• RMK-11: Jauh dari realiti, tidak telus dan apatah lagi untuk menjadi titik perubahan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 21 Mei 2015

    RMK-11: Jauh dari realiti, tidak telus dan apatah lagi untuk menjadi titik perubahan

    RMK-11 yang dibentangkan baru-baru ini sungguh mengecewakan. Asalnya, saya mengharapkan ia menjadi dokumen yang mampu memacu Malaysia menuju status negara maju dan seterusnya. Apa yang dibentangkan adalah bercanggahan dengan realiti politik dan ekonomi semasa, tidak telus apatah lagi untuk menjadi titik perubahan.

    Salah satu cabaran utama ekonomi Malaysia pada 2015 dan 2016 adalah kesan kepada belanjawan awam berikutan kejatuhan harga minyak dan gas. Pada penghujung tahun 2014, kejatuhan harga pasaran minyak yang tidak dijangka dan mendadak (di bawah aras 40USD bagi setiap tong) menyebabkan PM terpaksa mengumumkan semakan semula belanjawan pada awal tahun ini. Dengan jangkaan harga minyak pasaran akan berlegar sekitar di bawah 100USD setiap tong dan kejatuhan harga gas akibat daripada peningkatan pengeluaran gas syal di AS, keuntungan daripada sumber minyak yang dijana oleh kerajaan seperti cukai petroleum, cukai pendapatan dan dividen khas daripada Petronas turut dijangka menerima tempias. Tanpa semakan semula perbelanjaan kerajaan atau peningkatan kadar GST, saya tidak nampak bagaimana negara mampu menghapuskan defisit belanjawan dan mengurangkan nisbah hutang kerajaan terhadap GDP kepada kurang daripada 45% menjelang tahun 2020.

    Sekiranya perbelanjaan kerajaan tidak diselaraskan untuk menghadapi realiti ekonomi baru rejim harga minyak dan gas yang rendah, apa lagi yang boleh diharap daripada RM ini?

    Dalam kenyataan berkenaan harapan saya terhadap RMK-11 yang disiarkan semalam,[1] saya telah menekankan kepentingan kejujuran dalam menerangkan belanjawan awam, perbelanjaan yang tidak disenaraikan dalam belanjawan, serta belanjawan yang diunjurkan untuk projek-projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP). Saya juga meminta supaya senarai penuh projek pembangunan dan infrastruktur baharu dimuat naik agar anggaran kos setiap projek dapat diteliti oleh orang awam. Dukacitanya, senarai ini langsung tidak dikemukakan. Hasilnya, kita masih tidak tahu bilangan hospital, sekolah, universiti, dan institusi teknikal yang bakal dibina di bawah RMK-11.

    Ketidaktelusan ini amat mengecewakan memandangkan Kementerian Kewangan mampu menghasilkan laporan tahunan anggaran perbelanjaan bagi setiap Kementerian untuk setiap sesi bajet, namun Unit Perancang Ekonomi (EPU) gagal untuk berbuat demikian bagi RMK-11. Selain itu, saya telah menerima jawapan balas bertulis ketika sesi Parlimen yang lepas berkenaan projek baru dan peruntukan belanjawan negeri yang khususnya akan dijalankan di bawah RMK-11, misalnya projek menaik taraf jalan. Hakikatnya, masih banyak yang perlu dilakukan bagi mewujudkan perbelanjaan kerajaan yang lebih telus.

    Akhirnya, teras-teras RMK-11 yang kononnya diwar-warkan sebagai titik perubahan sebenarnya agak kurang memberangsangkan. Sebagai contoh, ‘pelan perancangan bandar berdaya saing’ gagal menggariskan cadangan khusus untuk pengagihan kuasa dan peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk mencapai matlamat ini. PelanMeningkatkan Taraf Isi Rumah B40 ke Arah Masyarakat Kelas Menengah’ tidak menyatakan sebarang langkah substantive berkenaan pengurangan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing yang masih memberi impak terhadap gaji dan peluang pekerjaan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

    Satu-satunya perkara positif yang konsisten dengan senarai harapan saya adalah berkenaan komitmen untuk menerbitkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) supaya definisi kemiskinan akan lebih komprehensif. Namun, ini merupakan ‘saguhati’ yang kurang memuaskan memandangkan semua perkara lain dalam senarai saya tidak dipertimbangkan.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://ongkianming.com/2015/05/20/press-statement-wish-list-for-the-11th-malaysian-plan/

Leave a reply.