• 10 soalan tentang Pembinaan PFI Sdn Bhd untuk ditanyakan oleh Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 17 Mac 2015

    10 soalan tentang Pembinaan PFI Sdn Bhd untuk ditanyakan oleh Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah

    Jawatankuasa Akaun Parlimen (PAC) akan mengadakan satu mesyuarat pada hari esok, iaitu 18 Mac 2015, bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri ke-3 tentang Pembinaan PFI Sdn Bhd, sebuah syarikat 99.99% milik Kementerian Kewangan yang telah mengumpul liabiliti sebanyak RM27.9 bilion pada akhir tahun 2012.

    Soalan-soalan berikut harus ditanya oleh PAC kepada Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah atas kapasiti beliau sebagai salah seorang pengarah Pembinaan PFI Sdn Bhd dan juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia.

    1) Nama Pembinaan PFI ini seolah-olah menunjukkan bahawa projek yang dilaksanakan adalah dibiayai oleh Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan sektor swasta menanggung sebahagian daripada modal perbelanjaan dan risiko projek. Adakah projek-projek yang dibiayai oleh Pembinaan PFI dianggap sebagai Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan jika ya, siapa entiti swasta yang terlibat dalam menanggung modal perbelanjaan bagi projek-projek tersebut?

    2) Adakah projek yang dibiayai oleh Pembinaan PFI dianugerahkan melalui tender terbuka menerusi laman web MyProcurement[i] atau melalui rundingan terus?

    3) Apakah rasional untuk menggunakan Pembinaan PFI bagi menyalurkan dana untuk projek pembangunan dan bukannya menyalurkan dana melalui saluran konvensional iaitu perbelanjaan pembangunan dalam belanjawan kerajaan?

    4) Siapakah yang pernah berada dalam pasukan pengurusan Pembinaan PFI? Siapa yang kini berada dalam pasukan pengurusan Pembinaan PFI? Mengapa tiada laman web ditubuhkan seperti Pembinaan BLT[ii] untuk meningkatkan ketelusan berkenaan aktiviti yang dijalankan oleh Pembinaan PFI serta identiti pasukan pengurusan dan projek yang telah dijalankan?

    5) Pembinaan PFI telah memperoleh pinjaman buat pertama kali sebanyak RM20 bilion daripada KWSP pada Ogos 2007, yang perlu dibayar sekaligus berserta dengan faedah pada bulan Ogos 2012. Akan tetapi, pinjaman ini telah disusun semula pada bulan Ogos 2012 kepada pembayaran dwi-tahunan selama 15 tahun (sehingga 2027). Sumber wang ini datang daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) yang telah memajakkan tanah persekutuan kepada Pembinaan PFI dan kemudian membayar sewa bagi tanah tersebut kepada Pembinaan PFI sebagai sebahagian daripada perjanjian pajakan balik. Mengapakah kaedah rumit seperti ini digunakan untuk membayar kembali wang KWSP? Mengapa RM20b beserta faedah tidak dibayar balik sepenuhnya pada Ogos 2012?

    6) Mengapa Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) digunakan sebagai alat untuk membayar balik pinjaman yang diperolehi Pembinaan PFI? Berapa banyak tanah yang perlu dijual oleh PTP untuk menjana dana bagi membayar hutang Pembinaan PFI? Adakah PTP mempunyai pendapatan untuk membayar anggaran RM2b setiap tahun kepada KWSP untuk tempoh 15 tahun bagi pinjaman yang diambil oleh Pembinaan PFI?

    7) Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa pada hujung tahun 2013, RM18.6b daripada RM20b yang dipinjam melalui KWSP telah digunakan oleh Pembinaan PFI. Namun, jumlah sebenar perbelanjaan yang digunakan untuk projek yang disenaraikan dalam laporan tersebut hanyalah berjumlah RM1.2b (Lihat Jadual 2.48 di bawah). Ke mana perginya lebihan perbelanjaan RM17.4b?

    8) Dapatkah Menteri Kewangan mengeluarkan senarai kesemua projek termasuklah nama kontraktor, kos dan juga status setiap projek yang telah dibiayai oleh Pembinaan PFI sejak penubuhannya?

    9) Laporan Pulangan Tahunan yang terakhir bagi Pembinaan PFI adalah pada tahun 2012 yang bertarikh 28 Jun 2013. Laporan pulangan tersebut diserahkan pada 12 Januari 2014. Laporan Pulangan Tahunan bagi Pembinaan PFI untuk tahun 2013 sepatutnya diserahkan pada hujung Jun 2014. Namun sehingga hari ini, 17 Mac 2015, setelah hampir 9 bulan berlalu, laporan pulangan tahunan 2013 masih belum diserahkan. Mengapa kelewatan ini berlaku?

    10) Menurut fail Pembinaan PFI yang dipegang oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mereka mengambil pinjaman Bai Muajjal berjumlah RM19.5b daripada KWSP pada Ogos 2014. Bagaimanakah Pembinaan PFI akan membayar caj bagi kemudahan tersebut?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [i] http://myprocurement.treasury.gov.my/

    [ii] http://www.pblt.com.my/ver4/mngt.html

Leave a reply.