku di sebalik urusan pengambilalihan oleh FGV ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thejakartapost.com/news/2014/11/29/bwpt-merge-with-rajawali-unit-after-rp-108t-rights-issue.html

Leave a reply.