• Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan perlu memastikan bahawa Pembinaan PFI Sdn Bhd tidak akan menjadi satu lagi syarikat seperti 1MDB

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 11 Mac 2015

    Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan perlu memastikan bahawa Pembinaan PFI Sdn Bhd tidak akan menjadi satu lagi syarikat seperti 1MDB

    Selama seminggu atau lebih, 1MDB telah menguasai tajuk-tajuk utama berita disebabkan pendedahan Sarawak Report yang mengejutkan. Pada masa yang sama, terdapat sebuah lagi syarikat yang kurang dikenali umum iaitu Pembinaan PFI yang mempunyai hutang terkumpul sebanyak RM27.9 bilion pada akhir tahun 2012 dan dijangka mencecah hutang RM47.4 bilion pada akhir tahun 2014. Tanpa akauntabiliti tentang bagaimana Pembinaan PFI menggunakan pinjaman, tanpa ketelusan tentang bagaimana ia membayar balik hutang, dan tanpa pengawasan daripada Menteri Kewangan yang juga merupakan Perdana Menteri, tidak mustahil bahawa Pembinaan PFI bakal menjadi satu lagi 1MDB dengan mudah sahaja.

    Sebagai ringkasan, Pembinaan PFI adalah syarikat perbadanan 99.9% milik Kementerian Kewangan dengan satu lagi saham dipegang oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP). Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 (Siri 3), Pembinaan PFI Sdn Bhd mempunyai liabiliti ketiga tertinggi di kalangan semua entiti milik kerajaan pada akhir tahun 2012. Jumlah liabilitinya bernilai RM27.9 bilion iaitu di belakang dua syarikat yang dikenali umum dan mempunyai aset, hasil dan keuntungan yang besar, iaitu Petronas (RM152 bilion) dan Khazanah (RM69 bilion) (rujuk jadual di bawah).

    Namun, tidak seperti Petronas dan Khazanah, Pembinaan PFI tidak mempunyai sebarang pendapatan operasi seperti yang ditunjukkan oleh Laporan Ketua Audit Negara (rujuk jadual di bawah). Keuntungan pada tahun 2012 sebanyak RM1.94 juta telah diperoleh daripada pendapatan faedah. Ini bermakna Pembinaan PFI tidak dapat menyelenggara liabilitinya tanpa bantuan dari pihak lain, iaitu kerajaan persekutuan.

    Walaupun Laporan Ketua Audit Negara mendakwa bahawa Pembinaan PFI mempunyai jumlah aset ketiga tertinggi di kalangan semua syarikat milik kerajaan (rujuk bawah), aset tanah PFI telah dipajak kepada Pembinaan PFI daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP). Ini merupakan sebahagian daripada perjanjian yang rumit di mana Pembinaan PFI kemudian memajak kembali tanah tersebut kepada PTP untuk disewa sebanyak RM29 bilion yang akan dibayar dalam tempoh 25 tahun.[i] Dalam erti kata lain, tidak seperti Petronas dan Khazanah yang memiliki aset mereka sendiri, Pembinaan PFI benar-benar tidak mempunyai sebarang aset sendiri.

    Liabiliti yang ditanggung oleh Pembinaan PFI sudah pasti meningkat dalam tahun 2013. Malangnya, sudah masuk bulan ketiga tahun 2015 namun Pembinaan PFI masih belum memfailkan akaun syarikat bagi tahun 2013 (pada masa kenyataan ini ditulis).

    Tambahan lagi, Pembinaan PFI juga telah memperolehi kemudahan pinjaman Bai’ Muajjal (jualan dengan bayaran bertangguh dan secara ansuran) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 22hb Ogos 2014 dengan jumlah maksimum sebanyak RM19.5 bilion. Terma pinjaman ini tidak dinyatakan dalam dokumen yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Ini bermakna jumlah keseluruhan liabiliti Pembinaan PFI berpotensi meningkat ke RM47.4 juta pada hujung tahun 2014 (RM27.9 juta pada hujung tahun 2012 ditambah dengan pinjaman perbankan Islam Bai’ Muajjal daripada KWSP sebanyak RM19.5 juta pada Ogos 2014).

    Perbelanjaan Pembinaan PFI tidak dipaparkan dalam mana-mana akaun belanjawan kerajaan persekutuan. Ini bermaksud bahawa semua perbelanjaannya merupakan belanjawan luar (off-budget). Hutang Pembinaan PFI juga tidak disenaraikan sebagai sebahagian daripada liabiliti kontingen kerajaan persekutuan. Hal ini membangkitkan kemungkinan bahawa kekurangan ketelusan di pihak Pembinaan PFI adalah bertujuan untuk ‘menyembunyikan’ perbelanjaan kerajaan daripada bajet sebenar.

    Untuk sesi Parlimen ini, saya telah menghantar soalan Parlimen yang meminta angka sebenar pinjaman terkini bagi Pembinaan PFI dan juga sebab bagi penyerahan lewat akaun syarikat. Demi ketelusan, Perdana Menteri Najib sebagai Menteri Kewangan perlu memastikan ketelusan dalam perbelanjaan, pinjaman dan pembayaran balik hutang yang melibatkan Pembinaan PFI, bagi mengelakkan skandal seperti 1MDB berlaku lagi.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [i] http://ongkianming.com/2014/11/18/press-statement-why-is-our-government-paying-rental-of-rm29-2-billion-on-land-which-it-already-owns/

Leave a reply.