• Mengapakah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak menjemput Ahli Parlimen dan NGO yang berminat untuk turut serta dalam lawatan beliau ke insinerator Pulau Pangkor semalam?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 16 Mac 2015

    Mengapakah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak menjemput Ahli Parlimen dan NGO yang berminat untuk turut serta dalam lawatan beliau ke insinerator Pulau Pangkor semalam?

    Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan yang telah meluangkan masa untuk melawat insinerator Pulau Pangkor pada 15 Mac 2015, Ahad, untuk melihat sendiri seteruk mana masalah yang dihadapi oleh insinerator tersebut.

    NGO Kami Tak Nak Insinerator (KTI) – iaitu NGO yang aktif membantah pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong – telah mengadakan lawatan ke insinerator Pulau Pangkor pada September 2014 dan menemui pelbagai masalah yang berkaitan dengan pelupusan dan pentadbiran sisa pepejal dan fly ash yang dihasilkan oleh insinerator ini.

    Malah, pada 5hb Mac 2015, satu kebakaran telah berlaku di tapak pelupusan sampah berhampiran dengan insinerator sebagaimana yang dilaporkan di Facebook Bomba Malaysia.[i] (Lampiran 1)

    Saya telah pun mengemukakan masalah-masalah tersebut pada November 2014.[ii] Dalam sesi terakhir Parlimen 2014, saya juga telah meminta Menteri untuk menganjurkan satu lawatan formal ke insinerator Pulau Pangkor untuk disertai oleh Ahli Parlimen dan NGO yang berminat, bagi meyakinkan kami bahawa kerajaan mempunyai keupayaan untuk memastikan bahawa sebuah mini-insinerator dapat beroperasi dengan lancar.

    Malangnya, permintaan ini langsung tidak dihiraukan memandangkan Menteri telah melawat ke Pulau Pangkor tanpa menjemput pihak yang berkepentingan – sama ada Ahli-Ahli Parlimen yang berminat dengan pengurusan sisa pepejal, NGO seperti KTI yang menentang pembinaan insinerator mahupun penduduk Pulau Pangkor sendiri.

    Berdasarkan gambar yang dimuatnaik di Twitter, Menteri telah diberi taklimat oleh CEO XCNT, syarikat yang dikurniakan projek pembinaan 4 buah mini insinerator di Langkawi, Pangkor, Cameron Highlands dan Tioman. Sebenarnya, prestasi buruk XCNT telah ditimbulkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dulu. (Lampiran 2)

    Merujuk kepada gambar di Twitter di mana Menteri dan rombongan beliau memakai topeng muka, ia jelas menunjukkan bahawa masih terdapat masalah operasi di insinerator Pulau Pangkor (Lampiran 3). Timbunan sampah masih bersusun tinggi dan pemakaian topeng muka menandakan bahawa bau busuk teramat kuat. Sebagai perbandingan, ketika saya melakukan lawatan ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Tagar di Hulu Selangor dan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Tanjung Dua Belas di Kuala Langat, saya tidak perlu memakai sebarang topeng muka.

    Jika Menteri tidak dapat meyakinkan orang ramai bahawa kementerian beliau mampu untuk menjamin keselamatan bangunan dan operasi untuk mini insinerator berkapasiti 20 tan sehari di Pulau Pangkor, dengan menjemput pihak yang berkepentingan untuk melakukan lawatan rasmi bersama, bagaimana kita boleh yakin terhadap kementerian beliau untuk menunaikan janji bagi membina dan mengoperasikan sebuah mega-insinerator berkapasiti 1000 tan sehari di Taman Beringin, Kepong?

    Saya menggesa Menteri untuk mendedahkan segala penemuan semasa lawatan beliau ke insinerator Pulau Pangkor dan berjanji untuk menjemput para Ahli Parlimen dan NGO yang berminat terhadap isu ini – termasuk diri saya dan KTI – untuk melawat insinerator Pulau Langkawi mahupun Cameron Highlands pada masa akan datang apabila beliau melakukan lawatan rasmi lagi.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah bersebelahan Insinerator Pulau Pangkor pada 5 Mac 2015

    Lampiran 2: Menteri menerima taklimat daripada CEO XCNT pada 15 Mac 2015.

    Lampiran 3:

    [i] https://www.facebook.com/BombaMalaysia.syed/posts/10152711187691762

    [ii] http://ongkianming.com/2014/11/12/press-statement-why-did-the-ministry-of-urban-well-being-housing-and-local-government-give-a-new-3-year-contract-worth-rm3-56-million-to-the-same-company-xcn-technology-to-continue-to-mismanage-the-pa/

Leave a reply.