• Berapa ramai pelajar asing yang melepaskan tempat mereka di universiti-universiti bertaraf dunia di United Kingdom dan Australia semata-mata untuk datang ke Malaysia?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 22hb Februari 2015

    Berapa ramai pelajar asing yang melepaskan tempat mereka di universiti-universiti bertaraf dunia di United Kingdom dan Australia semata-mata untuk datang ke Malaysia?

    Semalam saya dikejutkan dengan laporan berita Bernama bahawa Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh telah berkata bahawa “Pendidikan tinggi Malaysia kini setanding dengan negara-negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Australia” dan “ini dibuktikan dengan fakta 135,000 pelajar asing menyumbang sebanyak 10% daripada pelajar-pelajar di institusi pendidikan tinggi di negara ini.”[1] “Bukti” yang digunakan oleh Menteri Pendidikan Kedua ini untuk “memperbodohkan” dirinya supaya percaya bahawa sistem pengajian tinggi negara sudah setaraf negara maju wajar diketawakan dan merupakan satu penghinaan terhadap jawatan Menteri Pendidikan.

    Pertama, keputusan pelajar asing untuk belajar di negara ini melibatkan beberapa faktor termasuk kos program, kos sara hidup, keperluan kemasukan, program yang disediakan, bahasa pengantar, kemudahan mendapatkan visa pelajar, peluang biasiswa, reputasi universiti, bilangan tempat yang ditawarkan kepada pelajar asing dan kualiti pengajaran. Anggapan bahawa sistem pendidikan kita adalah bertaraf dunia dan setanding dengan negara-negara seperti United Kingdom dan Australia hanya kerana kita mempunyai sebilangan besar pelajar asing adalah amat berbahaya, terutamanya jika Menteri Pendidikan sendiri mempunyai anggapan tersebut. Menurut logik ini, jika peratusan pelajar asing di universiti tempatan adalah lebih tinggi daripada UK dan Australia, maka taraf pendidikan kita sudah menjangkaui taraf pendidikan di negara-negara tersebut![2]

    Kedua, berdasarkan QS World University Rankings 2014 pun Malaysia masih jauh ditinggalkan institusi pengajian tinggi di United Kingdom dan Australia. Sebagai contoh, 19 universiti UK berada dalam kelompok 100 teratas dengan empat daripadanya berada di kedudukan sepuluh teratas –Cambridge (2), Imperial (2), Oxford (5) dan University College London (5). Terdapat 8 buah universiti Australia dalam tangga 100 teratas termasuk Australian National University atau ANU (25), University of Melbourne (33) dan University of Sydney (37). Malah Jerman pun, yang universitinya kurang dikenali di arena antarabangsa, mempunyai 3 universiti di ranking 100 tertinggi – Heidelberg University (49), Ludwig-Maxmilians-Universität (LMU) München (52) dan Technische Universitaet Muenchen (TUM) (54). Sebaliknya, Malaysia tidak ada langsung universiti di ranking 100 teratas. Universiti Malaya merupakan satu-satunya universiti Malaysia yang layak berada dalam kedudukan 200 teratas, iaitu di tangga ke 151.

    Kecuali jika Menteri mempunyai akses kepada QS Rankings 2015 yang menunjukkan kedudukan yang jauh berbeza bagi universiti Malaysia, adalah amat dangkal untuk membuat kesimpulan bahawa mutu pendidikan kita setaraf UK, Jerman dan Australia berdasarkan ranking yang dirujuk Menteri seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Ketiga, jika Menteri benar-benar berpendapat bahawa sistem pengajian tinggi negara ini adalah setanding dengan United Kingdom dan Australia berdasarkan pengambilan pelajar asing, beliau perlu kemukakan senarai pelajar asing yang diterima masuk Cambridge atau Oxford University, Imperial College, Kolej Universiti London atau Australia National University tetapi menolak kerana mahu belajar di Malaysia.

    Saya sama sekali tidak berniat memandang rendah universiti tempatan kita. Bagi sesetengah program, seperti perubatan dan undang-undang contohnya, mungkin lebih sukar untuk diterima masuk ke program ini di universiti awam kita berbanding universiti luar negara. Tetapi universiti tempatan kita juga akan mengaku, masih banyak yang perlu mereka perbaiki daripada segi kualiti pengajaran, prasarana dan dana untuk penyelidikan, sebelum mereka mencapai taraf universiti di UK dan Australia. Menteri Pendidikan Kedua sebenarnya berlaku tidak adil terhadap universiti-universiti tempatan kita dengan membandingkan mereka dengan universiti-universiti lain di negara maju yang mempunyai sejarah yang lebih lama, pembiayaan perseorangan pelajar yang lebih tinggi dan infrastruktur penyelidikan yang lebih mantap. Piawaian tersebut merupakan sesuatu yang didambakan oleh universiti tempatan yang masih belum tercapai.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thesundaily.my/news/1334897

    [2] Peratusan pelajar asing di UK adalah 18% pada tahun 2013-2014. (http://www.ukcisa.org.uk/Info-for-universities-colleges–schools/Policy-research–statistics/Research–statistics/International-students-in-UK-HE/#) Di Australia, peratusan pelajar asing adalah 25%. (http://www.australianuniversities.com.au/directory/student-numbers/)

Leave a reply.