• SEDA harus memastikan bahawa pemberian kuota Tarif Galakan Solar PV (Solar Fotovolta) bagi kapasiti melebihi 425kW hingga 1MW adalah setelus pemberian kuota Tarif Galakan untuk Solar PV bagi kapasiti kurang daripada 425kW

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 10hb Mac 2015

    SEDA harus memastikan bahawa pemberian kuota Tarif Galakan Solar PV (Solar Fotovolta) bagi kapasiti melebihi 425kW hingga 1MW adalah setelus pemberian kuota Tarif Galakan untuk Solar PV bagi kapasiti kurang daripada 425kW

    Saya mengucapkan tahniah kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) kerana berjaya menjalankan pengundian terbuka yang kedua bagi peruntukan kuota Tarif Galakan Solar PV kurang daripada 425kW untuk kategori bukan individu pada 9 Mac 2015 di Everly Hotel.[1] Pengundian tersebut telah dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, dan telah diaudit oleh Deloitte Enterprise Risk Services Sdn Bhd dengan pemerhati daripada Jabatan Audit Negara dan Institut Integriti Malaysia. Ramai wakil daripada syarikat Solar PV yang memohon kuota Tarif Galakan turut hadir untuk menyaksikan proses pengundian. Sejumlah 20MW Kuota Tarif Galakan telah dianugerahkan, iaitu sebanyak 16MW di Semenanjung Malaysia dan 4MW di Sabah.

    Walaubagaimanapun, SEDA tidak mengumumkan peruntukan kuota Tarif Galakan Solar PV untuk kapasiti melebihi 425 kW hingga 1MW bagi kategori bukan individu di undian terbuka semalam. Pada tahun lepas, SEDA telah memberitahu pemain industri bahawa permohonan kuota Tarif Galakan untuk kapasiti melebihi 425 kW hingga 1 MW akan dinilai oleh SEDA melalui sistem mata merit.[2] Dalam pembentangan yang sama pada tahun lepas, SEDA juga telah menyatakan bahawa jika terdapat markah seri dalam bilangan mata yang diperolehi pemohon, proses undian terbuka akan dijalankan semalam bagi kuota Tarif Galakan melebihi 425 kW (Lihat Lampiran 1). Akan tetapi, proses undian tersebut langsung tidak dijalankan semalam.

    Dalam satu kenyataan sebelum ini, saya telah menyeru SEDA untuk mengotakan janji mereka kepada pemain industri untuk menerbitkan markah merit kesemua 146 pemohon bagi kuota Tarif Galakan melebihi 425kW hingga 1MW.[3] Saya mengulangi seruan ini supaya reputasi SEDA sebagai badan yang telus akibat amalan undian terbuka tidak akan terjejas. SEDA perlu setelus mungkin memandangkan rakan sejawat saya iaitu Jimmy Wong, Ahli Parlimen Kota Kinabalu telah mengeluarkan kenyataan akhbar di mana seorang pemberi maklumat telah memberitahu beliau tentang tekanan ke atas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memberi markah Kajian Sistem Kuasa (PSS) yang baik kepada syarikat Solar PV yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak tertentu.[4] Demi membuktikan bahawa tiada apa yang perlu disembunyikan, SEDA mesti mengumumkan markah mata merit kesemua 146 pemohon bagi kuota Tarif Galakan melebihi 425kW hingga 1MW apabila ia mengumumkan nama pemohon yang berjaya.[5]

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Cadangan Jadual Masa untuk Solar PV bagi kategori Bukan Individu kapasiti melebihi 425 kW hingga 1MW

    [i] http://www.seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&y=45&s=4602

    [ii] http://www.seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&s=27

    [iii] http://ongkianming.com/2015/02/10/press-statement-seda-must-continue-to-uphold-the-highest-standards-of-transparency-in-the-allocation-of-the-feed-in-tariff-fit/

    [iv] http://www.dailyexpress.com.my/news.cfm?NewsID=97759

    [v] tp://www.seda.gov.my//?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&y=45&s=4502

Leave a reply.