• Perdana Menteri mesti memberi arahan kepada Ismail Sabri untuk menarik balik kenyataannya dan meminta maaf atas tuduhan yang tidak berasas

    Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 3hb Feb 2015

    Perdana Menteri mesti memberi arahan kepada Ismail Sabri untuk menarik balik kenyataannya dan meminta maaf atas tuduhan yang tidak berasas

    Artikel 3 (1) e Akta Hasutan 1948 menyatakan bahawa “sesuatu ‘kecenderungan menghasut’ ialah kecenderungan bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia.”

    Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri di laman Facebooknya, yang menyeru orang Melayu untuk memboikot peniaga-peniaga Cina, telah menimbulkan pelbagai perasaan benci dan dengki di kalangan orang Melayu terhadap bukan sahaja peniaga-peniaga Cina tetapi orang Cina secara umum.

    Bukti ini jelas boleh diperhatikan di laman Facebook Ismail Sabri melalui petikan-petikan berikut:

    Ada komen yang menyifatkan golongan peniaga Cina sebagai lintah darat dan menyeru orang Melayu untuk isytiharkan peperangan terhadap golongan ini. Ada komen yang menggambarkan orang Cina sebagai menghina orang Melayu. Ada komen yang mengatakan bahawa orang Cina adalah bangsat. Ada komen yang menggunakan contoh ini sebagai ‘bukti’ bahawa orang Melayu sedang ditindas oleh orang Cina.

    Kenyataan Ismail Sabri memang tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan telah menimbulkan perasaan benci dan dengki terhadap orang Cina secara umum.

    Ada pelbagai sebab kenapa peniaga-peniaga, tidak kira dari bangsa apa, tidak menurunkan harga barang mereka walaupun harga minyak telah turun. Harga minyak adalah sebahagian kecil daripada kos barang. Walaupun harga minyak telah turun, tetapi gaji pekerja-pekerja tidak turun, harga elektrik tidak turun, harga tong gas tidak turun, dan harga kereta tidak turun, sebagai beberapa contoh sahaja. Malah disebabkan kesusutan nilai mata wang ringgit, harga barang import bukan sahaja tidak turun tetapi telah naik!

    Saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai Perdana Menteri yang sepatutnya menjaga keharmonian negara dan hubungan baik di antara kaum, supaya memberi arahan kepada Ismail Sabri untuk meminta maaf atas kenyataannya dan juga menarik balik tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap peniaga-peniaga Cina. Jikalau Perdana Menteri gagal membuat demikian, lebih baik slogan 1 Malaysia dicampak terus ke dalam tong sampah.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.