• Negara-negara Asia menduduki kedudukan lima (5) teratas subjek Sains dan Matematik dalam ranking Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), namun Malaysia berada di tangga ke 52 – Adakah kita masih bertaraf dunia?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 14 Mei 2015

    Negara-negara Asia menduduki kedudukan lima (5) teratas subjek Sains dan Matematik dalam ranking Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), namun Malaysia berada di tangga ke 52 – Adakah kita masih bertaraf dunia?

    Dalam laporan ranking Sains dan Matematik OECD yang dikeluarkan baru-baru ini iaitu kajian paling menyeluruh sehingga kini, kedudukan 5 teratas dimonopoli oleh negara Asia iaitu Singapura (tempat pertama), Hong Kong (ke-2), Korea Selatan (ke-3), dan Jepun dan Taiwan berkongsi tempat keempat (ke-4).[1]

    Akan tetapi, Malaysia hanya menduduki tempat ke-52 daripada 76 negara. Di Asia Tenggara, Malaysia bukan sahaja berada di belakang Singapura, malahan juga ketinggalan berbanding Vietnam (ke-12) dan Thailand (ke-47). Malaysia juga berada di kedudukan bawah Ukraine (ke-38), Turki (ke-41), UAE (ke-45) dan Kazakhstan (ke-49). (Rujuk Lampiran 1 bagi senarai penuh)

    Butiran penuh kajian ini hanya akan dikeluarkan pada Forum Pendidikan Dunia 2015 minggu hadapan di Seoul, Korea di mana PBB yang diwakili oleh UNESCO akan membincangkan dan memutuskan agenda pendidikan pasca-2015 untuk menggantikan sasaran dan objektif yang ditetapkan oleh Matlamat Pembangunan Millenium (MDGs).

    Maklumat awal ini sepatutnya diterima sebagai mesej serius oleh Menteri Pendidikan bahawa kita jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan ‘bertaraf dunia’ sama ada di peringkat pendidikan rendah, menengah mahupun pengajian tinggi. Hakikat bahawa Menteri masih berkeras menyatakan kita mempunyai pendidikan ‘bertaraf dunia’, apabila ditunjukkan dengan bukti kukuh sebegini, menunjukkan yang kita masih belum mengenalpasti sepenuhnya cabaran pendidikan yang dihadapi sendiri.

    Pengajaran yang diperoleh oleh Sweden sepatutnya diambil iktibar oleh Menteri. Sweden pernah mempunyai salah satu sistem pendidikan yang terbaik di kalangan negara OECD, namun mengalami penurunan drastik dalam skor PISA dan TIMSS bermula sejak tahun 2000. Penurunan ini mendorong kerajaan Sweden untuk meminta OECD mengkaji semula sistem pendidikannya pada tahun 2014.[2] Dalam ranking terbaru OECD, Sweden menduduki tangga ke-35, antara yang terendah di kalangan negara OECD.

    Bagi kes Malaysia, jika pembuat polisi tidak mengakui kelemahan dalam sistem pendidikan negara pada masa kini, kita mungkin akan terus merosot di belakang jiran Asia yang lain dan terus jauh ketinggalan dari segi daya saing ekonomi.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Ranking OECD 2015 bagi subjek Sains dan Matematik

    [1] http://www.bbc.com/news/business-32608772

    [2] http://www.oecd.org/sweden/sweden-should-urgently-reform-its-school-system-to-improve-quality-and-equity.htm

Leave a reply.