• Sejauh mana keperwakilan dalam Parlimen Belia Malaysia?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 15 Mei 2015

    Sejauh mana keperwakilan dalam Parlimen Belia Malaysia?

    Baru-baru ini, tirai telah dilabuhkan bagi Persidangan Parlimen Belia yang pertama kali diadakan pada tahun 2015. Penubuhan Parlimen Belia ini merupakan satu perkembangan positif di negara ini terutamanya dari segi menggalakkan perdebatan antara generasi muda berkenaan isu-isu penting dan cabaran yang dihadapi oleh negara. Sebagai contoh, wakil-wakil belia pada sesi ini telah diberi peluang untuk membincangkan kesan positif dan negatif berkenaan kemungkinan penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

    Namun, komposisi Parlimen Belia menunjukkan kelemahan dari segi perwakilan itu sendiri. Saya diberikan statistik berikut dalam jawapan parlimen yang diterima pada 10 Mac 2015:

    Jadual 1: Komposisi kaum dalam Parlimen Belia tahun 2015-2016

    Melayu Cina India BumiputeraSarawak Bumiputera  Sabah Orang Asli Lain – lain Jumlah
    101 6 7 5 12 1 1 133
    75.9% 4.5% 5.3% 3.8% 9.0% 0.8% 0.8% 100.0%

    Sekali imbas sudah tentu dapat melihat kekurangan perwakilan daripada sesetengah kumpulan. Merujuk kepada anggaran awal bilangan belia dalam setiap negeri, di mana setiap seorang wakil akan mewakili 100,000 orang, Sarawak sepatutnya mempunyai 10 orang wakil. Namun dalam Parlimen Belia, hanya terdapat 5 posisi yang diperuntukkan kepada Bumiputera Sarawak.[1] Menurut bancian 2010, belia Cina merupakan 23.5% daripada kumpulan umur 15-40 tahun, namun hanya 4.5% daripada Parlimen Belia. Pemuda India yang merupakan 7.6% daripada kumpulan umur 15-40 tahun pula hanya 5.3% dalam Parlimen Belia.

    Kekurangan perwakilan daripada kumpulan minoriti dalam Parlimen Belia mungkin akan lebih ketara tanpa sesetengah wakil yang dilantik secara langsung. Menurut anggaran asal, Parlimen Belia sepatutnya mempunyai 119 ahli. Seramai 14 ahli tambahan dilantik oleh Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab bagi inisiatif ini.

    Di samping itu, hanya terdapat sedikit maklumat berkenaan identiti Ahli Parlimen Belia memandangkan laman web mereka tidak menunjukkan keputusan pengundian pilihan raya parlimen belia mahupun senarai nama dan latar belakang mereka.[2] Pada zaman ini yang mementingkan ketelusan, mengapa kelihatan sukar bagi sebuah entiti yang mewakili golongan belia yang celik teknologi untuk mempamerkan maklumat tentang identiti wakil dengan profil Twitter, Facebook serta sedikit latar belakang mereka?

    Selain itu, hanya sedikit maklumat berkenaan aktivti Parlimen Belia yang disebarkan kepda umum. Malahan Twitter rasmi bagi Parlimen Belia, iaitu @Myparlimenbelia, hanya mempunyai kurang daripada 6,000 pengikut.[3]

    Hanya satu aspek Parlimen Belia menggambarkan LEBIH perwakilan berbanding Parimen Malaysia iaitu peratusan perwakilan wanita. 23 daripada 133 wakil merupakan wanita (17%) yang lebih tinggi peratusannya berbanding Dewan Rakyat Malaysia (10%).

    Parlimen Belia merupakan sebuah idea dan permulaan yang baik dalam membenarkan wacana yang lebih demokratik dalam kalangan golongan muda. Namun ia tidak haruslah berubah menjadi sebuah ‘kelab orang sendiri’ yang tidak mencerminkan perwakilan golongan belia di Malaysia.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] It is not stated how many other youth representatives from the other races were from Sarawak

    [2] http://www.parlimenbelia.gov.my/index.php/2014-03-24-17-31-47/keputusan

    [3] https://twitter.com/myparlimenbelia

Leave a reply.