• Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) harus memperkenalkan net metering untuk tenaga solar di kawasan perumahan dan komersil bagi meningkatkan penjanaan elektrik & mengurangkan Jejak Karbon (Carbon Footprint) Malaysia

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 7hb Mac 2015

    Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) harus memperkenalkan net metering untuk tenaga solar di kawasan perumahan dan komersil bagi meningkatkan penjanaan elektrik dan mengurangkan Jejak Karbon (Carbon Footprint) Malaysia

    Menurut Suruhanjaya Tenaga, permintaan puncak elektrik dijangka meningkat sebanyak 30% iaitu daripada 17,697 MW pada tahun 2015 kepada 22,938 MW pada tahun 2025. Bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik, sebilangan kontrak bagi membina loji janakuasa arang batu dan gas yang berskala besar telah diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga. Ini termasuk kes kontroversi Projek 3B bagi membina sebuah loji janakuasa arang batu 2000MW yang telah dianugerahkan kepada 1MDB dan tertangguh disebabkan ketidakmampuan 1MDB untuk menjana sumber kewangan yang diperlukan untuk membina loji tersebut.[1] Berikutan masalah ini, Menteri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga dan SEDA harus serius mempertimbangkan penggunaan net metering sebagai alternatif bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di Malaysia.

    Net metering membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai sambungan grid elektrik untuk menjual semula elektrik yang dihasilkan sendiri (biasanya melalui tenaga solar) ke grid dan menuntut kredit bagi bil elektrik mereka. Dengan ini, pengguna hanya perlu membayar jumlah dari perbezaan antara tenaga elektrik yang diguna dan elektrik yang telah dijual kembali ke grid.[2] Net metering adalah berbeza daripada sistem Tariff Galakan kerana ia membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai keupayaan menjana elektrik untuk menjualnya kembali kepada grid tanpa perlu membida untuk kuota Tarif Galakan demi mencapai kelayakan untuk menjual semula elektrik ke grid.

    Terdapat banyak kelebihan bagi net metering. Pertama, ia membolehkan ramai pemilik hartanah kediaman dan komersial untuk mengambil bahagian dalam pengeluaran dan pengagihan tenaga boleh diperbaharui (RE atau renewable energy). Menurut laporan tahunan SEDA 2013, hanya 2,448 individu dan 252 bukan individu telah berjaya mendapat kelulusan Tarif Galakan pada akhir tahun 2013 untuk PV Solar (terkumpul sejak permulaan Tarif Galakan). Permintaan kuota PV Solar untuk individu dan bukan individu sentiasa melebihi penawaran dan ramai pemilik rumah individu yang kecewa lanjutan kegagalan mendapat kelulusan akibat daripada permintaan yang melebihi penawaran. Net metering akan menyelesaikan masalah ini dan memperluaskan manfaat tenaga boleh diperbaharui kepada lebih ramai orang.

    Kedua, perkenalan net metering boleh membantu meratakan permintaan elektrik pada waktu puncak. Waktu puncak biasanya adalah pada waktu bekerja apabila pejabat menghidupkan penghawa dingin pada kapasiti tertinggi dan apabila kilang beroperasi pada kapasiti penuh. Ini juga merupakan waktu potensi tertinggi penjanaan kuasa solar. Semakin banyak PV solar yang disambungkan ke grid, semakin kurang beban penjanaan elektrik di loji kuasa yang sedia ada. Sebagai contoh, walaupun kapasiti di Malaysia adalah 21,060MW pada tahun 2014 dan permintaan puncak hanya 17,152MW, namun terdapat insiden di mana TNB terpaksa membakar sulingan minyak yang lebih mahal dalam loji janakuasa gas untuk menjana lebih tenaga elektrik semasa waktu puncak[3] kerana sebahagian daripada loji janakuasa arang batu telah rosak dan tidak beroperasi.[4]

    Ketiga, perkenalan net metering tidak memerlukan pengambilan tanah baru bagi membina loji janakuasa yang terbukti tidak digemari oleh penduduk tempatan. Loji janakuasa bernilai RM1.3 bilion di Lahad Datu telah dibatalkan akibat bantahan oleh penduduk dan aktivis alam sekitar.[5] PV solar untuk unit kediaman dan komersial akan menggunakan bumbung-bumbung bangunan yang sedia ada untuk penjanaan dan tidak memerlukan tanah baru. Oleh kerana unit kediaman dan komersial telah pun disambungkan kepada grid, kos sambungan bagi net metering dapat diminimakan, tidak seperti loji janakuasa dan lain-lain sumber penjanaan kuasa yang dibina jauh daripada kawasan penduduk dan dengan itu, juga jauh daripada grid elektrik.

    Keempat, pemberian rangsangan kepada industri tenaga boleh diperbaharui melalui net metering akan membantu Malaysia dalam mengurangkan pelepasan karbon. Semasa Persidangan Perubahan Iklim 2009 di Copenhagen, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib telah membuat komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon Malaysia sebanyak 40% menjelang tahun 2020[6], satu janji yang diulangi semula di PBB pada bulan September 2014.[7] Net metering bakal menjadi satu langkah yang penting dalam membantu Malaysia memnuhi ikrar tersebut.

    Fokus net metering sepatutnya ditujukan kepada unit kediaman dan komersil dan bukan untuk penjanaan tenaga boleh diperbaharui secara skala besar seperti ladang solar. Ini untuk memastikan bahawa faedah penjanaan tenaga boleh diperbaharui dapat dirasai oleh pengeluar berskala kecil berbanding syarikat- syarikat besar sahaja.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://klse.i3investor.com/blogs/amresearch/70131.jsp

    [2] http://www.seia.org/policy/distributed-solar/net-metering

    [3] http://dspace.uniten.edu.my/xmlui/bitstream/handle/123456789/6570/0519%20The%20heavy%20cost%20of%20coal-fired%20plant%20outages–%20The%20Edge.pdf?sequence=1

    [4] http://themalaysianreserve.com/main/news/corporate-malaysia/5539-malakoffs-proposed-listing-may-be-deferred-again

    [5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/sabah-cancels-lahad-datu-coal-power-plant

    [6] http://www.thestar.com.my/story/?file=%2F2009%2F12%2F18%2Fnation%2F20091218134734&sec=nation

    [7] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/09/24/Najib-New-York-Climate-change/

Leave a reply.