• Ucapan Parlimen 26 Mei 2015 – Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK11)

    Ucapan RMK11 Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 26hb Mei 2015

    Saya hendak menggunakan peluang ini untuk membangkitkan beberapa isu penting yang telah diabaikan oleh RMK11 yang saya harap akan dijawab oleh Menteri-Menteri berkenaan.

    • Pembekalan Tenaga / Energy Generation

    Saya amat kecewa bahawa dokumen RMK11 tidak sebut langsung strategi terperinci untuk menuju ke arah menurunkan penggunaan tenaga bahan api fosil dan menuju ke arah penggunaan tenaga boleh baharu ataupun “renewable energy”.

    Saya juga mendapati bahawa terdapat dasar-dasar yang bercanggah antara KeTTHA, Suruhanjaya Tenaga dan juga SEDA. Mengikut jawapan Parlimen yang saya dapat daripada KeTTHA pada sesi yang lalu, pembekalan sumber jana kuasa ataupun “generation fuel mix” bagi Semenanjung Malaysia adalah 62% arang batu, 29% gas, 4% hidro dan 3% tenaga boleh baharu pada tahun 2020. Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tenaga – bertajuk Peninsular Malaysia Electricity Supply Outlook 2014 – tenaga boleh baharu atau TBB dianggarkan akan menyumbang sebanyak 3.0% (ataupun 700MW) daripada jumlah kapasiti di Semenanjung Malaysia. Tetapi mengikut anggaran SEDA, 11% daripada jumlah kapasiti ataupun 2080MW akan dijanakan oleh TBB pada tahun 2020.

    Sasaran RMK10 untuk seluruh Malaysia ialah 5.5% daripada pembekalan sumber jana kuasa adalah daripada TBB untuk 2015 (985 MW). Yang tercapai sekarang hanya 243MW. Sasaran untuk RMK11 adalah 2080MW ataupun 7.8% daripada jumlah kapasiti terpasang di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Jadi saya nak tanya Menteri, apakah sasaran yang sebenarnya untuk tahun 2020? Angka SEDA, angka KETTHA, angka ST, ataupun angka RMK11?

    Pada masa yang sama, saya nak tanya Menteri sama ada rancangan untuk meningkatkan sumber jana kuasa yang dibekalkan oleh arang batu daripada 42% pada tahun 2014 kepada 62% pada tahun 2020 merupakan salah sebahagian daripada pemacu perubahan “melaksanakan pertumbuhan hijau” dalam RMK11? Bukankah Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa Malaysia akan menurunkan intensiti pelepasan dari segi KDNK menjelang tahun 2020 di sidang Copenhagen pada tahun 2009? Menurutnya, “Malaysia is adopting an indicator of a voluntary reduction of up to 40% in terms of emissions intensity of GDP by the year 2020 compared to 2005.” Akan tetapi, penggunaan arang batu untuk menjana kuasa elektrik dianggarkan akan bertambah. Loji kuasa 1000MW di Manjung yang sepatutnya habis dibina pada tahun 2017 menggunakan arang batu. Loji kuasa 2000MW di Jinmah East yang diberikan kepada 1MDB yang sepatutnya habis dibina pada tahun 2018 (1000MW pertama) dan 2019 (1000MW kedua) juga adalah loji arang batu. Saya juga hendak membangkitkan soalan tentang pengimportan arang batu – sekarang hanya satu syarikat yang diberikan lesen untuk mengimport arang batu iaitu TNB Fuel Services Sdn Bhd. Adakah kerajaan berniat untuk membuka pasaran kepada lebih daripada satu syarikat untuk mengimport arang batu supaya harga arang batu boleh dikurangkan melalui persaingan?

    Berkenaan dengan pembekalan gas, saya juga meminta pihak Kementerian untuk memberikan status terkini bagi rancangan untuk membukakan pasaran gas melalui “Third Party Access” dan impak kepada harga gas akibat daripada rancangan ini.

