• Senarai harapan saya untuk RMK-11

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 Mei 2015

    Senarai harapan saya untuk RMK-11

    Perdana Menteri Najib Tun Razak akan membentangkan RMK-11 (bagi tahun 2016 – 2020) dalam sesi Parlimen esok. Rancangan Malaysia ini akan membawa kita kepada status negara maju menjelang tahun 2020. Oleh itu, ramai yang menaruh harapan bahawa RMK-11 bukan sahaja akan menggerak Malaysia ke arah status negara maju, malahan akan menentukan hala tuju negara selepas itu.

    Berikut merupakan senarai harapan saya terhadap RMK-11. Malangnya, semasa penyediaan pelan ini, tiada satu pun parti mahupun Ahli Parlimen dari pihak pembangkang telah diajak berunding meskipun kami mewakili 52% pengundi Malaysia.

    1) Harapan Pertama: Definisi baru bagi kemiskinan

    Idris Jala, iaitu CEO Pemandu, telah menyatakan bahawa kemiskinan di Malaysia telah hampir dihapuskan kerana kini hanya kurang daripada 1% rakyat yang hidup di bawah Paras Garis Kemiskinan , iaitu purata pendapatan bulanan kurang daripada RM830 (Semenanjung Malaysia), RM1090 (Sabah) dan RM920 (Sarawak).

    Walaupun saya khuatir terhadap ketepatan data yang dikumpul, saya ingin melihat Malaysia menggunapakai definisi baru bagi kemiskinan. Memandangkan Idris Jala suka menggunakan badan antarabangsa seperti OECD dan Bank Dunia sebagai rujukan, suka sekali untuk saya merujuk beliau kepada definisi kemiskinan oleh OECD, iaitu “garis kemiskinan diambil kira dari separuh daripada pendapatan isi rumah penengah.” Negara membangun lebih mementingkan aspek garis kemiskinan tegar manakala negara maju lebih mementingkan garis kemiskinan relatif. Memandangkan Malaysia kini menuju status negara maju, adalah lebih masuk akal jika kita menggunapakai pengukuran garis kemiskinan relatif.

    Menurut kajian Pendapatan Isi Rumah 2012, penengah pendapatan bulanan isi rumah adalah RM3626. Menurut garis kemiskinan relatif OECD, ini bermakna Garis Kemiskinan Relatif bagi rakyat Malaysia adalah RM1813 sebulan. Penengah pendapatan bulanan isi keluarga bagi Kumpulan Bawah 40% adalah RM1852. Dengan menggunakan takrifan kemiskinan relatif ini, kadar kemiskinan Malaysia adalah sebanyak 20%, iaitu separuh daripada Kumpulan Bawah 40%.

    Pada masa yang sama, saya juga mencadangkan bahawa Unit Perancang Ekonomi mewujudkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) yang diperakui OECD dengan mengambil kira keadaan perumahan, pemilikan asset dan ketidakupayaan dalam memenuhi keperluan asas, dan bukannya mengira faktor pendapatan semata-mata. Laporan Malaysia Human Development Report 2013 juga mencadangkan agar aspek lain digunapakai ketika Unit Perancang Ekonomi mengukur tahap kemiskinan.

    2) Harapan Kedua: Rasionalisasi subsidi yang telus dan wajar

    Kerajaan telah menghapuskan subsidi petrol dan juga subsidi elektrik menerusi program rasionalisasi subsidi. Namun, kerajaan masih belum mengkaji semula subsidi lain yang diagih secara kurang telus dan juga mahal.

    Sebagai contoh, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani akan membelanjakan RM2.2 juta pada tahun 2015 untuk pelbagai jenis subsidi dalam industri padi. Hampir setengah bilion ringgit dihabiskan untuk subsidi pengeluaran beras ST15 bagi golongan pendapatan rendah. Namun, subsidi beras ini kerap ‘dirampas’ oleh pemborong untuk dipakej kepada jenis yang lebih mahal dan dijual semula di pasaran. Pihak ‘bertuah’ yang mendapat kuota ST15 dapat menjana keuntungan berlipat ganda, iaitu dari subsidi yang diterima daripada kerajaan dan juga keuntungan daripada hasil jualan beras yang lebih mahal. Walaupun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara telah mencadangkan supaya subsidi ST15 dihapuskan, namun cadangan ini ditolak oleh Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani yang enggan mengkaji semula kelemahan program ini yang telah dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

    Jika kerajaan serius terhadap rasionalisasi subsidi, maka kerajaan harus mengatasi perkara subsidi yang mahal dan tidak telus, contohnya subsidi padi dan beras. Adalah tidak patut untuk kerajaan meminta pengguna menerima kenyataan harga pasaran petrol yang semakin meningkat, namun pada masa yang sama meneruskan pemberian subsidi yang menguntungkan orang tengah.

    3) Harapan Ketiga: Perbelanjaan kerajaan yang lebih telus dan bukan ‘tersembunyi’

    Antara aspek terpenting dalam mana-mana Rancangan Malaysia (RM) adalah penggarisan peruntukan belanjawan untuk infrastruktur utama dan projek pembangunan dalam tempoh masa 5 tahun RM. Peruntukan untuk hospital, sekolah, bangunan kerajaan, jalan, jambatan baru dan penaiktarafan infrastruktur lain akan termasuk dalam RMK-11. Sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menjadikan perbelanjaan lebih telus, senarai projek pembangunan dan infrastruktur di bawah RMK-11 harus dihebahkan kepada umum.

