• Liang Teck Meng, Ahli Parlimen Gerakan, sepatutnya berasa malu kerana bermati-matian mempertahankan kelulusan pindaan Akta Hasutan yang tidak sepatutnya dipertahankan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 19 April 2015

    Liang Teck Meng, Ahli Parlimen Gerakan, sepatutnya berasa malu kerana bermati-matian mempertahankan kelulusan pindaan Akta Hasutan yang tidak sepatutnya dipertahankan

    Ahli Parlimen Simpang Renggam dari GERAKAN, Liang Teck Meng, telah mempertahankan pindaan Akta Hasutan dengan berkata: “Jika BN mampu menunjukkan kebaikan pindaan Akta Hasutan kepada rakyat, maka mereka (DAP) boleh ditumbangkan pada pilihan raya umum akan datang.”[1] Adalah sangat menyedihkan apabila parti yang digelar “hati nurani BN” ini telah jatuh dalam percubaan jijik untuk mempertahankan pindaan Akta Hasutan ini.

    Liang Teck Meng sama ada buta atau pekak atau kedua-duanya jika beliau berfikir bahawa pindaan Akta Hasutan ini dicadangkan dengan tekad yang baik. Adakah tekad baik yang sama menyebabkan kerajaan mendakwa kartunis Zunar dengan 9 pertuduhan di bawah Akta Hasutan kerana kartun beliau mengkritik keputusan kehakiman dalam kes sabitan liwat Anwar Ibrahim? Adakah tekad baik yang sama turut membawa kepada penahanan dan siasatan polis terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah yang mengkritik badan kehakiman semasa berucap di sidang Parlimen? Adakah tekad baik yang sama juga membawa kepada penahanan dan caj 4 orang wartawan Malaysian Insider dan penerbit Kumpulan Media The Edge di bawah Akta Hasutan?

    Liang Teck Meng seolah-olah beranggapan bahawa pengundi Malaysia adalah bodoh apabila beliau mengatakan “Sebaliknya, kerajaan sebenarnya memberikan kebebasan dan perlindungan kepada rakyat melalui usaha perundangan… GERAKAN menganggap terdapat potensi ancaman wujudnya ketegangan agama di media sosial dan bersetuju bahawa kawalan dan pemantauan perlu diperkenalkan bagi mengawasi perkara sebegini.” Adakah beliau langsung tidak sedar akan amalan pilih kasih pihak berkuasa di Malaysia? Adakah beliau tidak sedar tiada tindakan diambil terhadap Ibrahim Ali walaupun beliau mengugut untuk membakar secara terbuka salinan kitab Bible? Adakah beliau tidak membaca bagaimana Menteri Pertanian, Ismail Sabri, diberi layanan VIP apabila dibenarkan memberi kenyataan kepada polis melalui telefon atas status Facebook yang meminta pengguna Melayu memboikot peniagaan kaum Cina? Bagaimana pula dengan bekas Timbalan Menteri, Mashitah Ibrahim yang juga diberikan layanan VIP selepas beliau membuat tuduhan tidak berasas kononnya orang Cina membakar Al-Quran di Kedah?

    Jika Liang Teck Meng menganggap penghapusan fasal untuk menafi jaminan dan tidak lagi menyabit salah kritikan terhadap kerajaan dan badan kehakiman merupakan “niat baik” kerajaan, saya ingin menunjukkan kepada beliau kenyataan bersama yang dibuat oleh Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah pada 17 April.[2] Selain mengkritik pindaan tertentu Akta Hasutan, kenyataan bersama itu turut menyatakan bahawa “Akta Hasutan 1948 adalah pada asasnya pincang, dan pindaan tersebut akan mendedahkan kelemahannya dan memburukkannya lagi. Ia adalah undang-undang yang menjejaskan perpaduan dan keharmonian tulen, dan memberi kesan yang bertentangan terhadap keamanan yang berkekalan, perpaduan yang kukuh dan sikap saling menghormati yang sebenar di Malaysia. Akta Hasutan 1948 tidak punya tempat di negara kita yang bercita-cita untuk menjadi sebuah masyarakat demokrasi yang moden, moderat dan progresif.”

    Dengan mempertahankan sesuatu yang tidak sepatutnya dipertahankan, Liang Teck Meng telah menunjukkan bahawa beliau dan parti GERAKAN sudah hilang kompas moral mereka. GERAKAN ternyata sangat naif untuk berfikir bahawa pindaan Akta Hasutan tidak akan disalahguna, dengan rekod pihak berkuasa pada tahun lepas. Pengundi tentunya akan mengingati akta ini pada pilihan raya akan datang.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.malaysiakini.com/news/295687

    [2] http://www.malaysianbar.org.my/press_statements/joint_press_release_%7C_amendments_to_the_sedition_act_1948_are_draconian_militate_against_the_freedom_of_speech_and_expression_and_interfere_with_the_independence_of_the_judiciary_.html

Leave a reply.