    Saya hendak sentuh tentang projek solar farm sebesar 50MW yang telah diberikan kepada 1MDB secara rundingan terus. Projek ini diumumkan pada 23 April 2014 tetapi selepas satu tahun, projek ini belum bermula lagi. Tanah di Kuala Ketil, Kedah, telah dikenalpasti tapi bayaran penuh masih belum dibuat. Pada masa yang sama, tarif yang mulanya 40sen/kwH telah dinaikkan kepada 50sen/kwh mengikut laporan berita The Edge. Saya ada beberapa soalan tentang projek solar farm ini. Pertama: Mengapa projek ini tidak dibukakan kepada pasaran umum sebagai satu tender terbuka untuk mendapatkan tarif yang terendah? Kedua: Adakah tarif sebanyak 50sen/kwh diberikan kepada 1MDB? Adakah ini wajar memandangkan bahawa tarif SEDA untuk solar PV 10MW ke 30MW adalah 49 sen sahaja untuk tahun 2015 dan solar farm 50MW ini pasti boleh menjana kuasa dengan harga yang lebih rendah oleh kerana mempunyai ‘economies of scale’ dan juga penurunan harga solar PV yang sedang dan akan berlaku? Soalan ketiga: Adakah 1MDB mampu memperolehi dana untuk menjalankan projek ini memandangkan bahawa Projek 3B yang pada awalnya diberikan kepada 1MDB nampaknya akan diambil alih oleh TNB? Soalan ke-empat: Bolehkah Menteri mengesahkan sama ada projek solar farm 50MW ini adalah pilot project yang mungkin akan diperbesarkan kepada projek sebanyak 500MW pada masa hadapan?

    • Penjagaan Alam Sekitar

    Apa yang dihuraikan dalam RMK11 mengenai penjagaan alam sekitar memang berbunyi baik. Tetapi pada pandangan saya, semua ini cakap kosong sahaja. Cakap tak serupa bikin.

    Saya nak rujuk Menteri kepada satu indeks yang diterbitkan pada 20 Mei 2015 iaitu Indeks Demokrasi Alam Sekitar ataupun “Environmental Democracy Index (EDI)” oleh World Resource Institute (WRI), sebuah institut kajian antarabangsa yang terkenal. Indeks ini menggunakan 75 indikator undang-undang, berdasarkan standard yang dinyatakan dalam “United Nations Environment Program (UNEP) Bali Guidelines.” Pada dasarnya, indeks ini memberi tumpuan kepada 3 hak penting dari segi alam sekitar iaitu:

    1. the right to freely access information on environmental quality and problems,
    2. the right to participate meaningfully in decision-making, and
    3. the right to seek enforcement of environmental laws or compensation for harm.

    Malangnya, Malaysia menduduki tempat ke-69 daripada 70 negara iaitu tempat yang kedua terakhir or “second to last position.” Ini adalah huraian yang diberikan terhadap skor Malaysia dalam indeks tersebut:

    Malaysia received low scores for the Transparency and Participation pillars, and a fair score for the Justice pillar. While the law on the environment provides a right to access environmental information on request, government authorities are not obligated to make environmental and public health information available to the public. Regarding the Participation pillar, the public is provided with the right to participate in environmental decision making in only a limited set of circumstances. State agencies are not required to account for public comments in environmental decision making. For the Justice pillar, the law fails to provide for the timely enforcement of criminal, civil, and administrative decisions relating to the environment, and the public is not granted broad standing to file environmental claims in court. By addressing these issues, Malaysia could ensure that environmental information is made available to the public, public comments are incorporated in environmental decision making, and the public is granted the right to file environmental claims in court to address environmental harms.

    Isu pokoknya di Malaysia ialah orang awam tidak diberi kuasa ataupun hak untuk mendapatkan maklumat yang relevan berkenaan dengan alam sekitar, dan juga tidak diberikan hak yang mencukupi untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan ataupun “decision making process.”

    Saya nak beri beberapa contoh. Mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar ataupun “Environmental Quality Act”, pengukuran bahan-bahan yang mencemarkan udara dan alam sekitar mesti diambil oleh syarikat-syarikat yang disenaraikan di bawah akta ini dan keputusan pengukuran mesti dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar. Tetapi orang awam tidak ada hak untuk mendapatkan maklumat ini. Misalnya, tahap dioksin dan gas pencemar udara seperti sulfur dioksida mesti diukur di loji insinerator skala kecil di tempat-tempat seperti Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Cameron Highlands dan Pulau Tioman. Tetapi penduduk di kawasan ini tidak diberikan maklumat ini. Mereka tidak dijemput ke loji insinerator apabila ukuran ini diambil, seperti yang diamalkan di negara lain seperti Taiwan. Di Jepun, murid sekolah dijemput melawat loji insinerator tetapi di loji insinerator di Malaysia, penduduk di kawasan berhampiran tidak dibenarkan untuk melawat loji-loji ini.

    Jadi soalan saya kepada Menteri ialah, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mendemokrasikan akses kepada maklumat dan juga kuasa dalam “decision making process” memandangkan kedudukan Malaysia yang amat teruk dalam Environmental Democracy Index? Adakah maklumat “discharge” untuk setiap kilang yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar akan diterbit secara umum?

