• Pembelian stok PT Eagle High Plantations (EHP) daripada Kumpulan Rajawali oleh FGV terlalu mahal dan akan menyebabkan penerusan kemerosotan harga stok FGV.

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 15 Jun 2015

    Pembelian stok PT Eagle High Plantations (EHP) daripada Kumpulan Rajawali oleh FGV terlalu mahal dan akan menyebabkan penerusan kemerosotan harga stok FGV.

    Pada Jumaat lepas, diumumkan bahawa Felda Global Ventures (FGV) bercadang memperoleh pegangan 37% dalam PT Eagle High Plantations (EHP) daripada Kumpulan Rajawali dengan membayar sejumlah USD$680 juta (bersamaan RM2.25 billion) dalam bentuk tunai dan saham.[1]

    Dalam “Flash Note” yang dikeluarkan oleh CIMB pada 14 Jun 2015, pembelian tersebut dilihat sebagai ‘negatif’ kerana harga pengambilalihan iaitu pada kadar Rp775 bagi setiap unit saham adalah terlalu mahal (berbanding harga penutupan terakhir EHP iaitu Rp450 sesaham). Pengambilalihan ini bukan sahaja tidak akan memberi pegangan kawalan kepada FGV, malahan ia akan mengurangkan keuntungan bersih FGV bagi tahun kewangan 2016 sebanyak 10%. Nisbah penggearan (net gearing ratio) bagi FGV akan meningkat daripada 1.05x kepada 1.43x dan aliran tunai FGV turut akan terkena tempias. Disebabkan itu, penganalisa CIMB telah memotong harga target SOP FGV kepada RM1.69 dan menetapkan saranan ‘reduce’ (pengurangan) untuk FGV.

    Ketika kenyataan ini ditulis pada pagi ini (11 pagi waktu Malaysia), harga saham FGV telah jatuh sebanyak 16 sen, iaitu daripada RM1.86 kepada RM1.70. Penurunan harga stok FGV ini adalah sebanyak 63% berbanding dengan harga kali pertama disenaraikan iaitu RM4.55 bagi setiap unit saham. Walaupun kejatuhan ini dikaitkan dengan banjir besar di Kelantan dan juga harga minyak sawit mentah yang rendah, perbandingan dengan saham minyak sawit lain menunjukkan bahawa harga saham FGV jatuh paling banyak dalam tempoh setahun yang lepas.

    Rajah 1: Perbandingan harga saham FGV, United Plantations (UPL), Genting Plantations (GENP), Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan IJM Plantations (IJMP) untuk tempoh setahun.

    Sehingga Jumaat lepas (11 Jun 2015), harga saham FGV telah jatuh sebanyak 56.6% sepanjang setahun yang lepas berbanding kejatuhan 3.2% bagi United Plantations (UPL), 6.2% bagi IJM Plantations (IJMP), 8.7% bagi Genting Plantations dan juga 12.6% bagi Kuala Lumpur Kepong.

    Strategi FGV yang membeli ladang yang masih muda perlulah dijelaskan dengan sewajarnya dari segi perspektif kos dan penilaian. “Flash Note” oleh CIMB dengan jelasnya telah menunjukkan bahawa keputusan penilaian harga (valuation) yang dibayar oleh FGV kepada EHP adalah terlalu tinggi. Secara khususnya, ia menyatakan:

    “Harga perolehan untuk EHP iaitu Rp775 mewakili premium 72% daripada harga penutupan pasaran pada Rp450 dan 267% melebihi sasaran CIMB untuk EHP, iaitu Rp290 bagi setiap saham. Harga tersebut juga melebihi 94% daripada harga terbitan Rp400 bagi setiap saham EHP yang selesai pada Disember 2014.”

    Jawapan yang lembaga FGV dan pengurusan perlu berikan kepada para pemegang saham termasuk peneroka FELDA serta orang awam di Malaysia (melalui KWSP, KWAP dan Tabung Haji) adalah mengapa pengambilalihan ini dicadangkan dan dengan harga yang begitu tinggi. Adakah lembaga pengarah dan pengurusan akan bertanggungjawab terhadap persepsi negatif daripada pasaran yang mengakibatkan penurunan berterusan dalam harga saham FGV?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]  http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2015/06/12/FGV-to-buy-37-pc-of-PT-Eagle-High-Plantations/?style=biz

Leave a reply.