• GERAKAN sebagai ‘hati nurani’ Barisan Nasional (BN)? Mengarut!

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming pada 7 April 2015

    GERAKAN sebagai ‘hati nurani’ Barisan Nasional (BN)? Mengarut!

    Undang-undang Anti Keganasan telah diluluskan di Parlimen pada jam 2.30 pagi hari ini walaupun para Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah sedaya upaya mencuba supaya rang tersebut dirujuk pada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diperhalusi. Walaupun sudah dijangka bahawa Menteri Dalam Negeri UMNO Datuk Zahid Hamidi mahukan rang undang-undang ini ‘dipaksa lulus’ (bulldoze) di Parlimen, namun ia sangat mengecewakan untuk melihat wakil-wakil parti GERAKAN, iaitu Presidennya Dato’ Mah Siew Keong merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng langsung tidak bersuara untuk memprotes rang undang-undang Anti Keganasan (POTA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

    GERAKAN sering digelar sebagai ‘hati nurani BN’ dan telah menyuarakan bantahan mereka terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pada Oktober 2013, GERAKAN dalam risalah bertajuk “GERAKAN Speak Up” telah mengeluarkan kenyataan berikut:

    GERAKAN telah berada di barisan hadapan dalam menentang penahanan pencegahan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat (EO) dan juga undang-undang zalim yang lain. Baru-baru ini, kami juga telah menyuarakan kebimbangan kami terhadap pindaan Undang-undang Pencegahan Jenayah. Biro Pusat Undang-undang dan Hak Asasi Manusia telah konsisten dalam memperjuangkan undang-undang yang sesuai dengan norma hak asasi antarabangsa dan juga obligasi Malaysia terhadap hak asasi manusia. Kami juga telah mengkritik tindakan kasar pihak polis dan telah menyokong secara konsisten penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).[1]

    Ketika saya membahaskan pindaan kepada Seksyen 13 hingga 28 Rang Undang-Undang POTA yang dicadangkan oleh Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Sepang, saya telah menjemput wakil GERAKAN, Liang Teck Meng yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam untuk memberi peluang kepada beliau mempertahankan kedudukan parti beliau berkenaan rang undang-undang POTA. Jawapan beliau sangat mengecewakan, iaitu “Malas nak jawab.”

    Adalah sangat mengecewakan apabila ‘parti hati nurani BN’ langsung tidak mengambil peduli untuk mempertahankan pendirian berkaitan rang undang-undang POTA yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

    Pada masa yang sama, MCA yang menyambut baik pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga pengumuman awal pemansuhan Akta Hasutan[2] juga hanya mendiamkan diri ketika perbahasan tentang pindaan rang undang-undang POTA.

    Dengan pembela nilai-nilai liberal dan demokratik yang ada dalam BN seperti Gerakan dan MCA, perlindungan hak asasi manusia di Malaysia sedang menghadapi masa gelap.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] https://www.google.com.my/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=2&cad=rja&uact=8&ved=0CCEQFjAB&url=http%3A%2F%2Fwww.gerakan.org.my%2Fndc%2Fmaterials%2Fitem%2Fdownload%2F22_35d58734fec5e7e0c6759ba889112543&ei=9C0jVebcCMbbuQSWrYCYAQ&usg=AFQjCNGrEu5FmDGnfQJZWkhS5tmqmNxtQg&sig2=By-GKuYNeZyy-rbNlsJiaw&bvm=bv.89947451,d.c2E

    [2] http://www.mca.org.my/en/press-statement-by-mca-deputy-president-dato%E2%80%99-sri-liow-tiong-lai-on-the-abolishment-of-the-sedition-act/

Leave a reply.