• Bank Negara Malaysia (BNM) tidak sepatutnya melibatkan diri dalam urusan pendidikan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 1 Jun 2015

    Bank Negara Malaysia (BNM) tidak sepatutnya melibatkan diri dalam urusan pendidikan

    April 2015 menandakan permulaan kerjasama antara Bank Negara Malaysia (BNM) dengan Massachusetts Institute of Technology Sloan School of Management (MIT Sloan) selama 10 tahun bagi menubuhkan Asia School of Business (ASB) di Kuala Lumpur.[1]

    Walaupun usaha Bank Negara perlu dipuji kerana mahu menjadikan ASB sebagai “sekolah perniagaan terunggul yang akan membangunkan pemimpin berwawasan dan berprinsip yang akan menyumbang kepada masa depan yang lebih baik dan meningkatkan kemajuan dunia”[2], namun urusan pendidikan bukanlah sesuatu yang patut dicampuri oleh BNM. Bahkan Bahagian II 5(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009 juga menyatakan “Matlamat utama Bank adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.” Bahagian 5(2) pula menyenaraikan fungsi-fungsi utama bank, termasuklah (i) untuk merumuskan dan mengendalikan dasar monetari di Malaysia (ii) untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia (iii) untuk mengawal selia dan menyelia institusi kewangan yang tertakluk kepada undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Bank (iv) untuk menjalankan pengawasan ke atas sistem pembayaran (v) untuk memegang dan menguruskan rizab luar negara Malaysia (vi) untuk bertindak sebagai penasihat kewangan, jurubank dan ejen kewangan Kerajaan. Tiada satu pun dalam bahagian ini yang menyatakan bahawa Bank Negara perlu terlibat dalam sektor pendidikan terutamanya apabila ia langsung tiada kaitan secara langsung dengan sektor kewangan dan perbankan negara.

    Akta Bank Negara 2009 melalui Bahagian 48(1) menyebut tentang keizinan bagi Bank Negara untuk (i) menubuhkan pertubuhan perbadanan bagi tujuan latihan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia berhubung dengan perkhidmatan perbankan dan kewangan, dan (ii) menubuhkan pertubuhan perbadanan bagi tujuan memberi kaunseling kewangan, perkhidmatan pengurusan hutang dan pendidikan mengenai pengurusan kewangan. Kedua-dua tujuan ini telah pun dicapai oleh BNM menerusi penubuhan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) bagi membangunkan kepakaran akademik dalam Kewangan Islam[3] dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)[4] yang diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran awam berkenaan pengurusan hutang.

    Malahan dalam usaha membangunkan pemimpin dan memupuk kemahiran kepimpinan, BNM juga telah menubuhkan Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus (ICLIF).[5] Dengan wujudnya pelbagi institusi dan agensi sedemikian, mengapa BNM masih perlu menubuhkan entiti lain seperti ASB yang kelihatan langung tiada kaitan langsung dengan sektor kewangan dan perbankan?

    Kita telah pun melihat skrip sama dimainkan sebelum ini. Malaysian University of Science and Technology (MUST) telah mempunyai jalinan kerjasama dengan MIT pada tahun 2001 dalam menawarkan pengajian pasca siswazah. Namun, ia telah mengalami kejatuhan enrolmen yang ketara selepas kerajaan menghentikan pembiayaan penuh biasiswa.[6] Akhirnya, perjanjian kerjasama ini terpaksa dihentikan selepas geran penubuhan sebanyak RM100 juta diberi oleh kerajaan Malaysia.

    Universiti Perdana juga telah memulakan program Ijazah Perubatan bersama Johns Hopkins School of Medicine pada tahun 2010 yang dilancarkan oleh Hillary Clinton, Setiausaha Negara AS masa itu. Kumpulan pertama pelajar ini mendapat tajaan penuh JPA sebanyak RM1 juta bagi setiap ijazah, iaitu kos yang jauh lebih tinggi daripada Ijazah Perubatan di IPTS yang menelan belanja kurang dari RM500,000 bagi setiap ijazah. Namun, jalinan kerjasama ini ditamatkan pada 2014 disebabkan timbulnya pertikaian ke atas bayaran dari Universiti Perdana kepada John Hopkins.

    Bank Negara juga sudah pasti akan menghadapi cabaran yang sama dalam menarik kumpulan pertama pelajar, dan perlu menawarkan jumlah biasiswa yang banyak bagi tujuan ini. Situasi ini besar kemungkinan akan mewujudkan suatu kitaran yang tidak mampan.

    Kos penubuhan sekolah perniagaan bukanlah murah, apatah lagi apabila terpaksa membayar gaji tinggi kepada ahli akademik luar yang berprofil dan berkelayakan tinggi bagi menjawat jawatan tenaga pengajar di fakulti ASB. Hakikat bahawa BNM mempunyai sumber kewangan yang tinggi haruslah menjadi kerisauan kerana ini bermaksud lebih banyak wang boleh dibelanjakan untuk usaha ini sepanjang kerjasama 10 tahun.

    Saya menyeru BNM untuk menghentikan kerjasama ini dengan serta merta dan bukannya melaburkan berjuta ringgit di dalam sektor yang bukan menjadi keutamaan kepada BNM.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2015/04/10/Bank-Negara-MIT-Sloan-to-set-up-business-school/?style=biz

    [2] http://www.asb.edu.my/

    [3] http://www.inceif.org/

    [4] Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) http://www.akpk.org.my/my/

    [5] http://www.iclif.org/

    [6] http://www.universityworldnews.com/article.php?story=20110603183329570

Leave a reply.