• Mengapa tepung bersubsidi 1 Malaysia dijual di Singapura?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Segambut pada 2 April 2015

    Mengapa tepung bersubsidi 1 Malaysia dijual di Singapura?

    Di Malaysia, tepung merupakan makanan ruji kedua selepas beras. Tepung merupakan makanan keperluan asas dan disebabkan itu, ketersediaannya pada harga yang berpatutan adalah merupakan tanggungajawab kerajaan. Program subsidi tepung mestilah diuruskan dengan baik bagi memastikan rakyat Malaysia, terutamanya golongan miskin, dapat memenuhi keperluan makanan asas mereka. Perkara ini adalah penting terutamanya dalam tempoh awal perlaksanaan GST yang sangat mencabar kerana hampir semua barangan kini kian mahal.

    Pada tahun 2014, anggaran RM185 juta telah dibelanjakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mensubsidikan tepung. Anggaran RM150 juta akan dibelanjakan pula pada tahun 2015. Untuk setiap bungkusan tepung 1kg yang dijual pada harga RM1.35, kerajaan telah membayar 0.55 sen sebagai subsidi (Lihat Lampiran 1 di bawah).

    Kami telah menerima gambar bukti bahawa tepung jenama “Blue Key” yang berlogo 1 Malaysia telah dibeli di Singapura dengan harga SGD2.20 dari rak kedai runcit pada Mac 2015. Nilainya lebih kurang RM5.94 iaitu lebih daripada 4 kali ganda harga asal yang dijual di Malaysia. Selain itu, harga dan subsidi paket tepung (yang ditulis dalam Ringgit Malaysia) yang dijual di Singapura juga telah ‘dipadam.’

    Kami telah membaca banyak laporan berkenaan penyeludupan berleluasa diesel, petrol dan juga barangan bersubsidi yang lain di sempadan Malaysia-Thailand. Fenomena ini seolah-olah berlaku di sempadan Malaysia-Singapura juga.

    Kami menggesa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang diamanahkan RM150 juta setiap tahun bagi menguruskan pengsubsidian tepung untuk menyiasat perkara ini dengan segera. Malahan, beliau perlu menerangkan sama ada terdapat kelemahan dalam pengagihan subsidi kepada pengilang tepung dan / atau pemborong yang membolehkan mereka menjual tepung bersubsidi ini ke luar negara. Apa yang paling penting adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia iaitu pihak berkuasa yang mengutip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) harus menerangkan mengapa makanan bersubsidi ini dapat melepasi sempadan negara dengan mudahnya.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Tepung bersubsidi 1Malaysia yang dijual pada harga RM1.35 di Malaysia (subsidi RM0.55)

    Lampiran 2: Tepung bersubsidi 1Malaysia dijual di Singapura dengan harga SGD2.20

    (Harga dalam RM dan jumlah subsidi telah dipadam)

Leave a reply.