• Mengecam sekerasnya pembunuhan tiga pelajar muda Islam di Chapel Hill, North Carolina

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 12hb Februari 2015

    Mengecam sekerasnya pembunuhan tiga pelajar muda Islam di Chapel Hill, North Carolina

    Saya mengecam sekerasnya pembunuhan kejam tiga pelajar muda yang berpotensi di Chapel Hill, North Carolina, yang berlaku semalam pada 12hb Februari 2015. Deah Barakat, 23, dan isterinya, Yusor Mohammad, 21, serta adiknya Razan Mohammad Abu-Salha telah ditembak mati oleh Craig Stephen Hicks, 46.

    Walaupun motif rasmi pembunuhan belum disahkan oleh pihak polis, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa kes ini mungkin merupakan jenayah kebencian terhadap 3 pelajar Islam, di mana si pembunuh ialah seseorang ateis yang nyata membenci semua jenis agama. Jenayah kebencian sebegini langsung tidak boleh diterima dan mesti dikutuk sekeras-kerasnya.

    Lebih tragik lagi, dunia kehilangan tiga nyawa yang berpotensi. Deah Barakat adalah seorang pelajar pergigian di Universiti North Carolina di Chapel Hill dan terlibat dalam aktiviti pengedaran bekalan pergigian percuma dan makanan kepada gelandangan di Durham, North Carolina. Deah dan isterinya, Yusor yang telah berkahwin pada bulan Disember 2014, juga terlibat dalam kerja-kerja bantuan pergigian di Turki dan Timur Tengah. Yusor juga merancang untuk memulakan pelajaran di fakulti pergigian pada bulan Ogos 2015. Razan pula merupakan pelajar jurusan seni bina dan reka bentuk persekitaran di North Carolina State University di Raleigh, North Carolina dan merupakan penyokong Islamic Relief USA, sebuah NGO yang membantu rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

    Saya pernah tinggal di Durham, North Carolina (kurang daripada 20 km dari Chapel Hill) selama 6 tahun ketika mengejar PhD saya dalam bidang sains politik di Duke University. Dalam ingatan saya, Chapel Hill merupakan sebuah kawasan yang selamat di mana kebanyakan penduduknya terdiri daripada golongan pelajar, profesor dan kakitangan Universiti North Carolina di Chapel Hill. Saya pasti bahawa komuniti di Chapel Hill sangat terkejut dengan pembunuhan yang tragik dan tidak masuk akal ini.

    Pada masa yang sama, ramai orang daripada pelbagai jenis agama, etnik dan latar belakang telah keluar untuk mengutuk pembunuhan ini. Satu perhimpunan nyalaan lilin yang dianjurkan malam tadi di UNC telah dihadiri oleh beribu-ribu orang (Lihat gambar di bawah). Semangat perpaduan pada masa kesukaran harus menjadi inspirasi kepada kita semua.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Perhimpunan nyalaan lilin yang dianjurkan di Universiti North Carolina, Chapel Hill, pada 11hb Februari 2015

    Sumber: https://www.facebook.com/ourthreewinners/photos/a.503590726445565.1073741829.503485383122766/503831146421523/?type=1&theater

Leave a reply.