    Berkenaan dengan insinerator-insinerator di Pulau Pangkor, Langkawi, Tioman dan Cameron Highlands, saya nak dapatkan pengesahan daripada Menteri sama ada seorang konsultant dari Denmark akan diberikan satu kontrak berjumlah RM900,000 untuk mengkaji kelemahan insinerator-insinerator tersebut dan memberi cadangan untuk menambah baik operasi insinerator-insinerator ini ataupun bercadang untuk menutup mereka semua?

    Berkenaan dengan “leachate treatment plant” di stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Kepong, yang telah tidak beroperasi untuk kian lama, adakah kerajaan telah memberikan satu kontrak berjumlah RM35 juta untuk membina satu loji rawatan yang baru?

    • Dasar Kesihatan

    Isu ketiga yang saya hendak bangkitkan ialah berkenaan dengan dasar kesihatan di Malaysia. Salah satu masalah serius yang sedang berlaku di negara kita ialah kadar penambahan hospital dan pusat kesihatan swasta yang sebenarnya bukan swasta. Kumpulan Bidang Kesihatan yang besar seperti Pantai Medical Group yang dimiliki oleh Khazanah dan KPJ yang dimiliki oleh Johor Corp dan Prince Medical Center yang dimiliki oleh Petronas adalah hospital yang diuruskan untuk keuntungan ataupun “for profit hospitals.” Harganya jauh lebih mahal berbanding dengan hospital kerajaan. Tetapi keuntungan yang didapatkan daripada rakyat Malaysia disalurkan kepada GLC-GLC yang disebutkan tadi. Misalnya, Kumpulan KPJ, yang dikuasai oleh Johor Corp, mencapai keuntungan sebelum cukai or “profit before tax” sebanyak RM218m dan pendapatan sebanyak RM2.6 billion.

    Masalah kenaikan kos perubatan bukan sesuatu dihadapi oleh golongan kaya sahaja yang mampu menampung bil di hospital swasta. Akan tetapi, orang daripada kelas pertengahan ataupun “middle class” dan juga kelas bawahan juga menghadapi masalah ini oleh kerana mereka terpaksa mendapatkan rawatan daripada hospital swasta, akibat daripada masa menunggu yang begitu lama di hospital kerajaan.

    Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk mengawal perkembangan swasta di sektor kesihatan ataupun mengawal harga yang boleh dikenakan oleh hospital-hospital tersebut supaya kos perbelanjaan kesihatan di Malaysia boleh dikawal?

    Saya ada dua soalan lagi yang berkaitan dengan sektor perubatan.

    Saya difahamkan bahawa Pharmaniaga diberikan konsesi eksklusif untuk membekalkan ubat kepada kesemua 148 hospital kerajaan dan 1400 klinik dan pejabat-pejabat daerah di seluruh negara. Konsesi ini akan berakhir pada tahun 2019. Adakah kerajaan merancang untuk membuka pasaran perubatan kepada syarikat-syarikat yang lain sebagai satu strategi untuk menurunkan kos perubatan? Bolehkah kerajaan mendedahkan kontrak konsesi kepada Pharmaniaga termasuk maklumat tentang kos ubat yang dibekalkan kepada hospital dan klinik kerajaan, dan syarat-syarat kenaikan harga yang tertakluk dalam kontrak konsesi ini?

    Berkenaan dengan kontrak eksklusif yang diberikan kepada Oratis Services Sdn Bhd untuk memproses “claim” daripada golongan pesara penjawat awam yang membeli ubat daripada farmasi, kenapa fi pengurusan sebanyak 7% diberikan kepada syarikat ini? Berapa lama perjanjian konsesi yang ditandatangani dengan Oratis? Apakah impak kepada kerajaan dari segi kos perbelanjaan perubatan pesara penjawat awam?

    Sebelum saya buat ‘landing’, Yang DiPertua, saya nak minta Menteri Kerja Raya untuk memberi maklumat tentang rancangan untuk menaiktarafkan jalan keluar masuk daripada Jalan Besar di Seri Kembangan ke Lebuhraya Besraya memandang bahawa MRT Line Kedua akan melalui kawasan Seri Kembangan menuju ke Putrajaya. Saya juga nak tanya Menteri Kesihatan sama ada satu hospital kerajaan yang baru akan dibina di kawasan Bangi memandangkan penambahan penduduk yang begitu pesat.

    Sekian sahaja, terima kasih.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.