• Universiti Bertaraf Antarabangsa Tanpa Air?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 1hb April, 2015

    Universiti Bertaraf Antarabangsa Tanpa Air?

    Banyak yang telah diperkatakan tentang kenyataan Menteri Pendidikan II, Dato Seri Idris Jusoh, mengenai sistem pengajian tinggi yang kononnya bertaraf antarabangsa. Saya ingin menarik perhatian Menteri kepada masalah bekalan air yang masih sedang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

    Minggu lepas, saya telah menerima aduan daripada beberapa wakil Persatuan Mahasiswa UKM yang melaporkan bahawa 5 daripada 13 kolej sedang mengalami gangguan bekalan air dan ada yang sudah selama tiga minggu. Semalam, saya telah diberitahu bahawa empat kolej yang berikut – Kolej Ungku Omar, Kolej Aminuddin Baki, Kolej Keris Mas dan Kolej Burhanuddin Helmi – masih tidak mempunyai bekalan air. Pihak berkuasa di UKM terpaksa menghantar lori air untuk membekalkan air ke kolej-kolej ini.

    Bagaimana kita boleh bercakap tentang aspirasi universiti tempatan untuk mencapai status bertaraf antarabangsa sedangkan kita tidak dapat memastikan bahawa universiti-universiti kita mempunyai bekalan air yang mencukupi? Pihak berkuasa universiti telah meletakkan kesalahan pada SYABAS. Walaupun beberapa kawasan di Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air akibat daripada pencemaran air dekat Empangan Semenyih, tetapi gangguan ini hanya berlangsung untuk satu atau dua hari sahaja. Namun, ada sesetengah kolej dan bangunan di UKM yang masih tanpa air untuk lebih daripada 3 minggu.

    Masalah ini bukan masalah baru. [1] Gangguan bekalan air yang serius di UKM telah berlaku sejak 10 tahun yang lalu. [2] Antara alasan yang diberikan oleh pihak universiti adalah hakikat bahawa banyak tempat dalam UKM terletak di kawasan tanah tinggi yang mengurangkan tekanan bekalan air. Paip-paip air di UKM juga perlu dinaik taraf. Saya telah diberitahu bahawa SYABAS telah memberikan pelbagai cadangan kepada UKM untuk menaik taraf sistem paip dalaman, tetapi ini tidak dilakukan.

    Jika pihak berkuasa di UKM telah sedar tentang masalah paip dan tekanan air, mengapa mereka tidak menggunakan perbelanjaan pembangunannya untuk menaik taraf infrastruktur? Menurut anggaran belanjawan 2014, sejumlah RM74.1 juta, RM61.5 juta dan RM46.8 juta perbelanjaan pembangunan telah diperuntukkan kepada UKM untuk tahun 2011-2012, 2013 dan 2014 masing-masing. Mengapa sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan ini tidak digunakan untuk menaik taraf sistem paip di UKM?

    Sebaliknya, sejumlah besar daripada peruntukan digunakan untuk projek-projek tertentu seperti projek yang ada kaitan dengan PERMATA, di mana penaung utamanya adalah tidak lain daripada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri. Kompleks PERMATA Pintar Negara yang kosnya berjumlah sebanyak RM20 juta dibina dalam masa satu tahun sahaja. Pada masa yang sama, fasa ke-2 projek PERMATA yang menerima RM54 juta daripada Rancangan Malaysia ke-10 telah disiapkan pada tahun 2013.[3] Di samping itu, Hospital Kanak-kanak PERMATA Pakar di UKM sedang dibina dengan kos RM606 juta melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). [4]

    Adakah ini  contoh sebuah universiti bertaraf antarabangsa di mana dana pembangunan disalurkan kepada projek-projek yang mempunyai sokongan politik sementara kebajikan pelajar dan pensyarah tidak diutamakan? UKM telah mengambil jalan untuk menggali dan memasang telaga tiub (‘tube well’) bagi menyediakan air untuk kegunaan tandas dan untuk mandi. Saya menggesa Menteri Pendidikan II untuk meluluskan bajet tambahan pembangunan UKM dengan segera untuk menaik taraf sistem paip di kampus sebagai langkah penyelesaian masalah air. Saya juga menyeru pihak pentadbir universiti untuk bekerjasama dengan SYABAS dan ‘stakeholders’ yang lain, termasuk kerajaan negeri, dalam usaha untuk mencari penyelesaian jangka masa pendek dan panjang untuk mengatasi masalah ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://duriangood.blogspot.com/2013/10/water-disruption-in-ukm-conspiracy.html

    [2] http://www.sinarharian.com.my/semasa/pelajar-ukm-derita-10-tahun-tak-cukup-bekalan-air-1.373481

    [3] http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-kampus/631-datin-paduka-seri-rosmah-launches-permata-foundation.html

    [4] http://www.ukm.my/news/index.php/extras/1528-childrens-specialist-hospital-being-built-at-ukm-medical-centre-.html

Leave a reply.