    Di samping itu, adalah mustahak untuk kerajaan berlaku jujur dan telus berkenaan kos sebenar projek dan sumber pembiayaan projek tersebut. Sebagai contoh, terdapat beberapa projek berskala besar yang sedang dijalankan tetapi tidak dinyatakan dalam sebarang akaun rasmi perbelanjaan kerajaan. Projek perluasan aliran LRT yang menelan belanja sebanyak RM11 hingga 12 bilion dan juga projek MRT dengan anggaran RM36 bilion tidak dinyatakan dalam belanjawan negara, sebaliknya ia dibiayai oleh agensi khas atau syarikat milik kerajaan. Akhirnya, bon yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat ini ditanggung oleh kerajaan kerana projek mega sebegini tidak dapat menjana keuntungan dengan sendiri.

    Projek mega lain termasuklah perluasan aliran LRT ke-3, jajaran MRT ke-2, kemungkinan jajaran MRT ke-3, kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura dan kemungkinan 2 loji nuklear berskala besar.

    Kerajaan telah pun membelanjakan hampir RM30 bilion menerusi Pembinaan PFI Sdn Bhd, iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Namun pebelanjaan ini tidak disenaraikan dalam sebarang belanjawan yang lepas, apatah lagi tersenarai sebagai liabiliti luar jangka. Ada kemungkinan tinggi bahawa wang ini dibelanjakan dengan cara ini bagi mengelak dari nisbah hutang kepada GDP meningkat melebihi 55% dan seterusnya memberi kesan kepada pasaran.

    Demi ketelusan, kerajaan perlu mendedahkan nama pihak yang akan membiayai kos projek, bagaimana pembiayaan akan dilakukan dan sebarang kemungkinan risiko yang perlu ditanggung oleh kerajaan pada masa hadapan.

    4) Harapan Ke-4: Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang lebih telus dan tidak berat sebelah kepada sektor swasta

    Rekod kerajaan dalam mewujudkan Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang telus, adil dan menguntungkan semua pihak adalah tidak begitu memberangsangkan. Kebanyakan PPP dilihat lebih menguntungkan sektor swasta, terutamanya dalam kontrak projek Pengeluar Tenaga Bebas (Generasi Pertama) dan konsesi tol.

    Adalah tidak keterlaluan jika kontrak PPP diumumkan kepada orang awam sebelum ia ditandatangani, supaya penelitian awam dapat dilakukan oleh pihak yang berminat. Jika harga bidaan untuk stesen janakuasa baharu boleh disiarkan kepada awam oleh Suruhanjaya Tenaga, mengapa tidak bagi PPP yang dihasilkan dan dirundingkan oleh UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggunjawab dalam menguruskan PPP)?

    Contoh kontrak yang seharusnya didedahkan termasuk Lebuhraya Pantai Barat (LPB), sebilangan lebuhraya yang telah diluluskan oleh PPP di sekitar Lembah Kelang, kontrak pembinaan insinerator mega di Kepong, dan juga kemungkinan kontrak pembinaan 2 buah loji tenaga nuklear.

    5) Harapan Ke-5: Pemberian kuasa yang lebih kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan

    Salah satu masalah yang sering dihadapi bagi peruntukan belanjawan pembangunan adalah bahawa ada kalanya, sebahagian besar peruntukan tidak dibelanjakan. Walaupun terdapat beberapa sebab yang dapat diterima, seperti kegagalan untuk mencari kontraktor yang sesuai, alasan lain yang kurang dapat diterima termasuk kelewatan yang tidak perlu dan kelemahan Kerajaan Persekutuan.

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan mempunyai kuasa terhad dalam meningkatkan cukai untuk boleh digunakan bagi tujuan pembangunan setempat.

    Jika RMK-11 termasuk rancangan untuk mengagihkan lebih kuasa dan peruntukan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan, termasuk kuasa untuk menjana keuntungan lebih melalui pungutan cukai, ini sudah pasti akan membawa perubahan besar kepada negara. Ia akan memberi ruang terutamanya kepada Kerajaan Tempatan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk menjalankan kerja-kerja pembangunan setempat.

    Secara idealnya, pengagihan kuasa ini akan dituruti oleh Pilihan Raya Setempat dalam meningkatkan akauntabiliti Kerajaan Tempatan kepada pembayar cukai.

    6) Harapan Ke-6: Menjelaskan keputusan sukar yang perlu dibuat

    Harapan saya yang keenam dan juga yang terakhir mungkin merupakan permintaan yang paling keras bagi kerajaan. Dalam usaha kita mencapai status negara maju, pelbagai keputusan sukar perlu dibuat dalam merubah dasar awam. Kita menginginkan alam sekitar yang lebih hijau dan lestari, oleh itu, kita perlu membayar lebih untuk harga tenaga elektrik boleh diperbaharui. Kita juga mahukan penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti, mudah akses dan berpatutan harga, oleh itu, kita juga perlu membayar lebih untuk peralatan yang lebih bagus dan juga untuk tenaga doktor pakar. Kita juga mengimpikan universiti tempatan yang berstatus dunia, namun kita perlu mempunyai dana yang lebih bagi tujan penyelidikan dan bayaran setimpal bagi tenaga akademik yang berkualiti.

    Bukankah lebih bagus jika kita mempunyai sebuah kerajaan yang jujur, yang mampu memberitahu rakyat tentang pilihan sukar yang perlu dibuat, keputusan yang akan diambil oleh kerajaan serta asas keputusan tersebut?

    Adakah keterlaluan untuk meminta kerajaan menghasilkan RMK-11 yang lebih jujur dan telus bagi memacu hala tuju negara untuk masa 5 tahun yang akan datang?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Comments are closed.