• Jika keupayaan untuk menarik pelajar asing merupakan penanda sistem pendidikan bertaraf dunia, adakah ini bermakna bahawa universiti awam kita kurang berkualiti berbanding dengan universiti swasta?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 24hb Februari 2015

    Jika keupayaan untuk menarik pelajar asing merupakan penanda sistem pendidikan bertaraf dunia, adakah ini bermakna bahawa universiti awam kita kurang berkualiti berbanding dengan universiti swasta?

    Pada hari Ahad yang lalu, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh telah berkata bahawa sistem pengajian tinggi negara kini bertaraf dunia berdasarkan jumlah tinggi pelajar asing di Malaysia. Jika kita mengikut logik dangkal Idris Jusoh, ini bermakna bahawa kualiti universiti awam kita adalah lebih rendah berbanding universiti swasta, kerana bilangan dan peratusan pelajar asing di universiti swasta adalah lebih tinggi berbanding dengan universiti awam. Apakah ini bermakna Kementerian Pendidikan telah lalai buat kerja dalam meningkatkan kualiti pendidikan universiti awam kita kerana gagal menarik minat pelajar asing berbanding universiti swasta?

    Rakan sejawat saya, Zairil Khir Johari iaitu Ahli Parlimen Bukit Bendera, telah menunjukkan semalam bahawa hampir tiada pelajar warga British, Jerman atau Australia yang menuntut di universiti di Malaysia, berbanding dengan jumlah pelajar Malaysia di UK dan Australia yang lebih tinggi.

    Namun di kalangan pelajar asing yang belajar di Malaysia pun, kebanyakan daripada mereka memilih universiti swasta berbanding universiti awam. Merujuk kepada statistik terkini daripada Perangkaan Pendidikan Negara: Sektor Pengajian Tinggi 2013, seramai 28,826 pelajar asing belajar di universiti awam yang mewakili 5.1% daripada jumlah keseluruhan pelajar (tidak termasuk politeknik dan kolej komuniti). Pada masa yang sama, seramai 52,598 pelajar asing menuntut di institusi pendidikan tinggi swasta – iaitu di universiti, kolej universiti dan kampus cawangan, yang mewakili 10.8% daripada jumlah keseluruhan pelajar. (Lihat Jadual 1 di bawah)

    Jadual 1: Bilangan dan peratusan pelajar asing di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, 2013

    IPTA / IPTS Warganegara Pelajar Asing Jumlah Pelajar Asing (%)
    IPTA    531,533            28,826    560,359 5.1%
    IPTS    432,365            52,598    484,963 10.8%

    Jika kita meneliti universiti individu, tiga universiti awam dengan jumlah dan peratusan terbesar pelajar asing adalah Universiti Islam Antarabangsa dengan 5408 pelajar asing (17.2% daripada jumlah keseluruhan pelajar), Universiti Teknologi Malaysia dengan 4103 pelajar asing (11.8%) dan Universiti Malaya dengan 3289 pelajar (12.7%).[1]

    Pada masa yang sama, tiga universiti swasta dengan jumlah dan peratusan pelajar asing yang lebih besar adalah Lim Kok Wing University of Creative Technology dengan 5764 pelajar asing (70.6%), Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik dengan 4843 pelajar asing (65%) dan Universiti Al-Madinah Antarabangsa yang kurang dikenali dengan 3272 pelajar asing (95%).[2]

    Adakah ini bermakna bahawa universiti awam kita adalah lebih buruk daripada universiti swasta dari segi taraf pendidikan? Adakah ini sebab mengapa lebih ramai pelajar asing di universiti swasta berbanding universiti awam? Selain itu, adakah ini bermakna bahawa UM tidak setanding dengan Lim Kok Wing dari sudut taraf pendidikan? Inilah kesimpulan yang kita dapat jika mengikut logik dangkal Idris Jusoh.

    Sebab mengapa saya menunjukkan statistik ini adalah untuk menjelaskan bahawa bilangan dan peratusan pelajar asing yang menuntut di negara atau universiti tertentu tidak boleh digunakan sebagai penanda kualiti atau tahap pendidikan.

    Peratusan prasiswazah di Cambridge yang merupakan pelajar antarabangsa adalah 19% berbanding dengan 11% di Harvard. Peratusan pelajar prasiswazah antarabangsa yang belajar di London School of Economics adalah 42%. Haruskah kita mengambil ‘bukti’ ini sebagai penanda bahawa tahap pendidikan di LSE adalah lebih tinggi berbanding Cambridge dan Cambridge adalah lebih baik daripada Harvard? Sudah tentunya tidak! Apa yang penting ialah kualiti pelajar yang menuntut di universiti tersebut, tidak kira sama ada mereka adalah pelajar asing atau warganegara. Dan apa yang penting untuk pelajar-pelajar ini adalah pengalaman pendidikan mereka selepas masuk ke universiti tersebut.

    Jikalau kita memberi terlalu banyak fokus dan perhatian kepada pelajar asing, ada kemungkinan bahawa sesetengah pembuat dasar akan menggunakan kaedah ini sebagai ‘jalan pintas’ untuk meningkatkan ranking universiti kita. Peratusan pelajar asing merupakan salah satu komponen QS University World Ranking yang bernilai 5% daripada markah keseluruhan. Sungguh menyedihkan jika anggapan Menteri Pendidikan kita disampaikan nanti kepada pentadbir universiti kita yang kemudian akan membuka pintu kepada pelajar asing, tanpa mengira kualiti, supaya kedudukan universiti bertambah baik secara berpura-pura. Inilah yang menyebabkan kenyataan Idris Jusoh pada hari Ahad lagi tidak bertanggungjawab dan membimbangkan!

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] Statistik diambil daripada Perangkaan Pendidikan Negara: Sektor Pengajian Tinggi 2013

    [2] Statistik diambil daripada Buku Informasi IPTS 2012 bertaraf universiiy, kolej universiti dan kampus cawangan

Leave a reply.