• Tidak semua universiti luar negara adalah lebih baik daripada universiti di Malaysia, namun kebanyakannya jelas lebih baik

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 12 Mac 2015

    Tidak semua universiti luar negara adalah lebih baik daripada universiti di Malaysia, namun kebanyakannya jelas lebih baik

    Pada 7 Mac, Bernama telah melaporkan bahawa Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh telah menyeru pelajar Malaysia yang lulus cemerlang dalam peperiksaan awam supaya tidak ghairah memilih untuk ke universiti luar negara oleh kerana tidak semua universiti luar negara adalah lebih baik berbanding universiti awam dan universiti swasta tempatan.[1]

    Saya bersetuju dengan pendapat Menteri bahawa tidak semua universiti luar negara adalah lebih baik jika dibandingkan dengan universiti awam dan swasta tempatan. Namun, beliau telepas pandang hakikat bahawa ramai pelajar cemerlang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara bukan untuk belajar di universiti bertaraf rendah, tetapi di institusi bertaraf dunia yang akan memberi mereka pengalaman belajar yang lebih bagus berbanding universiti tempatan. Dapatkah kita meminta pelajar berprestasi tinggi untuk melepaskan tempat mereka di universiti bertaraf dunia seperti Harvard, Cambridge mahupun Oxford semata-mata untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan?

    Times Higher Education World Reputation Rankings 2015 yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan bahawa terlalu banyak universiti luar negara mempunyai kedudukan yang jauh lebih bagus daripada universiti tempatan.[2] Tidak mengejutkan apabila universiti dari Amerika Syarikat (43) dan United Kingdom (12) mendominasi kedudukan 100 teratas. Yang menarik, 10 buah universiti Asia berjaya memasuki kelompok 100 teratas, termasuk 5 buah di kalangan 50 teratas – University of Tokyo (12), National University of Singapore (24), Tsinghua University (26), Kyoto University (27) dan Peking University (32). Tiada satu universiti pun dari Malaysia yang berjaya menduduki ranking 100 teratas.

    Menteri mungkin akan menjawab bahawa universiti kita tidak boleh dibandingkan dengan universiti di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi seharusnya dibandingkan dengan universiti di Asia. Namun, dalam senarai Times Higher Education Top 100 Universities di Asia, tiada satu pun universiti Malaysia yang berjaya memasuki kedudukan 100 teratas.[3] NUS di Singapura mendapat tempat kedua manakala NTU Singapura menduduki tempat kesebelas. Dua buah universiti Thailand berjaya memasuki kumpulan 100 teratas, iaitu King Mongkut’s University of Technology, Thonburi (50) dan Mahidol University (82). Selain itu, 10 buah universiti di India, 3 buah universiti Arab Saudi dan 3 buah universiti Iran juga turut disenaraikan dalam kelompok 100 teratas.

    Menteri mungkin menjawab bahawa majoriti universiti di Malaysia secara relatifnya masih ‘muda’ dan tidak boleh dibandingkan dengan universiti yang lebih ‘tua’ dan mantap. Namun, sekali lagi Malaysia tidak tersenarai dalam Times Higher Education Top 100 Universities bagi kategori universiti bawah 50 tahun.[4] 12 buah universiti di Asia berjaya memasuki carta ini, termasuk Pohang University of Science and Technology (1), Korea Advanced Institute of Science and Technology (3), Hong Kong University of Science and Technology (4), NTU (5), City University of Hong Kong (17), Sharif University of Technology (27) di Iran serta Hong Hong Polytechnic University (30).

    Menteri mungkin menjawab pula bahawa universiti di Malaysia adalah lebih bagus atau bertaraf dunia di dalam bidang tertentu seperti sains hayat atau kejuruteraan. Dukacita sekali, tiada univeriti Malaysia yang berjaya memasuki ranking 100 teratas Times Higher Education tahun 2014 dan 2015 berdasarkan ranking subjek – mahupun Kesenian dan Kemanusiaan, Klinikal & Kesihatan, Kejuruteraan & Teknologi, Sains Hayat, Sains Fizikal atau Sains Sosial.

    Hakikatnya, satu-satunya universiti tempatan yang berjaya menduduki ranking 100 teratas dalam mana-mana senarai Top 100 Times Higher Education University Rankings adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menduduki tangga ke 93 dalam carta BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) and Emerging Economics Universities.[5]

    Saya pernah mengatakan bahawa kita ada kalanya terlalu ghairah terhadap ranking universiti.[6] Saya juga rasa bahawa Idris Jusoh tidak perlu mempertahankan ketiadaan universiti Malaysia dalam senarai-senarai Times Higher Education universiti 100 teratas dalam dunia. Adalah wajar untuk beliau berbangga dengan hakikat bahawa universiti-universiti kita telah menambahbaik kualiti kajian dan pengajaran dalam beberapa tahun yang lepas, seperti saya juga.[7] Beliau juga wajar memuji reputasi antarabangsa ahli-ahli akademik Malaysia dari universiti awam, termasuk Profesor Dr Abdul Latif Ahmad (USM, Sekolah Kejuruteraan Kimia) dan Profesor Dr Ishak Hashim (UKM, Sekolah Sains Matematik). Beliau juga wajar menonjolkan kejayaan banyak universiti tempatan dalam meningkatkan peratusan pensyarah yang mempunyai kelayakan PhD.

    Walaubagaimanapun, beliau tidak perlu rujuk kepada ranking universiti untuk menyedari bahawa universiti awam dan IPTS kita adalah jauh ketinggalan daripada status bertaraf dunia dan kebanyakan pejajar cemerlang lebih cenderung menyambung pelajaran di universiti bertaraf dunia luar negara berbanding di Malaysia. Barangkali ini merupakan cabaran utama bagi Idris Jusoh, iaitu untuk menaiktaraf universiti tempatan ke tahap yang membolehkan pelajar Malaysia yang cemerlang memilih untuk tinggal di sini berbanding ke luar negara bagi menyambung pelajaran.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://m.malaysiakini.com/news/291283

    [2] http://www.timeshighereducation.co.uk/world-university-rankings/2015/reputation-ranking

    [3] http://www.timeshighereducation.co.uk/world-university-rankings/2013-14/regional-ranking/region/asia

    [4] http://www.timeshighereducation.co.uk/world-university-rankings/2014/one-hundred-under-fifty

    [5] http://www.timeshighereducation.co.uk/world-university-rankings/2015/brics-and-emerging-economies

    [6] http://www.thestar.com.my/Opinion/Online-Exclusive/Im-OK-man/Profile/Articles/2013/11/25/university-rankings/

    [7] http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/what-it-means-to-be-world-class-idris-jusoh

Leave a reply.