• Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, perlu mendedahkan kos pembinaan, pengendalian dan penyelenggaraan insinerator yang dicadangkan di Taman Beringin, Kepong

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 8hb Februari 2015

    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, perlu mendedahkan kos pembinaan, pengendalian dan penyelenggaraan insinerator yang dicadangkan di Taman Beringin, Kepong

    Dilaporkan bahawa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan, telah bertemu dengan NGO anti-insinerator, KL Tak Nak Insinerator (KTI) pada 30hb Januari, 2015. Sebelum perjumpaan ini, KTI telah menyediakan 24 soalan untuk pihak Kementerian (lihat lampiran). Tindakan Menteri yang meluangkan masa untuk berjumpa dengan KTI harus dipuji. Namun jawapan bertulis beliau pada 5hb Februari 2015 amat tidak meyakinkan, terutamanya kegagalan beliau untuk mendedahkan kos pembinaan, pengendalian dan penyelenggaraan insinerator seperti yang dijanjikan sebelum ini. Ini merupakan satu penghinaan terhadap proses bidaan terbuka.

    Menurut berita terbaru, bidaan untuk insinerator yang dicadangkan di Taman Beringin, Kepong, telah ditumpukan kepada dua syarikat sahaja. Namun, Menteri enggan mendedahkan identiti kedua-dua syarikat yang terlibat dalam proses tender tersebut. Lebih membimbangkan, beliau juga enggan mendedahkan kos keseluruhan projek ini kecuali bahawa Kementerian tidak akan membayar satu sen pun untuk kos pembinaan dan hanya akan membayar ‘tipping fee’ untuk melupuskan sisa pepejal di insinerator. [1] Menurut Menteri, bayaran ‘tipping fee’ ini sedang dikaji dalam proses tender.

    Jika Menteri menyokong prinsip pendedahan terbuka, mengapa beliau tidak mendedahkan kepada orang ramai kos pembinaan insinerator, bayaran ‘tipping fee’ dan model pembiayaan bagi seluruh projek insinerator?

    Baru-baru ini, Menteri membuat kenyataan di Twitter dan Facebook bahawa pilihan raya tempatan akan membawa kepada peningkatan cukai, termasuk cukai pintu. Ironinya, terdapat juga kemungkinan bahawa penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) akan mengalami kenaikan cukai demi membiayai insinerator yang dicadangkan walaupun tiada pilihan raya tempatan yang diadakan di WPKL. Saya menyeru Menteri untuk mendedahkan dokumen-dokumen tender, termasuk kos pembinaan dan bayaran ‘tipping fee’ untuk insinerator, dan pada masa yang sama juga menjemput orang ramai untuk turut serta memberi komen dan pandangan terhadap perlunya ada insinerator atau tidak di KL.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/have-a-picnic-in-landfill-minister-tells-residents-opposed-to-incinerator

Leave a reply.