• Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof patut memberi perhatian kepada syor-syor Jawatankuasa Pilihan Raya Khas Parlimen Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (JPKP) dan bukan kepada cadangan Ridhuan Tee Abdullah

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 5 Mei 2015

    Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof patut memberi perhatian kepada syor-syor Jawatankuasa Pilihan Raya Khas Parlimen Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (JPKP) dan bukan kepada cadangan Ridhuan Tee Abdullah

    Media telah melaporkan bahawa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sedang mengkaji cadangan Ridhuan Tee bahawa calon-calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya mesti mempunyai sekurang-kurangnya kredit dalam peperiksaan SPM Bahasa Malaysia (BM). Saya menyarankan SPR untuk memberi tumpuan kepada kajian yang SPR berjanji akan dijalankan berikutan syor-syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (JPKP).

    Berikutan penerbitan hasil JPKP, Pengerusi SPR telah memberikan jawapan beliau pada 19 April, 2012. Antara janji-janji yang dibuat oleh Pengerusi SPR ialah bahawa SPR akan mengkaji dengan “lebih mendalam dan terperinci dari semua sudut Perlembagaan dan undang-undang, peraturan pilihan raya serta kemampuan teknikal dan pengurusan SPR” syor-syor yang tidak dapat dilaksanakan pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

    Syor-syor yang memerlukan kajian yang lebih terperinci termasuk (i) penyediaan garis panduan dan prosedur untuk kerajaan sementara (ii) kemungkinan pendaftaran automatik untuk pengundi yang layak (iii) syor untuk memisahkan fungsi utama SPR iaitu pendaftaran pengundi, menjalankan pilihan raya dan persempadanan semula kawasan pilihan raya (iv) cadangan bahawa sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kerusi Parlimen adalah dari Sabah dan Sarawak dan (v) kemungkinan menambah baik ataupun menukar sistem pilihan raya First-Past-the-Post (FPTP) yang sedia kepada sistem campuran FPTP dan Perwakilan Berkadaran (Proportionate Representation) ataupun sistem PR sahaja.

    Lebih daripada 3 tahun selepas jawapan Pengerusi SPR, tidak kelihatan mana-mana kajian diterbitkan ataupun dibincangkan secara terbuka oleh SPR.

    SPR sepatutnya memberi tumpuan kepada penunaian janji-janji yang dibuat lebih daripada 3 tahun yang lalu, iaitu untuk menerbitkan kajian-kajian yang telah dijalankan mengikut syor-syor khusus yang dibuat oleh JPKP seperti mana yang dinyatakan di atas dan bukan untuk memberi tumpuan kepada cadangan yang dikemukakan oleh Ridhuan Tee.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Rujukan: Kenyataan Media Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia 19 April 2012

Leave a reply.